Monday, December 29, 2014

Bantuan kepada ibu tunggal dan anak-anak yang akan mulakan sesi persekolahan

Ahad 28 Dis 2014 - PAS Kawasan Batu Gajah dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat ( Batu Gajah ) telah mengadakan satu majlis bagi meraikan ibu-ibu tunggal di sekitar Kampung Ara Payung, Kampung Pisang dan Kampung Seri Jaya. Majlis tersebut juga meraikan anak-anak yang akan kembali ke sesi persekolahan 2015.







Majlis tersebut telah dihadiri oleh AJK PAS Kawasan Batu Gajah yang diketuai oleh YDP, Dr. Nuri Al-Amin serta JK PAS Cawangan Kampung Ara Payung, Kampung Pisang dan Kampung Seri Jaya. YB Radzi bin Zainon turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut dan telah menyampaikan sumbangan tersebut.


Laporan : Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat ( Batu Gajah )

Banjir : Najib patut tukar separuh menterinya

TINDAKAN Perdana Menteri, Najib Razak mengarahkah semua menteri kabinet yang sedang bercuti agar segera pulang bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir adalah suatu episod malang bagi negara kita.

Sebagaimana kita ditimpa malang kerana musibah banjir, kehilangan pesawat MH370 dan MH17, memiliki menteri-menteri yang terpaksa diarahkan pulang bak "itik lupa pulang ke sarang" adalah juga suatu musibah malang.

Ia malang kerana realitinya kita mempunyai ramai pemimpin yang tidak sensitif terhadap rakyat dan lebih malang lagi mereka ini sebenarnya tidaklah sangat mengutamakan rakyat sebagaimana yang sering dilaung-laungkan di depan mikrofon, di hadapan kamera tv atau ketika bersama penyokong.

Ia secara langsung juga menggambarkan menteri-menteri yang sedang bercuti ini tidak memahami kedudukan mereka sebagai anggota pentadbiran adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan mendahulukan rakyat dalam semua perkara.

Seharusnya apabila sudah mengetahui Najib sendiri sudah mengambil keputusan memendekkan percutiannya di Hawaii, semua menteri yang sedang bercuti ini lebih dahulu kembali ke tanah air.

Malangnya, sama ada setelah mengetahui Najib sudah membuat keputusan memendekkan cutinya dan sesudah sekian lama Perdana Menteri berada di dalam negara melawat mangsa-mangsa banjir, masih tidak terlihat kelibat menteri-menteri ini yang dilaporkan sedang bercuti di London, Australia, New Zealand, Dubai dan China, turut mahu pulang.

Agaknya ketika rakyat sedang sengsara dan Najib sedang bersiap-siap untuk pulang atau ketika melawat mangsa banjir, menteri-menteri ini masih riang ketawa bersama keluarga dan rakan-rakan sama ada sambil membeli-belah atau menikmati hidangan yang mewah-mewah.

Setelah dua hari berada di dalam negara, mungkin setelah menyedari  hanya segelintir daripada mereka ada dalam negara, Najib akhirnya terpaksa mengeluarkan arahan agar mereka segera kembali dan memendekkan cuti masing-masing.

Tindakan mengarahkan mereka ini pulang pastinya memberi imej buruk kepada nilai kepimpinan yang ada dalam diri menteri-menteri terbabit. Seolah-olah mereka tidak boleh berfikir dan menilai sendiri keutamaan sebagai pemimpin.

Di kalangan yang sedang bercuti ini, di mana  sebahagian gambar-gambarnya sudah bersepah di media sosial, sama ada menteri terbabit, anak-anak atau rakan mereka memuat-naiknya dalam FB, Twitter atau Instagram, adalah merupakan menteri-menteri kanan serta yang "perasan" mereka adalah bakal Perdana Menteri pada masa depan.

Di kalangan tiga menteri kanan yang berjawatan Naib Presiden Umno iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammudin yang kini sedang berebut untuk saling mendahului menghuni Seri Perdana atau Seri Satria, semuanya hilang, senyap dan sunyi tanpa sebarang berita.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pelapis kedua calon bakal Perdana Menteri, turut hilang tanpa khabar berita sehingga poster kehilangannya turut bertaburan di media-media sosial.

Sebahagian menteri-menteri lain juga begitu, yang tinggal dalam negara ketika ini hanya beberapa kerat saja. Asyik-asyik muka menteri yang sama saja sedang bertungkus-lumus dengan mangsa banjir di pelbagai negeri ketika ini.

Dalam masa yang sama, Najib sendiri sedang merudum prestasinya dan di pertikai di mana-mana. Dengan pelbagai masalah dalam negara yang tidak berkesudahan, Najib kini berhadapan cabaran getir untuk mempertahankan kuasa Umno dan BN berbekalkan hanya 47 peratus undi popular saja.

Dengan musibah banjir melanda yang sekaligus memperlihatkan ramai menteri sedia ada seperti "tak reti bahasa" dalam sama-sama membantu menaikkan imej kerajaan dan BN, Najib kini tiada pilihan lain selain mengeluarkan sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada daripada kabinetnya jika ingin terus berkuasa.

Dalam keadaan sekarang, sudahlah Najib sendiri dalam kedudukan "parah"dan hampir "kehilangan nyawa", sebahagian menteri ini pula tidak membantu di saat kehadiran mereka benar-benar diperlukan.

Mereka tidak sanggup atau masih keberatan untuk berkorban, walaupun sebagai pemimpin dan sepatutnya lebih "berakal" berbanding rakyat kebanyakan, membuat sesuatu keputusan bukanlah sukar bagi mereka.

Bersama dengan ramai menteri yang sudah menjadi kecaman ramai sebelum ini dan dianggap tidak layak mengemudi negara, musibah banjir besar ini menyerlahkan lagi sebahagian daripada mereka.

Hanya dengan membuang sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada dan menggantikannya dengan muka-muka baru yang lebih diyakini, barulah mungkin terserlah sedikit sinar untuk  Najib, Umno dan BN terus mengekalkan kuasanya.

Jika tidak dan masih enggan membuang mereka, bersedialah untuk "gulung tikar" bersama menteri-menteri yang tak berguna itu. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Kit Siang ziarah TG Nik Abdul Aziz di HUSM

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kit Siang ditemani Timbalan Presdien PAS, Mohamad Sabu yang turut serta dalam penyerahan bantuan banjir Kelantan pagi semalam, lapor Roketkini.









Dalam kiriman Kit Siang di laman mikro twitter, beliau dimaklumkan oleh bekas menteri besar itu bahawa bencana banjir yang berlaku kali ini adalah antara terburuk, dan tidak pernah dialami sepanjang 23 tahun Kelantan di bawah pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kit Siang turut meluangkan masa melihat keadaan sekitar bandar Kota Bharu dan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, yang kini diubah menjadi pusat pemindahan.

“Mereka yang dipindahkan ke sini disediakan keperluan asas dan makanan, tetapi sudah tentu keadaan tidak sama seperti di rumah.

“Semua orang berharap banjir akan reda, supaya mereka boleh kembali ke rumah mereka,” tulisan Kit Siang dipetik dari laman Facebooknya.

Permulaan sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan demikian dalam satu kenyataan media, hari ini, seperti di bawah.
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira :

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

Ramah mesra dan edar kalendar 2015 di Taman Song Choon

Ahad 28 Dis 2014 - YB Radzi bin Zainon telah turun padang dalam program ramah mesra di Taman Song Choon sambil mengedar kalendar 2015 kepada penduduk sekitar taman berkenaan. Program ini dianjurkan bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat dan PAS cawangan Taman Song Choon.





Beberapa wakil PAS cawangan Taman Song Choon telah sama-sama hadir dalam program tersebut. Sambil itu, YB Radzi juga menyantuni penduduk di sekitar taman tersebut.



Laporan : Haji Shahrul Puadi ( Setiausaha Politik YB )

Pesawat AirAsia QZ8501 Surabaya-Singapura hilang...





Ahad 28 Dis 2014 - YB Radzi bin Zainon menzahirkan salam takziah kepada seluruh keluarga penumpang pesawat AirAsia QZ8501 yang masih hilang sehingga kini. Semoga seluruh keluarga penumpang pesawat tersebut tabah dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT. Ini merupakan ujian dan dugaan daripada Allah SWT untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Berikut merupakan petikan kehilangan pesawat tersebut :


Pesawat AirAsia daripada Surabaya, Indonesia ke Singapura dilaporkan hilang perhubungan dengan pusat kawalan udara.

Perkara itu dilaporkan oleh Reuters, yang memetik sebuah saluran berita Indonesia.

Agensi itu juga melaporkan pihak berkuasa pengangkutan Indonesia sebagai berkata, pesawat yang hilang itu membawa 155 orang.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataannya di Facebook mengesahkan kejadian itu dan meluahkan kekesalannya terhadap insiden menimpa pesawat QZ8501 itu.

Menurut AirAsia, pesawat jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu hilang perhubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 7.24 pagi ini.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang sedang dijalankan dan AirAsia bekerjasama penuh membantu perhidmatan menyelamat,” menurut kenyataan itu.

AirAsia juga menubuhkan pusat panggilan kecemasan untuk anggota keluarga dan rakan-rakan penumpang di talian +622129850801.

Kemas kini berhubung perkara itu akan dimuat naik ke laman web www.airasia.com.

Syarikat penerbangan itu juga sudah menukar logonya di Facebook kepada hitam putih.

Strait Times Singapura di Twitter, melaporkan menteri pengangkutan Indonesia sebagai berkata, penumpang dalam pesawat itu daripada lima negara, iaitu masing -masing seorang warganegara Singapura, British dan Malaysia, Korea (3) dan Indonesia (149).

CNN Indonesia melaporkan, penumpang terdiri daripada 130 orang dewasa, 24 anak dan seorang bayi.


Friday, December 26, 2014

Kerajaan Selangor sumbang RM1 juta pada Kelantan, RM 100,000 kepada negeri Terengganu, Pahang dan Perak


Kerajaan Selangor akan memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada  Kelantan berikutan krisis banjir yang melanda negeri itu kata Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, sebanyak RM100,000 pula akan disumbangkan kepada negeri Terengganu, Pahang dan Perak.

Azmin bersama dua exconya Amirudin Shari dan Dr Daroyah Alwi akan ke Kelantan pagi ini untuk menyerahkan sumbangan itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Azmin berkata keputusan untuk memberi sumbangan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi ini ekoran situasi banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Perak.

Katanya, ia sebagai tanda simpati kerajaan Selangor terhadap negeri-negeri yang dilanda bencana banjir itu.

Kerajaan dan rakyat Negeri Selangor, katanya amat bersimpati dengan mangsa banjir dan keluarga mereka yang menanggung kesusahan dan mengalami kerosakan harta benda akibat banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 43 tahun.

"Kami memohon doa ke hadrat Allah SWT agar cuaca bertambah baik dalam masa terdekat dan semua yang terkesan dengan bencana ini berada dalam keadaan selamat.

"Kami juga memohon semoga rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bersabar dan tabah menghadapi musibah dan agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat  terus dilindungi dan dipelihara Allah SWT," tambahnya.

Menurut Azmin lagi, beliau telah berbincang dengan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meneliti langkah-langkah yang perlu diambil dalam membantu negeri-negeri terlibat.

"Saya juga telah menghubungi Datuk Paduka Husam Musa bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri Selangor untuk bersama–sama kerajaan negeri Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Selangor juga menyediakan peruntukan RM200,000 bagi misi bantuan kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh Dr Daroyah melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) yang akan turun bagi memberi khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan.

Untuk program pasca bencana banjir, katanya, kerajaan Selangor telah bersetuju untuk memberikan khidmat kerja pembersihan kawasan banjir dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

"Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan keselamatan rakyat.

"Kerajaan Selangor juga akan mendapatkan sokongan kewangan daripada anak-anak syarikat, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan syarikat-syarikat swasta di Selangor untuk membantu menyediakan peralatan persekolahan termasuk pemberian beg sekolah dan pakaian seragam untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Azmin berkata, MMKN juga mengambil keputusan untuk membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15 menjelang Tahun Baru 2015 sebagai tanda simpati kepada semua rakyat yang mengalami bencana banjir dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan Selangor.

"Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I – City, Shah Alam atas prinsip yang sama.

"Kerajaan Negeri Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan meluluskan geran bantuan bencana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan beban yang dialami rakyat dalam tempoh yang getir ini.

"Kerajaan Selangor juga telah berbincang dengan JAIS supaya semua masjid di Negeri Selangor mengadakan solat hajat sejurus solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar kesejahteraan dan keselamatan rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terus dilindungi dan dipelihara," tambahnya.

Himpunan tuntut harga minyak petrol turun ditangguhkan....


Jawatankuasa penganjur Himpunan Tuntut Harga Minyak memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan itu kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak ekoran bencana banjir yang sedang melanda negara.

"Bagaimanapun, kami menagih janji yang telah dibuat oleh timbalan menteri kewangan yang menyebut bahawa harga minyak akan turun di bawah RM2.00 pada 1 Januari 2015.

"Sekiranya harga RON95 tidak diturunkan, kami tidak teragak-agak untuk melancarkan bantahan besar-besaran nanti," kata pengerusi TURUN, Azan Safar dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa penganjur sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka pada ambang Tahun Baru.

Azan juga menuntut supaya semua sambutan ambang tahun baru dibatalkan sebagai tanda solidariti kepada mangsa banjir.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program sambutan Ambang Tahun Baru 2015 di Putrajaya pada 31 Disember dibatalkan sebagai tanda simpati terhadap mereka yang terjejas banjir.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, program selawat yang akan diadakan di Masjid Putrajaya dan di Jalan Raja, akan diteruskan sebagaimana dirancang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga meminta penganjur perhimpunan itu supaya membantu mangsa banjir, daripada mengadakan protes tersebut.

"Saya fikir mereka boleh turun padang dan membantu rakyat yang menderita. Itu lebih produktif dan berfaedah," Muhyiddin dilaporkan berkata.

Dalam kenyataannya hari ini, Azan berkata bencana banjir harus diinsafi semua pihak.

"kita semua harus lebih sensitif dengan nasib yang menimpa semua mangsa banjir.

"Perdana menteri dan seluruh anggota kabinet perlu turun padang bagi memastikan kebajikan seluruh mangsa banjir terbela," katanya.

Sehubungan itu, kata Azan, pihaknya menyeru semua pihak supaya menghentikan sentimen politik kepartian dan juga polemik politik yang tidak berkesudahan tatkala negara dilanda musibah.

"Kami peringkat NGO/aktivis/ parti politik yang terlibat di dalam penganjuran himpunan ini sudah pun menggerakkan operasi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

"Kami juga menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam menghadapi krisis banjir hari ini," tambahnya.

Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan YB Radzi Zainon

Ipoh 25 Dis 2014 - Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan YB Radzi bin Zainon anjuran Lajnah Kesenian, Sukan dan Kebudayaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng telah berjaya diadakan di Taman Lapangan Jaya. Kejohanan ini adalah edisi yang ke 4 yang dianjurkan oleh DPPK Gopeng. Kejohanan ini kali inimenyaksikan penyertaan sebanyak 12 pasukan pelbagai peringkat. Antara pasukan yang bertanding ialah PKR Gopeng, Pangkalan Gate, DHPP Batu Gajah, Mayang FC, Recruit FC, DHPP Gopeng, Taman Taja Ikram, Kg. Sengat, Pekan Razaki dan SR Rovers.




Palma FC telah menjadi juara untuk edisi kali ini dan hadiah di sampaikan oleh YB Radzi bin Zainon. Tahniah diucapkan kepada Encik Hazimin selaku Pengarah Program yang telah berjaya menganjurkan kejohanan ini buat kali ke 4 berturut-turut.




Perdana Menteri bersenang-lenang bercuti di Hawaii di saat rakyat ditimpa musibah.....

Cuti kakitangan awam yang terlibat dengan banjir dibekukan....tetapi cuti PM ke Hawaii diluluskan....Rakyat didahulukan.....


Laporan The Washington Post mengenai Datuk Seri Najib Razak bermain golf di Hawaii bersama Presiden Barack Obama (yang sedang menikmati hari kelima daripada percutian dua minggunya) pada ambang hari Krismas telah melahirkan rasa terkejut ramai pihak, bukan kerana beliau sedang bercuti di Oahu, Hawaii, tetapi kerana Najib cuba untuk menyembunyikan percutian ke luar negaranya itu daripada pengetahuan rakyat Malaysia.






Kejutan ini ditambah pula dengan percutian rahsia Najib ini berlaku ketika negara sedang berhadapan bencana banjir paling teruk sejak tahun 1971, dengan lebih 91,000 mangsa terjejas di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan sedang bermula di Kedah; dan situasi dijangka kian memburuk dan mungkin melanda Johor dengan sangat teruk pada hari-hari terakhir tahun ini.



Sebagai respon kepada kritikan menggunung bahawa Najib sekali lagi menjadi PM Ponteng di saat rakyat Malaysia berhadapan bencana alam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberi jawapan yang menjengkelkan dengan berkata, “Saya ada, jangan risau. Percayalah pada saya.”



Rakyat Malaysia patut risau bahawa Muhyiddin tidak mampu menangani tugas mengendalikan banjir terburuk negara sejak 1971 dengan kedegilannya untuk tidak mengisytiharkan darurat supaya semua sumber-sumber Kerajaan Persekutuan ditumpukan untuk menangani kerosakan akibat banjir.





Jelas sekali, Najib langsung tidak yakin dengan Muhyiddin, yang dapat dilihat daripada blognya yang terbaru apabila perdana menteri berkata bahawa beliau telah berhubung dengan timbalannya dan meminta beliau supaya mempertingkatkan bantuan kepada mangsa banjir.



Namun kenyataan di blog Najib bahawa “Kami akan lakukan apa sahaja untuk membantu mangsa banjir” adalah tidak meyakinkan, apabila beliau sendiri tidak bersedia untuk memendekkan percutiannya dan segera pulang ke tanah air untuk mengendalikan secara peribadi usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam bencana banjir terburuk sejak 1971.



Pendirian Najib nampaknya berbunyi “Kami akan lakukan apa sahaja untuk membantu mangsa banjir, kecuali memendekkan percutian saya di Hawaii dan pulang segera ke tanah air.”



Rakyat Malaysia berhak mempersoal kenapa seolah-olah tidak wujud Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, kenapa bukan sahaja perdana menteri bercuti senyap-senyap di Hawaii, tetapi tiada seorang pun menteri Umno melawat kawasan paling teruk dilanda banjir di Kelantan bagi menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan peduli tentang banjir paling teruk sejak 1971?



Bukannya kerajaan persekutuan terkejut pun dengan banjir terburuk sejak 1971 ini memandangkan pihak berkuasa telah pun memberi amaran kepada penduduk Pantai Timur untuk berjaga-jaga bagi berhadapan banjir terburuk dalam sejarah akibat daripada kombinasi air pasang besar dan juga angin kencang.



Jika penduduk di kawasan pesisir pantai dan muara sungai telah diberi amaran untuk mempersiapkan diri bagi situasi evakuasi segera, ke mana menteri Umno menghilang, terutamanya menteri yang bertanggungjawab ke atas bencana alam?



Najib tidak patut berlengah lagi dan mengisytiharkan darurat akibat banjir dan memendekkan percutiannya di Hawaii itu dan segera pulang menguruskan operasi Kerajaan Persekutuan bagi menangani bencana alam ini.

Wednesday, December 24, 2014

Sidang akhbar penyerahan memorandum " Pendaftaran Pengundi Secara Automatik "

SELASA (23 DIS 2014) - Dewan Muslimat PAS Kawasan Gopeng telah menyerahkan satu memorandum berkaitan dengan pendaftaran pengundi secara automatik kepada Ahli Parlimen Gopeng, YB Dr Lee Boon Chye (PKR). Memorandum ini telah diserahkan dalam satu majlis sidang akhbar di pejabat PKR Cabang Gopeng. Antara yang dinyatakan di dalam memorandum tersebut ialah :

1) Muslimat PAS Kawasan Gopeng menyokong penuh saranan supaya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem pendaftaran yang digunakan sekarang.

2) Muslimat PAS Kawasan Gopeng melihat proses ini jauh lebih mudah untuk dilaksanakan dan dapat mengelakkan daripada manipulasi data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.







Memorandum ini telah diserahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Gopeng, Ustazah Bariah bt Sapri. Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Gopeng yang juga Setiausaha Politik YB Radzi bin Zainon (ADUN Sg Rapat-PAS), Haji Shahrul Puadi bin Dzulkifli dan Mejar (B) Yakub bin Haji Yassin, Pegawai Khas YB Radzi bin Zainon yang mewakili YB ADUN Sungai Rapat tersebut. Turut bersama di majlis tersebut, YB Chang Lih Kang (ADUN Teja-PKR), kepimpinan PKR Cabang Gopeng dan kepimpinan PAS Kawasan Gopeng.

YB Dr Lee Boon Chye menyatakan sokongan penuh di atas usaha ini dan akan memanjangkan ke peringkat Parlimen dan SPR.

TURUN yakin demo tak ganggu program selawat



 

Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yakin rancangan mereka untuk berhimpun semasa sambutan malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka tidak akan mengganggu satu majlis berselawat yang bakal dianjurkan di lokasi yang sama.
 
Pengerusi TURUN, Azan Safar berkata, perhimpunan bagi menuntut kerajaan menurunkan harga bahan api itu tidak akan mengganggu program Malam Cinta Rasul yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 
"(Kita akan) teruskan di Dataran Merdeka. Dataran bukan hak milik DBKL. Dataran adalah untuk rakyat Malaysia.
 
"Kita tak rampas mikrofon orang berselawat. Itu yang penting,” kata Azan yang bertegas dengan rancangan asalnya untuk menghimpunkan 10,000 orang peserta pada malam itu untuk menuntut harga minyak diturunkan.
 
Beliau menganggap perhimpunan bersama NGO dan parti Pakatan Rakyat itu juga satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah.
 
"Sebahagian daripada rakyat menzahirkan rasa cintanya kepada rasul dengan memperjuangkan keadilan dan melawan kezaliman," kata Azan lagi dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini semalam.
 
Program Malam Cinta Rasul turut dianjurkan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan menampilkan pendakwah popular Indonesia, antaranya Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin.
 
Program tersebut dijangka berakhir kira-kira pukul 11.45 malam bagi membolehkan orang ramai menanti detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baru.
 
Perhimpunan TURUN pula bagi menuntut harga minyak RON 95 diturunkan ke tahap RM1.90 seliter berbanding RM2.26 sen sekarang.
 
TURUN sebelum ini turut menafikan sekeras-kerasnya mengedarkan risalah promosi yang memperkecil majlis selawat terhadap Nabi Muhammad, yang beredar di Internet 
 
Kumpulan itu menyifatkan penyebaran risalah seperti itu sebagai tindakan terdesak pihak yang sudah mula tergugat dengan reaksi masyarakat ke atas tuntutan mereka.
 
Ia bakal menjadi perhimpunan kedua selepas pertama kali diadakan pada malam sambutan ambang tahun baru, 31 Disember tahun lalu.

Perak, Perlis mula dilanda banjir

Perak dan Perlis mula dilanda banjir hari ini manakala keadaan di Kelantan, Terengganu serta Pahang bertambah buruk dan keadaan baik dilaporkan di Sabah.
 
Di PERAK, sebanyak 170 mangsa banjir di kawasan Lenggong, Sungai Siput dan Ipoh dipindahkan di lima pusat pemindahan banjir setakat ini.
 
