Saturday, August 23, 2008

Minyak turun: Terima kasih kepada Wan Azizah

Kalaulah tidak kerana keputusan Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh belum tentu harga petrol akan diturunkan secepat ini. Ini semua adalah gara-gara BN ingin memancing undi agar sekurang-kurangnya BN dapat mengurangkan majoriti pada Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Besar jasa Wan Azizah dan Anwar kepada rakyat Malaysia. Sekurang-kurangnya dapat kita mengurangkan sedikit belanja harian.

Namun tuan-puan kena ingat walaupun harga petrol diturunkan namun harga barangan sudah pasti tidak akan diturunkan. Harga beras tidak akan menjadi lebih murah seperti sebelum ini dimana 10 kg hanyalah antara RM17-RM19 sahaja. Jangan mimpi.

Rakyat jangan lupa kezaliman BN yang menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen pada awal Jun lalu sehingga menyebabkan harga barangan melambung tinggi tidak masuk akal. Kini BN cuba menipu rakyat dengan menurunkan harga minyak 15 sen sahaja seliter tetapi kerajaan BN sudah pasti tidak berupaya memaksa peniaga menurunkan harga barang.

Awas pengundi Permatang Pauh jangan termakan dengan jerat dan jebak yang dipasang oleh BN yang begitu pandai berlakon menjadi orang 'maksum'.

Adalah diharapkan pengundi Permatang Pauh tetap memberikan undi kepada Anwar kerana pengorbanan Wan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh akhirnya berjaya 'memaksa' Pak Lah dan kuncu-kuncunya menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen seliter.

Kepada Pak Lah dan kuncu-kuncunya jangan Tuan memperbodohkan rakyat. Rakyat akan tetap ingat 'jasa' kamu menaikkan harga minyak yang menyebabkan kita terus menderita tanpa kesudahan.

Fakta penurunan harga minyak

Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter berkuatkuasa esok.

Pada masa ini, harga minyak petrol RON97 adalah RM2.70 seliter.

Manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Harga diesel pula diturunkan 8 sen, daripada RM2.58 kepada RM2.50 seliter.

Penurunan harga bahan bakar itu berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan hari ini.

Monday, August 18, 2008

Keikhlasan PAS tidak dihargai orang Melayu

"Jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila wartawan bertanyakan pandangannya berhubungan muzakarah PAS dengan Umno.

"Tergamak Nik Aziz berkata begitu!" mungkin itu luahan spontan orang Umno terhadap kenyataan Mursyidul Am tersebut. Apakah Nik Abdul Aziz tidak melihat masjid, bank Islam dan amal makruf yang dijalankan kerajaan Umno?

Sekiranya dilihat sepintas lalu memang ada kebenaran juga hujah Umno tetapi Nik Abdul Aziz bukan orang baru dalam politik. Semasa PAS bersama Perikatan, beliau sudah bergelomang dalam siasah dan sudah masak dengan politik Umno.

Peristiwa yang paling besar dan sukar dilupakan dilakukan pemimpin Umno ialah menghantar surat menghalang Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Surat tersebut ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun dengan kuasa yang ada di Kelantan, Nik Abdul Aziz masih mampu melaksanakan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) yang gagal dibuat oleh pemerintah Umno.

Walaupun banyak perkara kebaikan yang dilakukan Nik Abdul Aziz tetapi kerana tidak ada kuasa pencegahan iaitu peraturan yang menghalang berlaku kecurian dan rompakan maka kerugian besar dialami oleh rakyat Kelantan apabila kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn dimasuki pencuri yang menyebabkan kehilangan barang emas bernilai jutaan ringgit.

Kerajaan Kelantan sedia membayar ganti rugi kepada penyimpan dengan nilai bersamaan emas yang disimpan. Kepada mereka yang menyukai bentuk antik barangan emas mereka sudah tentu kehampaan tetapi inilah hakikat yang patut diterima apabila peraturan Islam tidak dapat dilaksanakan.

Pemerintah Umno juga gagal mengharamkan judi dan penjualan arak secara berleluasa. Umno juga meneruskan muamalat riba. Keuntungan yang diperolehi daripada sumber haram itu menyebabkan Umno sanggup menghalalkan yang haram.

