Monday, June 30, 2008

Nik Aziz lawat mangsa pesawat terhempas


IPOH, 30 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meluangkan masa melawat mangsa kapal terbang ringan yang jatuh terhempas di Taman Chempaka dekat sini pada lewat petang 26, Jun lalu.

Menteri Besar Kelantan itu yang diiringi oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah pergi melihat sendiri keadaan pelatih juruterbang ringan yang kini dirawat di Pusat Pakar Ipoh.

Mangsa adalah ahli Kelab Penerbangan Perak yang berpengkalan hampir dengan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dekat sini.

Manakala jurulatihnya sedang dirawat di Hospital Besar Ipoh sejak kejadian.

Dato' Nik Abdul Aziz telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa pelatih di hospital swasta tersebut.

Lawatan tersebut adalah sempena rangka kerja Menteri Besar Kelantan itu selama tiga hari ke negeri Perak. - mns_

Friday, June 27, 2008

Pas buat laporan BPR, Baiduri disalahguna

IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak hari ini membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta dilakukan siasatan terhadap dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri).

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Salman Saleh, berkata aduan berdasarkan pendedahan Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Ngeh Koo Ham pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam. Beliau berkata wujud keraguan berkenaan status dana kewangan yang diperolehi oleh BAIDURI sebelum pindaan peraturan dalam perlembagaannya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat aduan di pejabat BPR di sini, Salman berkata jawatankuasa lama Baiduri diketuai Datin Seri Kamariah Mokri dan isteri-isteri Adun Barisan Nasional (BN) telah meminda syarat keanggotaan dari “isteri-isteri wakil rakyat kerajaan Negeri Perak” kepada “isteri-isteri Adun dan Ahli Parlimen Perak dari BN” pada 18 Februari 2008 sedangkan Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Februari 2008.

“Ini kerana pada 18 Februari 2008 Datin Seri Kamariah Mokri dan isteri Adun bukan lagi berstatus isteri kepada Adun kerana Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, kerajaan Perak telah bertukar kepada Kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Penjelasan perlu dibuat mengenai status kewangan Baiduri yang berjumlah RM300,000 serta deposit tetap sebanyak RM1 juta di Tabung Haji, katanya. - Bernama

Tuesday, June 24, 2008

Harakah dibenar terbit 2 kali seminggu


Kerajaan telah meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu, seperti sebelumnya.

Lembaga pengarah Harakah telah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Pada masa ini, Harakah diterbitkan dua kali sebulan, sejak tahun 2000.Surat kelulusan dari KDN itu juga menyebut antara syaratnya ialah melaporkan aktiviti pertubuhan tersebut (parti PAS).

Mengenai tarikh pertukaran kekerapan penerbitan Harakah, Ahmad Lufti berkata, ia tidak dimaklumkan dalam surat tersebut.

Perkembangan positif


Sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu, jumlah edaran Harakah ialah kira-kira 140,000 nashkah."Selepas pilihanraya umum lalu, jumlah edarannya telah meningkatkan kepada 250,000 nashkah," katanya.Mengenai langkah seterusnya, Ahmad Lutfi berkata, beliau akan merujuk kepada pihak atasan Harakah mengenai soal editorial dan beberapa perkara yang perlu diubahsuai, terutama mengenai kesediaan kilang cetak dan pengedar akhbar.


Menurutnya, jabatan pengarang Harakah juga memang mampu dan bersedia untuk menerbitkan akhbar tersebut sebanyak dua kali seminggu.Ditanya mengenai keputusan KDN itu, Ahmad Lutfi mengalu-alukannya dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang positif.


Beliau berharap, ia menjadi satu permulaan untuk membuka ruang kepada kebebasan media dan demokrasi."Harakah tidak semata-mata akhbar parti, tetapi ia juga bertanggungjawab untuk menyuarakan kebenaran," katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang menarik.

Monday, June 23, 2008

Nik Aziz di 'Himpunan Ketuanan Rakyat' 29 Jun ini


IPOH, 23 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan akan berceramah di 'Himpunan Ketuanan Rakyat' di Stadium Perak, Jalan Kg. Simee dekat sini pada malam 29 Jun ini.

Himpunan tersebut anjuran Sekretriat Kerajaan Pakatan Rakyat dan akan turut digegarkan dengan pidato Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Presiden DAP, Lim Kit Siang.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusinya Ismail Yusof dalam sidang media dekat sini lewat petang semalam dengan menegaskan bahawa pidato 'Himpunan Ketuanan Rakyat' itu akan diadakan seperti dirancang pada 29 Jun ini di Stadium Perak mulai jam 9.00 malam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin atau mempercayai poster-poster yang menyatakan bahawa himpunan itu dibatalkan.

Menurutnya, sebelum ini perhimpunan berkenaan yang telah mendapat permit dari polis tidak dapat diadakan seperti dijadualkan pada 15 Jun lalu disebabkan majlis Musabaqah yang diadakan di Masjid Negeri dekat sini, maka kini ianya ditunda kepada 29 Jun.

Beliau juga melahirkan harapan agar perhimpunan tersebut dapat mengumpulkan seramai mungkin rakyat negeri Perak.- mks._

YM Fadhil - Petugas Unit Amal




Saudara YM Fadhil, seorang petugas Unit Amal yang gigih dan komited apabila ada panggilan untuk bertugas di mana sahaja yang diperlukan.

Gambar pertama adalah semasa bertugas di Intim untuk Seminar Memperkasa Wakil-Wakil Rakyat PAS yang dihadiri oleh semua Ahli-ahli Parlimen PAS.

Gambar yang kedua semasa bertugas di kediaman Menteri Besar Perak sempena perkahwinan anak perempuan Menteri Besar Perak.

Gambar yang ketiga dan keempat semasa bertugas dikediaman rasmi Menteri Besar Perak bersama rakan seperjuangan Cikgu Nahar.

Sunday, June 22, 2008

Ceramah Mat Sabu 23/06/2008


Ceramah perdana akan diadakan di Mini Stadium Gugusan Manjoi pada hari Isnin 23/06/2008 jam 9 malam anjuran PAS Tambun.
Para peceramah yang diundang ialah, penceramah sensasi , Tuan HJ Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Pusat. Turut serta dalam program tersebut ialah Mustaffa Kamil Ayub dari PKR.
Semua dijemput hadir.

Saturday, June 21, 2008

Tahniah kepada Ketua Kampung Sg Rapat yang baru


Warta Sg Rapat ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Ahmad Bin Osman yang telah memenangi pemilihan jawatan Ketua Kampung Kampung Melayu Sg Rapat siang tadi.

Semoga dengan kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat kampung demi memastikan keadilan dan hak rakyat terpelihara.

Sekali lagi ucapan tahniah dari kami.

Thursday, June 19, 2008

Pemilihan Ketua Kampung Sg Rapat Sabtu 21/06/2008



Pemilihan Ketua Kampung bagi kawasan Kampung Melayu Sungai Rapat akan diadakan pada hari Sabtu ini (21 Jun 2008) di Dewan Orang Ramai Kg Melayu.
Calon-calon yang bertanding adalah di antara Khir Mohd Yusof (berbaju putih) yang mewakili UMNO manakala Ahmad Bin Osman (berbaju belang) pula mewakili PAS.
Sedikit latar belakang tentang calon PAS, Ahmad Osman :
Ahmad Osman merupakan anak kedua kepada bekas Imam dan ketua kampong disitu, iaitu Kampung Melayu Sungai Rapat yang akan ditandinginya nanti. Arwah ayahnya itu telah melepaskan jawatan Ketua Kampung setelah tidak sanggup berdepan dengan karenah orang politik yang 'tidak jujur', begitulah katanya. Ahmad Osman, seorang Sub-Kontraktor bagi pemasangan pendawaian eletrik terpaksa akur kehendak jemaah walaupun pada mulanya beliau menolak untuk dicalunkan sebagai ketua kampung. Alasan jemaah ialah, beliau boleh diterima oleh ramai pihak , sama ada dipihak Umno apatah lagi PAS.
Latar belakang Khir Mohd Yusoff pula yang diketahui hanyalah bekerja sebagai penjaga Dewan Carsem di Kg Melayu. Nak tahu lebih lanjut kenalah cari di blog pihak Umno.
Semoga perjalanan pemilihan nanti didalam suasana yang aman dan teratur, tidaklah kecoh seperti mana yang berlaku di Kampung Seri Rahmat.
Dan diharapkan juga orang kampung dapat memilih ketua mereka dari kalangan orang yang layak lagi berilmu.
Selamat mengundi.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak genap 100 hari

IPOH, 18 Jun (Hrkh) : Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengisytiharkan bahawa usia Kerajaan Pakatan Rakyat sudah memasuki 100 hari semalam.

Namun demikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Menteri Besar di sini semalam beliau berkata, bahawa jika mengikut tarikh angkat sumpah Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak (Exco) di Istana Iskandariah pada 17 Mac lalu, kerajaan negeri itu baru berusia 90 hari.

"Kalau hendak dikira genap 100 hari, ianya pada awal Julai nanti. Walau bagaimanapun hari ini merupakan sambutan simbolik 100 hari tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat ini," katanya kepada semua wakil media kecuali Utusan Melayu.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri akan mengadakan sidang akhbar lain tepat 100 hari pemerintahan pada awal bulan depan.

Dalam penerangan mengenai pembangunan kerajaannya, beliau menyatakan bahawa rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai keadaan ekonomi dan pembangunan negeri Perak kerana kerajaan mempunyai wang tunai bagi tujuan tersebut.

Beliau menyatakan, wang berkenaan itu adalah dari sumber cukai rakyat dan dari hasil pendapatan pelaburan luar dan dalam negeri.

Untuk itu tegasnya, Kerajaan Perak mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat dan bantuan kepada golongan miskin.

Tetapi kerajaan terpaksa berhati-hati menggunakan wang supaya tidak membazir, katanya.
Menteri Besar itu turut menyatakan rasa terharunya atas sambutan rakyat terdiri daripada pelbagai kaum, yang datang datang mendapatkan pertolongan dan bantuan daripada kerajaan negeri.

"Kerajaan Pakatan Rakyat sangat mengalu-alukan kedatangan mereka dan kerajaan sentiasa menanti dengan tangan terbuka untuk membantu mengikut kemampuan," ujarnya. - mns_

Dewan Ulama PAS diseru perkasakan tugas dan tangungjawab

TAIPING, 16 Jun (Hrkh) - Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ustaz Mohd. Zin Abdul Rahman menegaskan sudah tiba masanya Dewan Ulama PAS di seluruh negara memperkasakan tugas dan tanggung jawab kepada rakyat.

Katanya, hal tersebut adalah wajib bukan sahaja setelah Kerajaan Pakatan Rakyat dapat didirikan dalam empat negeri dan menang di Wilayah Persekutuan, tetapi ia seharusnya diperkukuhkan lagi setelah mencapai kemenangan dalam PRU Ke-12 lalu.

Ketika merasmikan Dewan Ulama PAS Perak di Markaz Air Kuning semalam, beliau memfokuskan kepada tajuk pidatonya, iaitu peranan Dewan Ulama khasnya bagi negeri Perak setelah Kerajaan Pakatan Rakyat dapat didirikan?

Beliau menyeru Dewan Ulama PAS Perak berusaha mengubah "taktik perang" supaya ia seiring dengan dasar pentadbiran kerajaan baru yang ada sekarang.

"Cubalah berusaha merapatkan jurang "ulama" dengan rakyat melalui pelbagai lajnah dalam PAS seperti Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Unit Amal dan seumpamanya," tegasnya.

"Saya tahu, memanglah kebanyakan Ulama orang lama, tak larat hendak berjalan jauh-jauh seperti pergi berpiket di tengah panas berbatu-batu jauhnya berjalan kaki bersama pemuda dan NGO lainnya, tetapi tunjukkanlah muka kepada mereka sedikit, berilah perangsang dan semangat seumpama untuk pergi berdemo membantah minyak naik di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.

Tegasnya, Dewan Ulama perlu berusaha menambah jumlah ahli baru PAS termasuk dari kalangan remaja dan pelajar lepasan pengajian tinggi dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan parti.

Katanya, Dewan Ulama harus melangkah dengan wajah dan penampilan baru bagi menerokai politik yang semakin mencabar dan perlu menjadi jaguh dalam arena syariat Islam.

Untuk itu tegasnya, Dewan Ulama PAS Pusat sedang berusaha meletakkan ulama dalam setiap lajnah PAS khasnya dan dalam kerajaan Pakatan Rakyat amnya sebagai persediaan untuk menjadi rujukan semasa. - mns_

MB Perak disaran rujuk Dewan Ulama PAS Perak berhubung masalah agama

TAIPING, 16 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disaran supaya merujuk kepada Dewan Ulama PAS Negeri Perak jika menghadapi masalah berhubung hukum hakam pentadbiran Islam.

Usul tersebut yang telah dibangkitkan dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Perak Ke-32 di Markaz Air Kuning dekat sini malam semalam telah diterima sebulat suara untuk dibawa ke Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Ipoh akan datang.

Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Shuib Din apabila diminta oleh Muktamar mengulas lanjut mengenainya menyatakan Dewan Ulama PAS Perak memang memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak langsung sejak ia ditubuhkan lebih 100 hari lalu iaitu sebagai bantuan moral kepada Exco Agama dan Kebajikan, Haji Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof sejak beliau dilantik dalam kerajaan baru itu.

"Saya tahu sebarang perkara bersabit dengan hukum hakam Islam untuk ditujukan kepada rakyat yang memerlukannya tidak boleh dibuat atau diputuskan oleh seseorang individu tetapi haruslah merujuk kepada institusi seperti Dewan Ulama PAS Perak, dimana sebarang masalah akan diputuskan atau dibuat cara berkumpulan oleh orang yang mahir dan mendalami mengenai
hukum tersebut", tegasnya.

"Kami para Ulama dari Dewan Ulama PAS Perak khasnya telah membuat tinjauan dan risikan bagi menambahkan ilmu pengetahuan tentang cara petadbiran dengan Kerajaan Kelantan sebaik sahaja negeri Perak berkerajaan baru.

"Kami cuba mengguna pakai ke atas apa yang sesuai daripada Kelantan untuk dimanfaatkan kepada negeri Perak," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Muktamar bahawa dalam perancangan, Dewan Ulama PAS Perak akan menempatkan sekurangnya seorang wakil ulama di Pejabat Menteri Besar Perak sebagai tempat rujukan segera.

Muktamar semalam juga bersetuju menerima usul yang mencadangkan setiap Majlis Kerajaan Tempatan mempunyai wakil Dewan Ulama di dalamnya sebagai bagi memantau sebarang kegiatan negatif di bandar kecil dan pekan-pekan. - mns._

Saturday, June 14, 2008

Friday, June 13, 2008

Tahniah


Sekalung tahniah warta sg rapat ucapkan buat Cikgu Ali yang memenangi jawatan Ketua Kampung Sungai Rokam tanpa bertanding.
Beliau yang juga aktif dengan blognya 'Alhusseyn' dirasakan memang layak menyandang jawatan itu memandangkan penglibatan beliau sekian lama didalam apa jua aktiviti mahupun permasalahan yang berlaku di Kampung Sungai Rokam.
Semoga Cikgu Ali dapat menjalankan tugas dengan penuh adil dan amanah bagi memenuhi hasrat penduduk Kampung Sungai Rokam.
Sekali lagi ucapan tahniah buat ketua kampung yang baru.

Thursday, June 12, 2008

Tajol Rosli masih belum serah tugas MB

GERIK, 11 Jun (Hrkh) - Sikap berdiam diri bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali yang sehingga kini masih belum menyerahkan tugasnya secara rasmi kepada Menteri Besar yang baru, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bukan sahaja menimbulkan tanda tanya kepada rakyat negeri ini, malah ianya mengecewakan Menteri Besar yang baru.

Tajol Rosli sewajarnya lebih bersikap terbuka dan menerima keputusan rakyat serta mengikut jejak langkah bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang melakukan serahan tugas kepada Menteri Besar yang baru, tetapi malangnya perkara ini belum lagi berlaku.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin berkata demikian pada majlis jamuan rakyat sempena lawatan rasminya ke Daerah Hulu Perak semalam.

"Sepatutnya Tajol Rosli bertemu saya untuk menyerahkan tugas Menteri Besar itu sebaik sahaja kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya umum lepas," jelasnya.
Namun katanya, tindakan Tajol Rosli yang masih enggan menyerahkan tugas Menteri Besar secara rasmi boleh menggambarkan sikap beliau yang tidak bersifat lelaki budiman, ini jauh sekali berbeza dengan bekas Mentei Besar Selangor dan Kedah dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Sehingga sekarang Tajol Rosli masih belum menyerahkan tugas rasminya kepada saya, tindakan itu dianggap tidak 'gentlemen'.

"Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Dato' Seri Mahdzir Khalid, semuanya bersalam dan serah tugas secara rasmi kepada penggantinya, tetapi sampai sekarang orang ramai tidak pernah tengok pun bekas Menteri Besar Perak bersalam dengan saya serah tugas, apa salahnya jumpa saya seperti bekas Menteri Besar lain," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana masih belum membenarkannya ke udara menerusi saluran radio Perak FM sedangkan beliau adalah ketua kerajaan negeri ini selaku Menteri Besar Perak yang ke-10.

Selaku Menteri Besar dan wakil kerajaan negeri yang mendapat mandat rakyat serta perkenan Sultan Perak, RTM sepatutnya memberi penghormatan kepada kerajaan negeri sekarang,tegasnya. - mks. _

Wakil rakyat Pakatan berkhidmat tanpa mengira bangsa dan agama

TAIPING, 10 Jun (Hrkh) - Wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang dan dua Dun, iaitu Kuala Sepetang dan Changkat Jering akan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, wujudnya banyak parti , setiap parti berlumba-lumba melakukan kebajikan, tetapi Pakatan Rakyat mempunyai caranya tersendiri dalam menguruskan kebajikan,"demikian ditegaskan Ahli Parlimen Bukit Gantang , Roslan Shaharum, ketika berucap di hadapan 1,000 orang dari masyarakat Tionghua sempena perayaan 30 tahun Persatuan Tionghua Kuala Sepetang baru-baru ini.

"Akhirnya rakyat negeri Perak telah menerima Pakatan Rakyat memerintah negeri ini kerana rakyat yakin Pakatan Rakyat nanpu memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh hampir 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini, tidak kurang enam pembaharuan telah diperkenalkan termasuk memberikan hak milik kekal terhadap penduduk kampung tersusun dan kampung baru.

"Dalam Parlimen Bukit Gantang terdapat 279 setinggan yang dahulunya tinggal di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu, bila projek landasan berkembar dibina, rumah mereka dirobohkan, tidak ada pembelaan dari Kerajaan BN yang sebelum ini.

"Tetapi bila Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, mereka telah diberikan perhatian, malah Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan tanah tapak rumah kepada mereka di kampung-kampung tersusun di daerah ini,"katanya.

Menurut beliau, tidak ada kerajaan negeri yang memberikan tanah tapak rumah kepada setinggan-setinggan yang dahulunya tinggal di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu, melainkan hanya Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sahaja yang berbuat begitu.

Beliau turut menyarankan agar penduduk di Parlimen Bukit Gantang yang berbilang kaum meningkatkan lagi perpaduan di kalangan mereka supaya semua masyarakat dapat menikmati pembangunan khususnya di kawasan tersebut.

"Tuan-tuan dan puan-puan,boleh meminta pertolongan dengan semua wakil rakyat,termasuklah YB Tan Lian Hoe,Timbalan Menteri Penerangan,"tambah Roslan lagi. - mks. _

Muslimat Pas akan lancar program kebajikan di Temerloh

PARIT, 10 Jun (Hrkh) - Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Pusat mengambil inisiatif untuk melaksanakan program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan dalam usaha meletakkan PAS sebagai pilihan kepada rakyat.

Hasil perbincangan di peringkat lajnah dan persetujuan DMPP, Parlimen Temerloh telah dipilih untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Menurut pengarah program yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Pusat, Salmiyah Mohd Nor, program akan berlangsung pada 27 Jun ini dimulai dengan pelancaran dana Kebajikan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMP pusat dan ceramah umum yang akan disertai oleh Ustazah Nuridah Salleh.

"Dijangkakan Naib Presiden PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Dr Siti Mariah Mahmood akan turut berceramah di majlis tersebut,"ujarnya.

Program pada 28 Jun ini akan dipenuhi dengan pelbagai jualan kebajikan, aneka sumbangan kebajikan, perkhidmatan kesihatan percuma, kempen derma darah, ceramah motivasi dan kesihatan serta sukaneka keluarga.

"Perkhidmatan Kesihatan percuma akan diberikan oleh Dr Najihatussalehah Ahmad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah berkenaan,"katanya.

Program di sebelah siang akan diadakan di pekarangan Kilang Sawit, Charuk Putting, Temerloh, Pahang dan orang ramai dijemput hadir untuk bersama memeriahkan program dan mendapat manfaat dari program kebajikan yang dianjurkan.

"Program seperti ini insya-Allah akan diadakan di negeri-negeri yang lain pada masa akan datang,"katanya. - mks. _

Saturday, June 7, 2008

Kolej Islam Negeri Perak mula beroperasi

KUALA KANGSAR, 6 Jun (Hrkh) : Negeri Perak kini mempunyai bangunan kolej Islamnya sendiri yang dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan, bertempat di Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah dekat sini.
Sebelum ini Kolej Islam Negeri Perak yang baru beberapa tahun diwujudkan itu beroperasi di sebuah bangunan sementara di Ipoh.
Bermula 1 Jun lalu kolej tersebut yang siap dibina di tapak sebuah bukit itu telah memulakan sesi pengambilan pelajar barunya bagi tahun 2008/2009 yang terdiri penuntut lelaki dan perempuan dari negeri Perak dan negeri-negeri lain di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Pada peringkat awal pembukaannya, seramai 500 orang pelajar yang telah lulus temuduga layak berlajar di sini selama tiga tahun bagi mendapatkan diploma.
Tetapi bagi pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Arab terpaksa menduduki matrikulasi selama setahun sebelum meneruskan pelajaran mereka selama tiga tahun itu bagi menduduki peperiksaan sijil diploma.
Menurut maklumat, kolej berkenaan yang dijangka akan dirasmikan pembukaannya Julai depan mempunyai pensyarah-pensyarah terdiri daripada lepasan ijazah luar negara termasuk daripada beberapa fakulti universiti antarabangsa seperti Al-Azhar dan Jordon.
Kolej tersebut yang terulung seumpamanya itu di negeri Perak dibina bersebelahan sebuah masjid bagi memudahkan penuntut berjemaah bersama penduduk sekitarnya. - mns_

Seminar memperkasakan Kelab Penyokong Pas Perak, 7 Jun

IPOH, 6 Jun (Hrkh) - Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak dengan kerjasama PAS Kawasan Bukit Gantang akan mengadakan Seminar Memperkasakan Kelab Penyokong PAS Peringkat Negeri Perak pada 7 Jun ini bertempat di Markaz Tarbiyah PAS negeri, Air Kuning, Taiping.

Pembentangan kertas kerja dan ucap utama bertajuk 'Memperkasakan Kelab Penyokong PAS' akan disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, manakala majlis penutupnya akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Menurut setiausaha lajnah berkenaan, Khalilul Rahman Abdul Samad, seminar tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan strategi kepada anggota parti ke arah berusaha menambat hati bukan Islam kepada PAS.

Dalam masa sama juga seminar itu bertujuan untuk meneliti kelemahan dalam konteks kerjasama antara kaum sepanjang pilihan raya umum yang ke-12 baru baru ini.

"Kita berharap usaha yang kita buat ini dapat menggerakkan aktivis Kelab Penyokong PAS supaya terus berada dalam 'istiqomah' dan menyakini perjuangan menegakkan keadilan," jelasnya.

Menurut beliau lagi, seminar tersebut juga diharapkan dapat membuka minda dan medan bertukar pandangan ke arah memantapkan lagi kelab tersebut, dalam masa yang sama dapat mengembangkan jalur lebar kelab penyokong PAS di peringkat akar umbi parti serta membina perpaduan di kalangan ahli.

Kira-kira 240 peserta akan mengikuti seminar tersebut yang mewakili Lajnah Perpaduan Nasional kawasan di seluruh negeri Perak.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak yang juga Pengerusi Agama, Pendidikan Islam, Kebajikan dan Wanita Kerajaan Negeri Perak dijangka turut berucap di majlis tersebut dengan memfokuskan kepada memperkasakan usaha dan strategi PAS dalam masyarakat berbilang kaum. - mns _

400 veteran Umno Seri Konorli bakal sertai PAS

IPOH, 5 Jun (Hrkh) : Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menerima kemasukan 400 orang veteran Umno Cawangan Seri Konorli menyertai PAS beramai-ramai di Sekolah Latihan Wanita, Bangunan Seruan Islam dekat sini, 16 Jun nanti.

Demikian diberitahu oleh Ketua Cawangan Umno Seri Konorli dekat sini, Razman Yahaya kepada Harakahdaily semalam.

Beliau menyatakan majlis perjumpaan tersebut telah pun mendapat persetujuan daripada Pejabat Menteri Besar Perak di mana Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan rasa gembira dan kesediaan beliau untuk hadir pada majlis penyerahan tersebut.

Katanya, atur cara kemuncak majlis tersebut beliau akan menyerahkan bungkusan mengandungi sebanyak 400 borang ahli PAS kepada Ketua Kerajaan Pakatan Rakyat untuk diserahkan kepada Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak.

Menurut Razman lagi, penyertaan beramai-ramai 400 ahli Umno itu adalah julung kali berlaku di daerah tersebut dan ia diharapkan dapat menjadi tauladan dan diikuti oleh mereka yang lain nanti.

Katanya, majlis perjumpaan itu akan diserikan dengan ucapan Dato' Seri Mohammad Nizar, diikuti majlis dialog isu semasa. - mns_

Amalan kronisme BN dihapus, projek akan diberikan kepada yang layak

IPOH, 4 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat lebih bersifat terbuka dan mahu memberikan hak kepada usahawan yang berhak dan yang berkelayakan.

Tegasnya, berbanding dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional, yang hanya mementingkan kroni- kroni sahaja dalam memberikan sesuatu projek.

"Amalan kronisme yang dilakukan oleh pimpinan BN akhirnya menyebabkan rakyat merasa jelik dengan pemerintahan BN, kerana itu Kerajaan Pakatan Rakyat perlu menjauhi amalan kronisme kerana ia akan mendatangkan kemarahan di kalangan rakyat.

"Orang yang paling pandai dan cerdik di satu masa dulu, disanjung dan dipuji di serata dunia akhirnya tersingkir hasil dari kronisme dan amalan menggunakan 'kabel'," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam dan Dialog Antara Usahawan PAS bersama Menteri Besar Perak, yang dianjurkan oleh Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Perak diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, baru baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Negeri Perak, Othman Meseri berkata, majlis tersebut diadakan, bertujuan mengeratkan ukhwah di antara para usahawan PAS Negeri Perak, dan dalam masa yang sama juga mahu menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan Menteri Besar Perak.

Menurut beliau, program itu juga bertujuan meningkatkan semangat dan motivasi di kalangan para usahawan PAS dengan kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, kerana tanpa motivasi para usahawan seolah-olahnya tidak berdaya maju.

Oleh kerana itu katanya, sebarang bentuk program semestinya menjuruskan untuk meningkatkan semangat dan motivasi di kalangan usahawan supaya lebih bekerja keras lagi dan bersedia berkorban untuk jemaah. - mr _

Adun Titi Serong rasmikan penutupan Kembara Zakat 2008

PARIT BUNTAR, 4 Jun - Program Kembara Zakat 2008 yang bermula pada 26 Mei lalu yang dilancarkan perasmiannya oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di perkarangan Pejabat Jabatan Agama Islam Perak berjalan dengan baik selama tiga hari dan kemuncaknya telah diadakan majlis penutupannya oleh Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah baru baru ini.
Sebelum ini rombongan Kembara Zakat 2008 telah menjelajah di beberapa buah pekan dan bandar di sekitar negeri Perak, bermula dengan Batu Gajah, kemudiannya ke Bandar Sri Manjung, Taiping, Bagan Serai dan akhirnya di Parit Buntar.
Di beberapa buah tempat persinggahan termasuk di Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar, rombongan Kembara Zakat 2008 ini telah menemui orang ramai dan mengedarkan risalah mengenai pentingnya zakat.
Antara matlamat program tersebut ialah mengurangkan bebanan dan kesusahan di kalangan asnaf sekaligus mewujudkan rasa kehidupan mereka dihargai bersama, dalam masa yang sama juga membuka mata dan minda masyarakat supaya lebih berkeyakinan terhadap sistem agihan institusi zakat.
Program ini juga merupakan satu langkah promosi bagi meningkatkan jumlah bilangan pembayar zakat di Negeri Perak khususnya.
Pada majlis yang sama di Parit Buntar telah diadakan penyampaian bantuan makanan kepada 50 orang fakir miskin.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Penolong Setiausaha Bahagian Zakat, Ustaz Bakri bin Lee dan Pengerusi Jawatan Kuasa Program Kembara Zakat 2008, Ustaz Suhaimi bin Yusof.
Adun Titi Serong dalam ucapan penutupnya menegaskan, perjuangan berasaskan bangsa tidak selamat melainkan perjuangan berasaskan Islam yang membawa keselamatan dunia dan akhirat kerana itu semua pihak perlu meletakkan asas perjuangan berlandaskan Islam serta menyokong perjuangan yang dibawa oleh golongan yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.
"Perjuangan bangsa tidak ke mana, sebaliknya jika kita memperjuangkan Islam, bangsa Melayu juga akan selamat, apa juga bangsa akan selamat asalkan mereka berjuang dan mempertahankan Islam dalam kehidupan dan pemerintahan sesebuah negara," ujarnya. - mr_