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata kejadian banjir di Lenggong berpunca daripada pelepasan air daripada Empangan Kenering yang menjejaskan Kampung Sumpitan, Kampung Tampan Air dan Kampung Labik.
 
Di PERLIS pula, banjir yang melanda bahagian utara negeri itu menyebabkan 93 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan pagi tadi, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis.
 
Di KELANTAN, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat 1,550 orang kepada 22,259 orang petang ini berbanding 20,709 mangsa pada tengah hari tadi.
 
Menurut Portal Banjir kerajaan negeri Kelantan, mereka ditempatkan di 95 pusat pemindahan petang ini, meningkat 10 pusat pemindahan berbanding tengah hari tadi.
 
Jumlah mangsa banjir tersebut daripada sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat, dengan Kota Bharu dibuka semula pusat pemindahan selepas ditutup malam tadi.
 
 
Helikopter terpaksa digunakan untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Gua Musang dan Jeli hari ini.
 
Lima sungai di Kelantan masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang; Sungai Galas di Dabong, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang; Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah.
 
 
Di TERENGGANU, keadaan banjir tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila jumlah mangsa terjejas meningkat 672 orang daripada 11,731 orang pada tengah hari tadi kepada 12,403 orang melibatkan 2,966 keluarga yang ditempatkan di 93 pusat pemindahan setakat pukul 4 petang ini.
 
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kemaman mendahului dari segi mangsa iaitu 5,592 orang diikuti Kuala Terengganu 2,803 orang, Dungun 2,665 orang, Hulu Terengganu 648 orang, Besut 590 orang, Marang 94 orang dan Setiu 22 orang.
 
 
 
Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Sungai Berang di Kampung Menerong Hulu Terengganu, Sungai Besut di Kambung La, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sunai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Telemonong di Kuala Pinang Hulu Terengganu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan dan Sungai Kemaman di Jambatan Ban Ho, telah melepasi paras bahaya.
 
Di PAHANG, mangsa banjir meningkat hampir sekali ganda kepada 4,729 orang daripada 1,163 keluarga di enam daerah petang ini berbanding 2,555 orang daripada 598 keluarga tengah hari tadi. 
 
 
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, kesemua daerah terbabit menunjukkan pertambahan bilangan mangsa banjir dengan daerah Kuantan menempatkan mangsa paling ramai iaitu 2,704 orang daripada 708 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.
 
Di Maran melibatkan 1,187 orang daripada 274 keluarga di 11 pusat pemindahan, Lipis (470 orang daripada 107 keluarga di 10 pusat), Rompin (227 orang daripada 50 keluarga di tiga pusat), Jerantut (113 orang daripada 18 keluarga di 10 pusat) dan Pekan 28 orang daripada enam  keluarga di satu pusat), katanya kepada Bernama.
 
Katanya, beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan- Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis dan Jerantut-Kuala Tahan.
 
Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia menunjukkan paras air di empat batang sungai utama di Pahang masih kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Kuantan Bypass.
 
 
 
Di Sabah, keadan banjir di Tenom bertambah baik apabila hanya tinggal 19 mangsa di pusat pemindahan petang ini berbanding 194 mangsa tengah hari tadi manakala di Beufort jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang , pertambahan 70 orang daripada tengah hari tadi.
 
 
 
 
 
 
Jumlah korban banjir masih kekal empat orang setakat ini.
 
Bagaimanapun, mayat seorang lelaki yang dipercayai hilang ketika mandi di sungai di Taman Rekreasi Kuala Ibai, Kuala Terengganu 14 Disember ditemui di pesisir Pulau Kapas semalam (22 Disember).
 
Seorang lelaki dipercayai kurang siuman pula dikhuatiri lemas di Kuantan hari ini selepas terjatuh di Sungai Lembing manakala mayat seorang lelaki yang hilang di Pantai Kampung Baru Gebeng di Kuantan ketika memancing Ahad lepas ditemui kira-kira 2.5km dari tempat kejadian, pagi tadi.
 
- Bernama

Tuesday, December 23, 2014

Program Back To School









YB Radzi bin Zainon menyampaikan bantuan persekolahan dalam program Back to School anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng di Megoplex, Medan Gopeng.  Seramai 23 pelajar telah dipilih menerima bantuan dari YB Radzi bin Zainon terdiri daripada 11 pelajar dari Maju Rapat, 4 pelajar dari Batu Gajah, 3 pelajar dari Simpang Pulai dan 5 pelajar dari Changkat Larang.
Bantuan persekolahan ini merangkumi sepasang baju sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan alat tulis. Terima kasih diucapkan kepada Pengarah Program, Tuan Kamarul ( Lajnah Kebajikan DPPK Gopeng ) dan kepada penderma-penderma yang bermurah hati menyumbang bagi menjayakan program ini.

Minta kerajaan bantah notis merah Dr Yusuf Qaradawi





ALOR SETAR - Pas membantah tindakan polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, arahan itu hanya bersandarkan atas sifat dendam sesetengah pihak sekali gus menyemarakkan lagi Islamaphobia.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengambil sikap proaktif untuk membantah arahan itu yang dianggap tidak adil kerana memihak kepada sebelah pihak sahaja termasuk Mesir.

“Tindakan Interpol ini seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut dan terlibat aktiviti keganasan.

“Kita kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam diri dalam hal ini sedangkan beliau bukan tokoh yang asing di negara ini dan penah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah.

“Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang menjadi mangsa penganiayaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu menyatakan pendirian dalam perkara itu kerana Yusuf adalah ulama dunia.

“Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan satu notis merah dikeluarkan terhadap Yusuf yang merupakan ilmuan dan ulama tersohor yang mempunyai rekod kesarjanaan dan bertindak menolak semua jenis ekstremisme.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata Pas mendesak agar notis itu ditarik segera agar Interpol  kekal sebagai institusi yang bebas.

Tahukah anda.......





 














Monday, December 22, 2014

Soalan Lisan daripada YB Radzi bin Zainon pada Sidang DUN ke 13 Penggal Kedua

1) Isu pencemaran alam sekitar merupakan isu yang sangat kritikal ketika ini yang memberikan kesan negatif terhadap pelbagai aspek terutamanya aspek keselamatan hidupan, kesihatan masyarakat, pencemaran sumber air dan sektor pelancongan. Mohon kerajaan negeri nyatakan :

a) Jumlah aduan yang diterima oleh kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu dan nyatakan tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi setiap aduan atau kes tersebut ?

b) Adakah kedudukan indeks pencemaran alam sekitar di Perak meningkat atau menurun serta perbandingan dengan negeri - negeri lain ?

c) Apakah tindakan dan daya usaha yang berkesan yang diambil oleh kerajaan untuk membasmi pencemaran alam sekitar di Perak.


2) Menjadikan Ipoh sebagai bandaraya yang mesra perniagaan adalah cita-cita bersama warga bandaraya yang terlibat dalam bidang ini. Sikap ambil peduli pihak kerajaan dan mengutamakan kebajikan pembayar cukai adalah satu perkara yang sangat diharapkan. Persoalannya :

a) Apakah langkah-langkah proaktif dan berkesan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri setakat ini ke arah tujuan di atas terutamanya ke arah membela peniaga terutama peniaga-peniaga kecil seperti penjaja pasar malam, peniaga pasar tani dan lain-lain ?

b) Bagaimanakah kedudukan Bandaraya Ipoh berbanding bandaraya lain di Malaysia dari segi aspek di atas dan apakah indeks yang digunakan untuk menilai tahap-tahap tersebut ?

c) Adakah pernah dilakukan ujian atau penilaian kepuasan warga peniaga terhadap perkara di atas dengan cabaran semasa dan ekonomi yang suram pada ketika ini, jika ada berapa kali telah dilakukan dan bagaimana keputusannya ?

Apabila gambar berbicara.....Yang Berhormat yang berkhidmat.....









Bersama Masyarakat India

Batu Gajah - YB Radzi bin Zainon telah menyantuni masyarakat India dalam program mingguan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat ( Kampung Ara Payung ) sambil menyerahkan bantuan makanan kepada masyarakat India yang berkelayakan sebagai penerima bantuan. Program ini telah diatur oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kawasan Batu Gajah dan diucapkan ribuan terima kasih kepada En. Dorai Kannu selaku Pengerusi DHPP kawasan Batu Gajah yang telah berusaha agar program ini berjalan denga lancar.





Hadir sama ke program ini ialah wakil PKR Gopeng, En. Selvam yang mewakili YB Dr. Lee Boon Chye yang menghadiri Persidangan Parlimen. Pada program tersebut, masyarakat India telah menyatakan sokongan berterusan kepada Pakatan Rakyat terutamanya kepada YB Radzi bin Zainon untuk mempertahankan DUN Sungai Rapat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Menyantuni Masyarakat Cina

YB Radzi Zainon telah turun ke Kg Baru MTD untuk menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada masyarakat cina yang tinggal di situ. Rombongan YB Radzi telah disambut dengan meriahnya dan mereka menyatakan bertuah dengan perihatin YB Radzi kepada mereka.






YB Radzi Zainon juga di ajak melihat perkembangan projek taman rekreasi yang diusahakan masyarakat setempat untuk mereka gunakan sebagai tempat berehat. Mengikut kata wakil penduduk di situ, tapak tersebut pada asalnya adalah tempat orang ramai membuang sampah secara haram dan mereka memilih tapak itu adalah untuk dijadikan sebagai taman bunga dan rekreasi dan menghalang orang ramai dari terus membuang sampah di situ.





Sebagai tanda sokongan atas usaha murni mereka, YB Radzi telah menyerahkan sedikit sumbangan bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat. YB Radzi juga telah singgah dan menyantuni beberapa buah rumah penduduk dan menyerahkan sumbangan dari Pusat Khidmat Masyarakat.








Ucapan penuh YB Radzi bin Zainon pada Persidangan Keempat Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri ke 13

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera....Bismillahirahmanirrahim...

Terima kasih Dato' Seri Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Pangkor, rakan - rakan ahli - ahli Yang Berhormat, Pengarah dan wakil - wakil agensi dan jabatan kerajaan negeri serta persekutuan, hadirin dan hadirat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Dato' Seri Yang Dipertua, Sungai Rapat mengucapkan terima kasih kerana turut diberikan peluang membahas Enakmen Perbekalan atau pun bajet bagi negeri Perak tahun 2015 yang telah dibentangkan pada 8 Disember 2014 oleh YAB Pangkor. Di peringkat permulaan, walaupun fokusnya di fokus yang keempat saya ingin menjurus kepada peranan penjawat awam yang merupakan nadi dan tulang belakang kepada kejayaan sesebuah negeri dan negara. Dan golongan inilah yang diberikan penugasan dan tanggungjawab yang paling detail, paling panjang urusannya untuk menguruskan hal ehwal masyarakat negeri dan negara kita. Sebab itu di sisi pandangan Islam kerja - kerja atau pun amalan - amalan yang sebegini yang boleh membantu diri sendiri dan membantu orang lain adalah dianggap sebagai ibadah di sisi Allah SWT. Mana mungkin kita boleh mengutip pahala yang begitu besar daripada amalan - amalan khusus semata - mata ? Daripada sembahyang yang kita lakukan, daripada puasa yang kita tunaikan, daripada ibadat haji dan sebagainya. Sedangkan banyak masa yang ada kita gunakan sehari-hari adalah untuk menguruskan kerja-kerja kita dalam bentuk kerjaya yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua. Sebab itu saya sendiri tiap-tiap pagi niat saya adalah untuk buat kebaikan kepada sesiapa sahaja. Sebab saya menganggap kerja adalah sebagai satu ibadah. kerana disebutkan oleh Nabi S.A.W. " orang yang terbaik adalah orang yang dapat memberikan manfaat kepada diri dan mereka juga dapat memberikan manfaat kepada orang lain "