Perbuatan pemerintah Umno tersebut akhirnya memberi kesan besar ke atas umat Islam. Walaupun masih ramai yang mempercayai perkara itu haram tetapi mereka memandang mudah malah tanpa sedar berlaku amalan haram yang sebati dalam kehidupan mereka.

Tidak dinafikan Umno meningkatkan syiar Islam dengan pembinaan masjid tetapi Umno tidak ikhlas dalam mengimarahkan rumah Allah itu.

Kata Nik Abdul Aziz, ketika beliau hendak datang ke Perak, beliau diminta menyampaikan khutbah di masjid negeri itu. Namun apabila beliau sampai di Perak, diberitahu pula beliau tidak boleh berkhutbah.

"Saya hendak tanya siapa yang tidak berikan kalau tidak Umno yang sejak dari dahulu lagi tidak mahu orang ramai mendengar ceramah agama. Jadi buat apa kita hendak berunding juga dengan mereka yang tidak mahu membenarkan orang ramai mendengar ceramah agama," ujarnya.

Jadi alasan Nik Abdul Aziz bahawa jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS memang sangat sesuai dan kenyataan yang patut menjadi iktibar kepada Umno kerana mereka sebenarnya tidak ikhlas dengan Islam.

Bagaimanapun dalam PAS terdapat dua aliran sama ada pendapat mengatakan tidak bersetuju dengan muzakarah dan yang bersetuju.

Namun begitu kedua pendapat tersebut bukan merupakan satu percanggahan apabila Mursyidul Am PAS, berkata muzakarah boleh dilakukan sekiranya Umno sedia menerima Islam.

Pendapat Nik Abdul Aziz itu tidak bertentangan dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin yang lain, malah mereka sealiran demi kepentingan Islam, masa depan negara serta dominasi Ahli Parlimen Islam dalam kerajaan.

Mursyidul Am, berkata PAS akan memberitahu pemimpin parti Umno mengapa menerima Islam separuh, terima kufur separuh.

"Saya nak jumpa supaya Umno tidak terus menerima Islam separuh sahaja kerana jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS.

"Kerana muzakarah bukan hendak membincangkan mengenai kerusi atau kementerian tetapi bagaimana hendak berdepan Allah di hari akhirat kelak," katanya.

Ternyata kedua pemimpin besar PAS begitu ikhlas dengan Islam dan orang Melayu tetapi orang Melayu tidak memahami kerana pemikiran mereka dijajah oleh Umno yang terlalu gila kuasa, pangkat dan harta kekayaan.

Malah penjajahan Umno terhadap pemikiran orang Melayu itu melalui media massa dan kuasa kerajaan memutar belitkan fakta dan propaganda memburukan PAS.

Walaupun begitu, betapa jahatnya Umno lakukan terhadap PAS tetapi PAS tetap tidak berdendam dengan Umno. Dalam hal ini PAS mempunyai pendirian yang konsisten.

Umpamanya dalam masalah Iraq, sikap PAS mengecam kekejaman Presiden Iraq, Saddam Hussein terhadap rakyatnya.

PAS melahirkan pemusuhan dengan Saddam kerana pembunuhan ke atas rakyat yang tidak berdosa malah Saddam tidak bersedia melaksanakan undang-undang Islam.

Sebaliknya pemusuhan PAS boleh berubah malah bersimpati dengan Saddam apabila beliau diserang oleh Amerika Syarikat pada 2003. PAS menyifatkan kekejaman tidak boleh dibalas dengan kekejaman.

Walaupun Saddam kejam tetapi tindakan Amerika itu lebih kejam. Amerika tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman Iraq. Biarkan rakyat Iraq sendiri bertindak terhadap pemimpin mereka dan menentukan hala tuju politik negara itu.

Begitu juga PAS mengecam Umno kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), rasuah, menaikkan harga minyak dan lain-lain tetapi PAS tidak dapat menerima orang bukan Islam mendominasi politik pemerintah negara.

Ia bukan berkauman tetapi keutamaan kepada kepentingan Islam serta melihat peristiwa dan sejarah lalu yang berlaku dalam negara. Dalam keadaan sekarang pun orang bukan Islam sudah berani menginjak dan mempertikaikan Islam apa lagi apabila mereka menguasai negara.

