Tindakan pemimpin Umno Pahang menjual tanah milik parti itu sebagaimana didedahkan bekas Setiausaha Badan Perhubungannya, Dato' Ahmad Tajudin Sulaiman, baru-baru ini membuka 'belang sebenar' parti itu.
Pendedahan itu membuktikan pengkhianatan Umno negeri terhadap rakyat dan sokongan padu bangsa Melayu terhadapnya.
Ia juga mendedahkan kegagalan Umno sebagai pemerintah yang secara mudah memperolehi tanah melalui kuasa politik, kemudian menjualnya kepada pihak lain untuk mendapat keuntungan segera.
Pada masa yang sama, para pemimpin parti itu sering menasihati rakyat supaya jangan menjual tanah untuk mengaut keuntungan segera, tetapi itulah yang dilakukan oleh pemimpin Umno apabila berada di puncak kuasa.
Pendedahan Tajudin itu sesungguhnya telah membuka pekung di dada para pemimpin Umno yang selama ini dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat.
Rakyat yang dituba dengan janji pembangunan tidak pernah terfikir adanya pekung bernanah disebalik wajah seorang bapa.
Sikap baik pemimpin Umno/BN selama ini meyakinkan rakyat negeri ini sehingga sanggup memberi lagi mandat besar kepada parti itu dalam pilihan raya umum Mac lalu. Umno/BN Pahang seolah-olah tidak terkena langsung tsunami politik yang melanda negara 8 Mac itu.
Bagaimanapun akibat tidak tahan diperkudakan, akhirnya Tajudin bangun bersuara. Itu pun setelah 'dibelasah' dan 'dicantas' sehingga tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lepar.
Tajudin dipercayai menyimpan banyak rahsia parti selain daripada apa yang telah didedahkanya baru-baru ini. Pendedahan Tajudin menyebabkan pengerusi Badan Perhubungan Umno, Adnan Yaakub tersentak dan menuduh Tajudin berbohong.
Adnan mempertikaikan angka 12000 ekar yang didedahkan Tajudin dengan keuntungan atas angin sebanyak RM600 juta. Bagaimanapun Adnan tidak menafikan berlakunya aktiviti penjualan tanah oleh Umno, hanya angka yang dipertikaikannya. Ini bererti Tajudin tidak berbohong, aktiviti perniagaan tanah sememangnya berlaku.
Adnan menyebut Tajudin berbohong kerana penjualan tanah yang dimaksudkan hanya membabit tanah seluas 400 ekar di Maran. Tetapi Tajudin membukti penjualan tanah di Maran itu melibatkan kawasan seluas 1040 ekar, dan Adnan dicabar membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Tajudin mendakwa ada usaha untuk menipu ahli Umno dengan mengatakan tanah berkenaan dijual kepada Yayasan Pahang, bukan dijual kepada syarikat milik bukan bumiputera.
Namun carian di pejabat tanah membuktikan dua bidang tanah seluas 636 ekar dan 404 ekar di Maran itu bukan dijual kepada Yayasan Pahang tetapi kepada Accent Plams dan Promvest Sdn. Bhd. yang beralamat di Selangor. Kedua-dua syarikat itu dipercayai dimiliki oleh individu yang sama berdasarkan persamaan alamatnya.
Mudah Jual
Mengapa Umno dengan mudah memperolehi tanah seluas itu, hanya pemimpinnya sahaja yang tahu. Begitu juga mudahnya Umno menjual tanah yang dimilikinya, hanya pemimpin Umno sahaja yang tahu. Tetapi jika rakyat biasa memohon tanah meskipun hanya untuk tapak rumah, mereka terpaksa menunggu puluhan tahun untuk mendapatkan jawaban.
Jawaban mudah kepada persoalan itu ialah kerana kuasa politik. Kuasa politiklah yang menjadikan Umno begitu berkuasa sehingga kebenaran untuk menjual, memajak tanah dan sebagainya berada di tangan menteri besar yang kini disandang Adnan Yaakub.
Kuasanya ditulis dengan jelas pada surat Kaedah Tanah Pahang (jadual 19) bab sekatan kepentingan dimana kebenaran bertulis daripada menteri besar diperlukan untuk memindah milik, memajak dan menggadai mana-mana tanah.
Dalam konteks tanah Umno ini, menteri besar mempunyai kuasa tersebut justeru mudahlah bagi Umno untuk melakukan apa sahaja yang mahu dilakukan terhadap tanah miliknya.
Adnan adalah pengerusi perhubungan Umno, Adnan juga menteri besar yang meluluskan pindah milik tanah (jual). Semua berada di tangannya. Beliau tidak pernah mendapat kelulusan mesyuarat Exco untuk melakukan urusan bersabit tanah milik Umno itu.
Tanah seluas itu dijual dengan keuntungan RM600 juta, menurut pendedahan Tajudin.
Selepas ini percayalah Umno akan meluluskan kawasan baru pula untuknya selepas semua tanah miliknya habis dijual.
Begitulah cara Umno memperjuangkan bangsanya; dulu, kini dan selamanya! Dan tentunya cara demikian disukai oleh sekalian Umno dan untuk itulah mereka bermati-matian mempertahankan kuasa politik supaya terus kekal ditangan Umno.
Percayalah tindakan Umno itu amat bertentangan dengan hujah ketika berhadapan dengan PAS dalam pilihan raya.
Semasa kempen pilihan raya, parti itu mendakwa kononnya adalah benteng Melayu, mempertahan hak Melayu; tetapi rupanya-rupanya parti itu petualang Melayu yang membolot tanah dan kemudaian menjualnya kepada bukan Melayu.
Sikap ini sepatutnya disedari oleh rakyat sebagai panduan mereka dalam memilih pemerintah pada masa hadapan dan percayalah parti pembangkang tidak terlibat langsung dengan aktiviti penjualan tanah ini!- tajdid
No comments:
Post a Comment