Dan Allah SWT menyebut pula dalam firman-Nya yang bermaksud " Allah amat menyintai seseorang di antara kamu yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan dilakukan dengan cara yang paling sempurna." Dan ini merupakan suatu dasar suatu asas yang perlu sama-sama kita gembelingkan dan perkukuhkan dalam sanubari kita, dalam hati kita agar semua amalan kita, tindakan kita, kerja kita termasuklah niat, berfikir, bertafakur, merancang sesuatu dengan niat kebaikan untuk menyelamatkan dunia kita, keluarga kita, negeri dan negara kita. Mudah-mudahan ianya akan diterima oleh Allah SWT sebagai satu amalan yang kudus yang ikhlas yang akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Dengan itu, inshaAllah kita akan mendapat suatu kuniaan Allah SWT yang mungkin tidak akan diperolehi oleh mereka yang lari daripada landasan ini iaitu, inshaAllah, Allah SWT akan memberikan ketenangan kepada kita, kebahagiaan, kejayaan, kesihatan, kekayaan dan inshaAllah keberkatan dalam kehidupan kita. Makna keberkatan yang diungkapkan oleh YAB Pangkor maknanya adalah sikit pun cukup, banyak boleh dikongsi bersama-sama. Itulah makna keberkatan dalam sudut kehidupan kita.

Dan satu perkara lagi yang perlu bagi kita semua adalah dipimpin oleh Yang Maha Esa. Dan ini merupakan suatu motivasi dalaman atau pun dianggap sebagao kesedaran ketuhanan yang mampu memimpin kita walau di mana sahaja tanpa ada Menteri Besar, tanpa ada Exco, tanpa ada ketua-ketua jabatan. kesedaran ketuhanan bahawa kita bekerja dan bertindak adanya Tuhan yang sedang menilai kita. Paling tidak, wakil Tuhan, Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat akan perkara baik dan perkara buruk dikalangan kita yang kita lakukan di atas muka bumi ini. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, saya akan pergi seterusnya kepada isu yang telah dibentangkan oleh Ketuaa Audit Negara bagi tahun 2013 siri ke-3 berkaitan dengan Jabatan Agama Islam. Dato' Seri Yang Dipertua, dalam isu ini yang telah diaudit berkaitan dengan pengurusan pengeluaran Sijil Halal Malaysia. Maka antara lain yang telah diaudit oleh pihak Audit bermula pada bulan Februari hingga Mei 2014 yang mendapati pengurusan pengeluaran Sijil Halal oleh Unit Pengurusan Halal JAIPk adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti berikut :

i) Pemohon tidak mematuhi syarat untuk kelulusan pensijilan halal
ii) Kelewatan mengeluarkan Sijil Halal di peringkat JAKIM
iii) Pelanggaran syarat Sijil Halal yang telah diluluskan
iv) Risalah berhubung dengan kepentingan Pensijilan Halal tidak diedarkan

Saya ingin menarik perhatian kepada Sidang Dewan yang dihormati sekalian. Dengan sedikit sebanyak pengalaman bersama - sama dengan JAIPk semasa dipimpin oleh tokoh Mal Hijrah yang dikurniakan pada tahun ini, Ustaz Mohd Yunus Alias. Semasa itu saya rasa adalah saat yang cukup gemilang kerana bahagian ini benar-benar dipimpin dan dipandu dengan tugas-tugas yang sebenarnya. Saya sendiri sanggup menjadi sukarelawan kepada JAIPk. Saya meronda bersama-sama mereka menyampaikan maklumat daripada satu masjid ke satu masjid. Di Masjid Dato' Kamaruddin, Manjung, di Masjid Daerah Taiping bersama dengan ketua-ketua jabatan di Taiping sampai di peringkat Lenggong, Tanjung Malim, Bagan Serai, Parit Buntar dbahkan saya sendiri Alhamdulillah telah dapat meninjau akan isu-isu ini sehingga keseluruhan negara Malaysia tidak termasuk Sabah sahaja untuk membentangkan hasilan-hasilan daripada apa yang diperolehi daripada kajian-kajian yang telah dilakukan. Saya menganggap perkara ini adalah perkara yang cukup mencabar. Apabila isu halal ini tidak diberikan perhatian yang serius lebih-lebih lagi apabila Malaysia ingin memantapkan hab halal dan ini merupakan satu kesungguhan yang diberikan oleh kepimpinan negara kita. Dulunya telah ada Halal Development Centre (HDC) bahkan JAKIM memainkan peranan yang cukup besar memberikan geran antaranya kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk memastikan perjalanan ini betul-betul berjalan dengan baik sebagai badan pemantau, untuk melihat akan isu-isu ini. Tiba-tiba apabila Ketua Audit Negara telah menyentuh dan mengklasifikasikan sebagai kurang memuaskan maka ini suatu cabaran kepada JAIPk untuk melihat sedalam-dalamnya apakah masalah sebenar yang telah berlaku di jabatan.

