IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak hari ini membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta dilakukan siasatan terhadap dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri).
Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Salman Saleh, berkata aduan berdasarkan pendedahan Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Ngeh Koo Ham pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam. Beliau berkata wujud keraguan berkenaan status dana kewangan yang diperolehi oleh BAIDURI sebelum pindaan peraturan dalam perlembagaannya.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat aduan di pejabat BPR di sini, Salman berkata jawatankuasa lama Baiduri diketuai Datin Seri Kamariah Mokri dan isteri-isteri Adun Barisan Nasional (BN) telah meminda syarat keanggotaan dari “isteri-isteri wakil rakyat kerajaan Negeri Perak” kepada “isteri-isteri Adun dan Ahli Parlimen Perak dari BN” pada 18 Februari 2008 sedangkan Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Februari 2008.
“Ini kerana pada 18 Februari 2008 Datin Seri Kamariah Mokri dan isteri Adun bukan lagi berstatus isteri kepada Adun kerana Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, kerajaan Perak telah bertukar kepada Kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.
Penjelasan perlu dibuat mengenai status kewangan Baiduri yang berjumlah RM300,000 serta deposit tetap sebanyak RM1 juta di Tabung Haji, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment