PARIT BUNTAR, 4 Jun - Program Kembara Zakat 2008 yang bermula pada 26 Mei lalu yang dilancarkan perasmiannya oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di perkarangan Pejabat Jabatan Agama Islam Perak berjalan dengan baik selama tiga hari dan kemuncaknya telah diadakan majlis penutupannya oleh Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah baru baru ini.
Sebelum ini rombongan Kembara Zakat 2008 telah menjelajah di beberapa buah pekan dan bandar di sekitar negeri Perak, bermula dengan Batu Gajah, kemudiannya ke Bandar Sri Manjung, Taiping, Bagan Serai dan akhirnya di Parit Buntar.
Di beberapa buah tempat persinggahan termasuk di Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar, rombongan Kembara Zakat 2008 ini telah menemui orang ramai dan mengedarkan risalah mengenai pentingnya zakat.
Antara matlamat program tersebut ialah mengurangkan bebanan dan kesusahan di kalangan asnaf sekaligus mewujudkan rasa kehidupan mereka dihargai bersama, dalam masa yang sama juga membuka mata dan minda masyarakat supaya lebih berkeyakinan terhadap sistem agihan institusi zakat.
Program ini juga merupakan satu langkah promosi bagi meningkatkan jumlah bilangan pembayar zakat di Negeri Perak khususnya.
Pada majlis yang sama di Parit Buntar telah diadakan penyampaian bantuan makanan kepada 50 orang fakir miskin.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Penolong Setiausaha Bahagian Zakat, Ustaz Bakri bin Lee dan Pengerusi Jawatan Kuasa Program Kembara Zakat 2008, Ustaz Suhaimi bin Yusof.
Adun Titi Serong dalam ucapan penutupnya menegaskan, perjuangan berasaskan bangsa tidak selamat melainkan perjuangan berasaskan Islam yang membawa keselamatan dunia dan akhirat kerana itu semua pihak perlu meletakkan asas perjuangan berlandaskan Islam serta menyokong perjuangan yang dibawa oleh golongan yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.
"Perjuangan bangsa tidak ke mana, sebaliknya jika kita memperjuangkan Islam, bangsa Melayu juga akan selamat, apa juga bangsa akan selamat asalkan mereka berjuang dan mempertahankan Islam dalam kehidupan dan pemerintahan sesebuah negara," ujarnya. - mr_
No comments:
Post a Comment