Bagaimanapun sekiranya Umno masih berniat jahat dengan Islam tetapi Allah SWT lebih mengetahui tipu daya mereka. Mungkin sudah masanya Umno akan pupus kerana tidak mustahil sekiranya Ahli Parlimen Umno pun turut berbondong-bondong menyertai PAS atau KeAdilan pada 16 September ini. - mns_

Saturday, August 16, 2008

Sekali lagi Haji Hadi tegaskan Pas Tidak Akan Bersama BN

IPOH, 16 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah umpama orang lemas sekarang dan beriya-iya mahukan pertolongan PAS.

"Saya seorang nelayan, saya tahu cara hendak tolong orang lemas. Kalau kita pakai pendekatan I Love You, dengan kita sekali akan lemas," kata Abdul Hadi diikuti gelak ketawa para perwakilan PAS.

Abdul Hadi membuat ucapan penggulungan perbahasan Uacapan Dasar beliau yang dibahas sehari suntuk oleh para perwakilan.Sebelum beliau, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din memberikan penjelasan bagi pihak Majlis Syura.

Esok muktamar PAS akan bersambung sehari lagi.

Gambar sekitar protes terhadap forum anjuran Majlis Peguam


















Hadi sekali lagi tegaskan kepentingan sumbangan Pas


IPOH, 15 Ogos: Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan pentingnya sumbangan ahli-ahli dan jentera PAS kepada dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam ucaptama merasmikan muktamar PAS ke-54 di sini, Hadi menegaskan PAS memberi sumbangan berharga kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam keadaan “amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan.”

“Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu,” kata Hadi dalam ucapan dasarnya bertema PAS untuk Semua.

“Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Hadi sebelum ini dalam wawancara dengan Harakah melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang dilihat sebagai perkongsian yang tidak seimbang dalam Pakatan hingga meminggirkan PAS.

Ucapan yang dibuat sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh itu menunjukkan sikap PAS yang semakin asertif dalam perkongsian kuasa dengan Pakatan Rakyat terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik, DAP.

Thursday, August 14, 2008

Dewan Ulamak Perak pertahan tulisan jawi

IPOH, 14 Ogos: Wakil Dewan Ulamak PAS Perak mempertahankan tulisan jawi yang digunakan oleh Dewan Ulamak dalam mencetak ucapan ketua mereka dalam muktamar kali ini.

Bagi perwakilan itu, Dewan Ulamak mesti mempertahankan identiti ini kerana ia berasaskan Islam.Beliau yang merupakan tuan rumah muktamar ini, mengulas berita yang tersiar dalam Harakahdaily.net, laman web rasmi Harakah yang dimiliki PAS, yang mempertikaikan penggunaan tulisan jawi itu.

Menurut Harakahdaily, ramai wartawan dari akhbar Cina mengadu masalah yang mereka hadapi dalam membuat laporan ucapan itu kerana tidak ada terjemahan dalam tulisan rumi atau Inggeris untuk memudahkan mereka membuat liputan.

Pas, Umno bersatu : Perancangan tak masuk akal

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos: “Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal.” Begitulah komen bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu pemimpin Umno pelawa PAS sertai Barisan Nasional (BN).

Baginya, apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

“Ini ternyata kepada semua dunia bahawa Barisan Nasional kalah dalam tahun 2008. Pemimpinnya masih berkata: Oh, kami menang. Tengok lapan kerusi lagi dapat dua pertiga.

“Sebab itulah jumpa dengan PAS, kot-kot nak dapat PAS masuk sama. Jadi dia dapat cukup kerusi untuk dua pertiga. Jadi PAS pun teringin jugaklah kalau ditawar jadi Timbalan Perdana Menteri nombor dua,” ujarnya sinis.

Ahli Umno bernombor 0001 yang telah keluar parti itu berkata demikian pada majlis forum ‘Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu’ anjuran Badan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sebuah resort di sini, Sabtu lalu.

Katanya, pada anggapan pemimpin Umno, apabila PAS menyertai BN, maka mereka akan mendapat dua pertiga kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Jadi kuat baliklah. Tetapi malangnya, ada kemungkinan PAS masuk, orang lain keluar. Jadi, jumlahnya tak dapat jugak dua pertiga. Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal,” katanya lagi.

Baginya, kalau ada pakatan yang semacam itu, kononnya untuk perkara tertentu, beliau fikir rakan-rakan Umno dalam BN tidak akan merasa senang hati dan sekali lagi Umno perlu melayan rakan-rakannya itu.

Sekarang inipun, tambahnya sudah layan tetapi Umno perlu melayan lebih lagi rakan-rakannya dan akan terus lemah walaupun bergabung dengan PAS.

Katanya, walaupun Umno mendapat 79 kerusi dan dicampur yang rakan-rakan lain di dalam BN sehingga dapat mendirikan kerajaan Pusat tetapi dari segi kekuatan mereka masih kalah kerana mereka sudah tidak berani untuk bercakap apa-apa terutama untuk mempertahankan dasar-dasar bagi melindungi orang Melayu.

Bertenang dalam isu muzakharah Pas-Umno, kata Nasharudin

IPOH, 14 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta ahli dan para penyokong PAS agar bertenang menghadapi isu muzakarah PAS dan Umno yang ada sekarang.

"Sebenarnya, di saat ini kita mesti bertenang dan follow perkembangan dari semua sudut very very closely. Jangan dikalutkan suasana," kata beliau ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke 49 di Stadium Indra Mulia malam tadi.

Menurutnya, apa yang dibuat oleh pemimpin PAS adalah atas keputusan Majlis Syura Ulama pada 23 April dan bukan untuk berunding kerusi.

"Yang paling penting, pimpinan kita bertemu pimpinan UMNO dengan mandat dan keputusan
Syura. Mereka pergi bukan untuk berunding kerusi jawatan menteri tetapi untuk beritahu pimpinan UMNO supaya terima Islam sebagai penyelesaian masalah ummat Malaysia. Benar, UMNO sedang lemah dan mereka mengajak kita dalam keadaan mereka lemah. Jika mereka kuat, mereka tidak mengajak kita," katanya di muktamar itu.

Bagi beliau, ruang dan medan dakwah terbentang luas dan PAS berdakwah dengan mengambil pentas politik berasaskan amalan prinsip demokrasi moden.

Majlis Syura Ulamak yang telah bersidang pada 23 April 2008 telah memutuskan untuk membenarkan beberapa pimpinan PAS bertemu dan berbincang dengan pimpinan UMNO mengenai permasalahan Islam dan orang Melayu akibat pasca PRU 12.

"Kita berpegang pada konsep tahalluf as-siyasi dan di atas konsep inilah kita berkerjasama dengan PKR dan DAP.

"Siapakah mad’u kita yang paling hampir dengan kita kalau bukan ahli PKR, DAP malah UMNO sekalipun? Benarkah ahli PKR dan DAP bukan mad’u yang perlu kita dakwahkan lagi kerana mereka sudah menjadi rakan sekutu kita?

"Barangkali sekutu politik ya, tapi bukan benar-benar memahami kita. Bukan sekutu yang memahami Islam sefaham kita. Bukankah DAP terang-terang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Islam dari dulu sampai sekarang, tak padam-padam. Tapi DAP masih sekutu politik PAS!

"Nisbahnya, jika sedemikian maka bermuzakarah dengan siapa sahaja perlu dilihat dalam rangka dakwah yang lebih luas," kata Nasharudin dalam ucapannya.

Perluaskan kerjasama dalam negeri Pakatan - Salahudin

IPOH, 14 Ogos: Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata, usaha-usaha memperteguhkan kemenangan dalam Pakatan Rakyat ini harus diperluaskan dengan kerjasama lebih erat di kalangan lima buah negeri yang dikuasai, khususnya dalam soal pentadbiran dan ekonomi.

"Saya mencadangkan supaya negeri-negeri ini mewujudkan koridor kuasa PR bagi memperteguh urus tadbir kerajaan dan pengurusan ekonomi," katanya ketika memberikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.

Salahudin juga berkata, antara kekuatan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk negeri ialah soal tanah dan agama yang mesti digemblengkan secara maksimum.

"Hasil bumi yang kaya ini mesti dimanfaatkan secara terancang untuk kebaikan bersama. Jaringan kerjasama ekonomi dan persefahaman politik mesti dibuat dengan segera.

"Saya menggesa supaya sebuah Jawatankuasa Pemandu PR di peringkat pusat diwujudkan supaya dasar-dasar kerajaan PR dapat diselaraskan, agihan sumber dan rancangan pembangunan bersama juga dapat diaturkan sehingga kita dapat menangani sekatan politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas lima buah negeri ini.

"Jawatankuasa Pemandu ini perlu berperanan agar lima buah negeri PR ini menjadi satu ’Persekutuan’ yang saling bahu-membahu dalam mengekalkan keyakinan dan kepuasan rakyat," tegas beliau dalam ucapan itu.

Beliau juga meminta agar hubungan rakan-rakan PR mesti diperkukuhkan.

"Kita mesti menghormati dasar dan tujuan perjuangan rakan-rakan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menghormati kita. Jika kita saling mempersoalkan dasar orang lain, maka selagi itu pakatan ini tidak akan kukuh.

"Islam yang didukung oleh PAS tidak pernah menzalimi atau menganiayai sesiapa, termasuk bukan Islam. Bahkan, Islamlah satu-satu sistem pemerintahan yang telah terbukti memberikan keadilan kepada semua manusia seperti yang terakam dalam sejarah Khulafa’," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kepimpinan Pemuda PR agar memainkan peranan penting kearah menganjak paradigma pemikiran rakyat untuk memahami dasar perjuangan masing-masing dan mencipta satu era baru yang lebih kondusif untuk kita bekalkan kepada generasi akan datang.

"PAS berdiri tegak dan teguh sehingga hari ini kerana perjuangan Islam yang dilihat dan diyakini konsisten, DAP terus relevan di persada politik kerana nilai dan prinsip social democrat, socialistic inclination yang dipertahankan, manakala PKR terus mara dengan slogan keadilan untuk semua.

"Saya mengajak pimpinan Pemuda PR melangkah ke hadapan dengan nilai sejagat perjuangan ini serta membuktikan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita mampu merealisasikan citi-cita perjuangan kita dengan penuh tanggungjawab.

"Saya tidak rela untuk terperangkap dan terjerumus dalam jebak dan konflikpermusuhan yang tak kunjung sudah yang mengheret kita Pemuda PR untukterus bersangka buruk dan membiarkan minda rakyat terus dibelenggu olehmomokan dan persepsi PAS dengan Islam yang ganas serta DAP dengan sikapchauvanisnya atau parti perkauman Cinanya.

"Telah sampai masanya kita Pemuda PR memulakan era baru dengan menamatkan konflik ini secepat mungkin," tegas beliau.

Katanya, segala konflik diantara mereka tidak akan dapat diselesaikan denganhanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman, sentimen untung rugipilihan raya semata-mata tetapi cara yang lebih bijak dan bertanggungjawabperlu diterokai.

"Gelanggang ilmu, persada pengetahuan dan pentas diskusiintelektual mesti disuburkan untuk kita mencambahkan politik berasaskan ilmu(k-politic) bagi kita mewajahkan semula perjuangan PR yang lebih menyakinkan.Politicians think for the next election, statesmen think for the next generation," kata beliau.

Saturday, August 2, 2008

Terharu dengan 'petugas' PAS ber't-shirt' pagoda.

WALAUPUN cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran dan ukhwah sesama manusia. Bahkah lebih dari itu, terasa kemesraan dan tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika negara terkejut dengan isu “kongsi raya”.

Rakan saya, yang kini Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.

Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.

Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya dan Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.

Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu, Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpangkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai dan membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.

Sikap bertanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Ipoh.

Ketika ummat Islam mahu menyambut hari raya Aidulfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Cina dan disebut “Kongsi Raya”, sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesyen Petronas Hentian Rehat Tapah.

Ustaz Nasir bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampong.

Waktu itu, tiada satupun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidulfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut hari raya Cina. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.

Tiba-tiba, beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya, Amran masih mengenal Ustaz Nazir dan berjanji akan menghantar “petugas” ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.

Ketika itu, umat Islam masih berpuasa dan esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang “petugas” terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar dan jenis tayar bagi memudahnya mendapatkan tayar berkenaan.

Kira-kira 30 minit kemudian, “petugas” berkenaan sampai dan membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata dan kelihatan peramah. Barangkali “petugas” itu tinggal tidak jauh dari Tapah.
Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, “petugas” itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu sekitar pekan Tapah.

Dengan menaiki kereta “petugas” itu, mereka menuju Pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Cina dan esok hari raya Aidulfitri.