Berikan Mereka Pancing - MP Bukit Gantang


TAIPING 4 Jun (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum mencadangkan kepada Baitulmal Negeri Perak memikirkan cara terbaik untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar kaedah itu nanti membolehkan mereka boleh menjadi antara penyumbang zakat.

Beliau mengambil contoh apa yang dilakukan di daerah Manjong, terdapat penerima zakat, diberikan bantuan bot dan pukat, bagi membolehkan mereka berdikari untuk mencari rezeki dan tidak lagi mengharapkan bantuan dari Baitulmal sahaja.

Beliau berkata demikian, di majlis penyampaian bantuan Baitulmal sempena Kembara Zakat 2008, di Pekan Taiping dalam siri menjelajah ke seluruh Perak untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan membayar zakat.

Majlis penyampaian bantuan diadakan di Pejabat Baitulmal Taiping.

"Berikan mereka pancing bagi membolehkan mereka memancing untuk mendapatkan ikan, jika kita beri ikan, lepas ikan itu habis, mereka minta ikan lagi, tetapi bila kita beri pancing, mereka tidak akan minta ikan lagi," ujarnya.

Roslan turut memberi nasihat kepada penerima bantuan dan berharap penerima-penerima bantuan dapat membina kehidupaan yang lebih baik dan maju dengan syarat mereka perlu mempunyai impian untuk memajukan diri dan keluarga agar mendapat kejayaan dalam kehidupan dan seterusnya menjadi penyumbang atau pembayar zakat.
Beliau mengingatkan, ketetapan dari Allah masih lagi boleh diubah dengan berdoa,kerana yang menentukan segala-galanya hanya Allah kerana itu manusia sebagai hamba Allah perlu berdoa dan meneruskan berusaha,bukannya takdir dijadikan alasan untuk tidak mencuba memperbaiki diri atau memaju diri dalam kehidupaan.
"Minda kita mesti jauh ke hadapan" katanya .
"Selama 50 tahun lalu, pemerintah sebelum ini membiarkan kemiskinan berterusan di kalangan rakyat supaya pemerintahan dengan mudah mempengaruhi golongan yang hidup susah agar mereka terus memberi undi kepada BN," katanya.
Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru memerintah negeri ini tidak bersikap seperti itu, sebaliknya akan terus berusaha membantu mereka. - mr_

Tuesday, June 3, 2008

MB Perak hargai penganjuran Jambori Amal Kebangsaan

KUALA KANGSAR, 2 Jun (Hrkh) : Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah merasmikan majlis penutup Jambori Amal Kebangsaan 2008 Ke-16 yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Sayong Lembah, Tebing Sungai Perak dekat sini semalam.

Dalam ucapannya, beliau menghargai penganjuran Jambori Amal itu diadakan di Perak dan berkemah selama tiga hari di seberang sungai berhadapan Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini itu kerana ia dapat mencerminkan dan mengambarkan ketulusan serta kekuatan Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru berusia tiga bulan itu.

"Terutamanya program yang bersangkutan dengan kemasyarakatan di Parlimen Kuala Kangsar ini diharapkan dapat menambat hati dan mempengaruhi kerja-kerja baik yang dilakukan oleh relawan-relawan seperti gotong royong membersih halaman dan membaiki rumah,"tegasnya.
Katanya, "Saya diberitahu bahawa walau pun para pesertanya terdiri dari pelbagai peringkat umur tetapi kesemuanya menunjukkan bakat bakal pemimpin yang membanggakan tidak lentur di panas terik dan lemah dalam kesejukan hujan ketika menjalankan arahan aktiviti-aktiviti lasak".

Selain itu, beliau mengharapkan apabila semua peserta pulang ke tempat masing-masing akan dapat mengamalkan dan mempraktikkan segala pengalaman dan pelajaran yang telah didapati selama tiga hari di situ.
Justeru, katanya, sebagai tanda penghargaan terhadap Jambori Amal 2008 itu maka Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah bersetuju memberikan sedikit sumbangan diatas perbelanjaan pelaksanaan jambori.
Jambori berkenaan mencatat sejarah apabila disertai teramai 2,500 orang sejak diadakan 15 tahun lalu dan manakala unit yang teramai menghantar peserta kali ini adalah negeri Pahang iaitu 303 orang anggota Amal.
Selepas berucap, Dato' Seri Mohammad Nizar telah diiringi bersama Exco Agama dan Kebajikan,Haji Mohd. Zainuddin Mohd.Yusof dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa untuk turun padang menjadi pengadil kepada acara kemuncak pertandingan tarik tali antara peserta kumpulan negeri Perak, Pahang dan Pulau Pinang yang berkeputusan Pahang muncul johan.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang yang telah berjaya dalam pertandingan berkumpulan dan individu dengan pelbagai acara akitivi.
Sebelum itu, ucapan pembukaan perasmiannya telah dilakukan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi. - mks.