“Petugas” itu melurukan keretanya ke arah Pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapak ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar yang dicari-cari.

Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak dan isterinya. Sebaik tiba, “petugas” itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya tshirt pagoda nipis berwarna putih.

Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh “petugas” itu. Kerana katanya, ini sudah jadi tanggungjawab beliau untuk menolong sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.

Amranpun pernah memberitahu perkara itu. “Petugas” itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahupun kenderaan lain.

Peluh jantan mencurah-curah keluar. “Petugas” itu terus gigih memasang semula rim kereta. Tshirt pagodanya sudah lenjun basah. Terik mahatari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga dan tidak bermaya. Namun, “petugas” itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.

Setelah selesai, dan “petugas” itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula baju kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai sagu hati. “Petugas” itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.

Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab dan tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan “petugas” itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau “petugas” itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jamaah (PAS).

Sambil berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada “petugas” yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada “petugas” itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.

“Ustaz Nazir Zakaria. Oh… Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga,” kata “petugas” itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. “Petugas” itu juga turut mengeluarkan kad namanya dan menghulurkan kepada Ustaz Nazir.

“Ini kad ana. Manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana,” ujar “petugas” itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.

Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak). Rupa-rupanya, “petugas” itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau.

http://sanggahtoksago.blogspot.com

Friday, August 1, 2008

Persiapan Muktamar PAS Ke-54 di peringkat akhir, Perak janjikan kejutan.



IPOH, 1 Ogos (Hrkh) - Persiapan PAS Perak bagi menganjurkan Muktamar PAS ke-54 yang akan diadakan di Bandaraya Ipoh bermula 13 Ogos ini di peringkat akhir, dan muktamar kali ini menjanjikan kejutan.

Petugas-petugas yang ditemui di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak kini semakin sibuk dengan persiapan di peringkat akhir menjelang Mukmatar PAS kali ke-54.

Tinjauan yang dibuat Harakahdaily hari ini menunjukkan beberapa orang petugas masing-masing sedang menyiapkan kerja-kerja di peringkat akhir termasuk menyerahkan borang jemputan; menyelaraskan penempatan perwakilan, gerai-gerai jualan dan menguruskan kain-kain rentang promosi Muktamar ke-54 ini.

Muktamar yang akan bermula pada 14 Ogos ini dijangka akan menjanjikan satu kelainan kerana kali pertama diadakan di Perak, kata Pegawai Penerangan PAS Perak, Zainal Ariff yang ditemui di sini hari ini.

Ujar beliau, segala persiapan sudah dilaksanakan sejak sebulan lalu dengan kerjasama PAS Pusat terutamanya, Setiausaha Agung, Dato' Kamarudin Jaffar dan kakitangan Pejabat Agung PAS.

"Kini semakin sibuk dengan semuanya di peringkat akhir, kita jangkakan lebih 50,000 akan mengunjungi Ipoh sempena Muktamar ke-54 ini,

"Sebagai anak Perak, saya berbangga dengan pengajuran ini terutama ia adalah pertama kali diadakan selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif PAS Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad memaklumkan mesyuarat jawatankuasa telah diadakan hampir setiap hari sejak dua bulan lalu bagi memastiklan persiapan berjalan lancar.

"Kami merasa bimbang sebab menjadi tuan rumah untuk pertama kalinya, dan kami ingin melakukan yang terbaik," ujar beliau.

Dalam kesibukan pegawai-pegawai PAS Perak menyiapkan kerja mereka, kedatangan krew Harakahdaily tetap dilayan dengan baik yang membuatkan penulis tersentuh dengan layanan mereka.

Muktamar kali ini akan menghidangkan pelbagai program buat pengunjung antaranya KOnsert Keseninan Islam yang membariskan beberapa artis seperti Amy Search; Zuar XPDC dan kumpulan nasyid, Saff-One.

Di samping itu pengunjung juga akan disajikan dengan program Nostalgia Forum Perdana, gerai jualan dan ceramah-ceramah umum.

Untuk rekod Muktamar Dewan Pemuda dan Muktamar Penuh akan diadakan di Stadium Indera Mulia dan beberapa venue lain termasuk Muktamar Dewan Muslimat di Hotel Hill City, sementara Muktamar Dewan Ulama di Dewan Perbandaran Ipoh.

Harakahdaily.