Pelabur Eropah dan AS mahu melombong di Perak

IPOH,2 Jun (Hrkh) - Beberapa syarikat Eropah dan Amerika Syarikat berminat memulakan aktiviti perlombongan mineral bermutu tinggi yang ditemui di Perak, kata Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jenis mineral bernilai tinggi yang ditemui itu dan nilai pelaburan yang bakal dibuat oleh syarikat terbabit.
Bernama melaporkan, mineral berkenaan bukan bijih timah dan sebuah daripada syarikat berkenaan sudah memulakan kajian dan mengesahkan aktiviti perlombongan berkenaan boleh bertahan sekurang-kurangnya 30 tahun.

"Pelaburan syarikat terbabit dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan di sini hari ini. Hadir sama Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Yunus Abdul Razak.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri kini mempertimbangkan untuk meluluskan pelaburan syarikat dari luar negeri itu untuk mencari gali mineral bermutu tinggi di Perak di samping mengaktifkan semula industri perlombongan bijih timah.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan daripada bekas pengusaha lombong bijih timah untuk menjalankan aktiviti berkenaan ekoran kenaikan harga bijih di pasaran antarabangsa yang menjadikan industri perlombongan bahan itu berdaya maju semula.
Kerajaan negeri bagaimanapun hanya akan membenarkan syarikat perlombongan yang sudah mempunyai lesen melombong memulakan aktiviti perlombongan dan tidak akan memberi lesen baru.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan aktiviti perlombongan dijalankan menggunakan teknologi terkini dan mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Geosains dan Mineral.

"Kita mahu kerja perlombongan tidak menjejaskan alam sekitar, orang ramai dan lebuh raya. Kerajaan negeri tidak mahu jika ada perlombongan, berlaku tanah runtuh, pencemaran alam dan sebagainya,"katanya. - mks.

Idham Lim dipilih sebagai pengerusi BBC Perak


PARIT BUNTAR 2 Jun (Hrkh) - Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah telah dipilih sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Negeri Perak. Manakala Adun Simpang Pulai (KeADILan) , Chan Ming Kai turut dipilih sebagai Timbalan Pengerusi kelab tersebut.

Satu kenyataan rasmi dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan memaklumkan bahawa Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Negeri Perak telah dipilih dengan rasminya dalam satu pertemuan Ahli-ahli Yang Berhormat penyokong Kelab yang diadakan di sini Jumaat lepas.
Sementara itu Adun Canning , Wong Kah Woh (DAP) juga turut dipilih sebagai Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan untuk tempoh yang sama.
Khalil Idham dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di sini mengesahkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Negeri Perak dan berjanji akan memikul tugas tersebut sebaik mungkin.

"Sebagai pengerusi kelab dan Adun Titi Serong saya akan berperanan sebaik mungkin dan berhujah di dalam Dewan Undangan Negeri Perak dengan menunjukkan sikap yang matang dan bermaklumat.
"Adun Adun dari kelab ini akan mempertahankan 'serangan' dari Adun-adun dari parti pembangkang yang cuba memperlekehkan Kerajaan Negeri dan kita akan berhujah dengan cara yang terbaik dalam menceriakan lagi perbahasan di dalam dewan yang mulia itu nanti," ujar beliau.

Ustaz Ahmad Awang selamat dalam kemalangan


IPOH, 1 Jun: "Alhamdulillah saya dan isteri serta dua orang anak terselamat apabila kereta yang dipandu isteri terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, kilometer 315 kira-kira jam 4.30 petang Khamis kelmarin."


Demikian tulis Ahmad Awang dalam blognya, usahmadawang.blogspot.com.
Kejadian berlaku dalam keadaan hujan renyai-renyai ketika beliau serta keluarga dalam perjalanan ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat di pejabat Badan Perhubungan PAS negeri.

Kereta mereka terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta di hadapan berlanggar dengan sebuah kereta lain kemudian terbabas dan menggeseli sebuah treler, lalu menghalang laluan mereka, menyebabkan mereka kereta mereka tidak dapat mengelak dan terus melanggar kereta tersebut.

Kereta Ahmad yang dipandu isterinya, Ustazah Rosiyah, mengalami kerosakan teruk dan kini berada di Balai Polis Trafik Tapah.

"Kami bersyukur tiada kecederaan berat yang kami alami walaupun isteri saya mengalami sedikit lebam dan bengkak-bengkak di bahagian lengan dan belakang akibat hentakan yang kuat ketika merempuh kereta berkenaan. Saya juga mengalami sakit-sakit di bahagian tengkuk, bahu serta rusuk," tulisnya lagi.