Dan disini saya ingin mencadangkan agar sama-sama diadakan penambahbaikan. Antara cadangan yang boleh saya berikan kepada JAIPk ialah yang pertama sekali mewujudkan makmal penyelidikan di bawah kelolaan Bahagian Penyelidikan JAIPk dan saya mencadangkan agar INTIM yang hari ini hanya mengurus tadbir membuat latihan disebut sebagai Institut Tadbiran Islam Perak diangkat ke tahap yang lebih tinggi sebagai Institut Tadbiran & Penyelidikan Islam Perak dan ianya boleh bekerjasama dengan IDR, YAPIEM dan mana-mana IPT atau IPTS yang sealiran dalam bidang penyelidikan. Mutakhir ini setelah ketiadaan pengetua di sana sejak tahun 2012, INTIM semakin lesu daripada meneruskan peranannya dan ini harus diambil perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri Perak dan apabila bahagian penyelidikan JAIPk ini dibangunkan dengan semangat dan dengan roh yang ada, dengan kesungguhan yang ada, maka ianya harus disempurnakan dengan alatan-alatan yang cukup untuk membuat research dengan izin. Dengan para pegawai penyelidik, maknanya kalau di bahagian penyelidikan tidak ada ahli kimia, tak ada penyelidik....bagaimana penyelidikan boleh dilakukan. Sebab itu satu masa dahulu, mereka menjemput saya kerana saya tahu terminologi-terminologi dalam kimia dan sebagainya untuk membantu mereka, untuk menyebut di khalayak, memahamkan khalayak apa yang disebut sebagai porcine, borvine dan sebagainya dan apa yang disebut sebagai additive. Proses-proses yang berkaitan dengan pemprosesan makanan dan ini memerlukan seorang ahli kimia, saintis, penyelidik yang ada latar belakang yang berkemampuan melaksanakan tugas-tugas ini dan di mana mereka boleh dicari ? Antaranya yang saya hendak sebut kepada dewan yang mulia ini, sebenarnya di Malaysia kita telah ada satu institusi penyelidikan produk halal di Universiti Putra Malaysia di bawah kelolaan Almarhum Prof. Dr. Yaakob Che Man yang telah meninggal pada umut 57 tahun dan beliau begitu komited, begitu beriltizam untuk membantu negara kita. Bahkan beliau di antara 10 saintis yang diiktiraf di peringkat dunia dalam bidang ini dan inilah antara tempat-tempat yang boleh kita adakan kerjasama yang cukup baik dengan mereka disamping baru-baru ini saya ada melihat dan berbincang dengan Timbalan Pengetua Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong yang bakal beroperasi pada tahun hadapan di mana insha Allah katanya antara subjek ataupun diploma yang bakal ditawarkan di sana nanti adalah Diploma Teknologi Makanan dan ini adalah satu peluang kepada penyelidik-penyelidik yang mungkin akan merealisasikan kepada JAIPk untuk dibangunkan pada masa akan datang. Antara lain juga disentuh oleh audit ini berkaitan dengan program hebahan dan penerangan yang amat kurang dan ini menampakkan bahawa kesungguhan sebab dari tahun 2006 hingga 2008 saya boleh sebutkan bahagian atau Unit Halal JAIPk ini di Bahagian Penyelidikan ini menganjurkan pelbagai seminar yang cukup memberi manfaat kepada rakyat, kepada warga negeri Perak khususnya kepada umat Islam. Antaranya tahun 2007 di Stadium Indera Mulia, saya bersama Dato' Dr Maamor Osman telah menyampaikan satu kertas kerja dan dijemput sendiri oleh mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli. Dan pada tahun 2008, Seminar Halal Fest Negeri Perak yang dilangsungkan di INTIM juga dilakukan pada skala yang besar dan kemudiannya banyak hebahan-hebahan yang dilakukan di peringkat masjid dan saya mencadangkan agar perkara ini dilanjutkan dan usaha ini diteruskan di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan disarankan agar mereka melakukan khutbah secar bersiri, berterusan beberapa siri unruk memberikan kesedaran kepada jemaah kepada umat Islam khususnya yang terdedah kepada isu-isu yang berkaitan dan kemudian dicadangkan juga agar Sudut Halal diadakan pada setiap masjid yang ada di dalam negeri Perak ini.

Dan yang ketiga, saya mencadangkan agar distrukturkan semula pegawai dan kakitangan di bahagian penyelidikan ini terutama menaiktaraf Unit Pengurusan Halal di JAIPk ini.

Dato' Seri Yang Dipertua, saya juga ingin memfokuskan kepada fokus kedua yang telah disentuh oleh YAB Pangkor di samping program-program yang diteruskan oleh kerajaan negeri seperti disebut pada perkara 80 mukasurat 24. Saya turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempermudahkan urusam pemberian lot-lot tanah ataupun unit-unit rumah yang dijanjikan sebelum ini kepada bekas-bekas anggota tentera. Kalau tak silap saya, terdapat 7000 lot ataupun unit - unit rumah terutama pembelaan khas terhadap bekas-bekas tentera yang tidak berpencen. Difahamkan golongan ini melebihi 5000 orang di dalam negeri Perak. Sewajarnya persatuan bekas tentera membuat kajian yang lanjut tentang isu-isu kebajikan mereka dan mengemukakan kepada pihak kerajaan kerana memandangkan jasa mereka terlalu banyak kepada negara. Mereka menjaga keselamatan negara kita. Mereka bertanggungjawab menghalau dan menghentikan kegiatan komunis. Mereka habiskan masa muda mereka yang berkualiti untuk tujuan-tujuan ini. Berbulan-bulan mereka di hutan, bahkan ada yang kadang-kadang bertahun-tahun mereka di dalam hutan. Ada yang putus kaki, kehilangan anggota dan mereka berkorban apa sahaja dan ada juga yang terkorban kerana untuk mempertahankan negara.

Dato' Seri Yang Dipertua, masa mungkin tak banyak lagi, akhir sekali saya ingin membawa juga isu-isu setempat yang berkaitan dengan DUN saya. Antaranya, saya mohon perhatian kerajaan negeri khususnya pihak MBI tentang keluhan penduduk Kampung Pengkalan Pegoh yang berkaitan dengan cukai pintu yang dikenakan tanpa kemudahan - kemudahan asas ataupun perkhidmatan yang sewajarnya dari MBI. Minta dikaji dan diselidik.

Yang keduanya, menggesa dan mengusulkan kepada kerajaan persekutuan agar menyegerakan peruntukan RM 65 juta untuk menaiktaraf jalan Simpang Pulai-Lahat yang telah dijanjikan dalam RMK-10 yang mungkin tidak sempat untuk dilaksanakan kerana tinggal setahun sahaja lagi kalau ianya tidak sempat dilaksanakan dalam RMK-10 minta diberikan keutamaan dalam RMK-11.

Yang ketiga, menyegerakan pembaikan sebahagian jalan yang runtuh akibat banjir kebelakangan ini iaitu jalan antara Kampung Meranti Lapan @ Seri Rahmat ke Batu Gajah.

Yang keempat, memohon kerajaan negeri melalui JKJR iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya menhkaji semula kedudukan dan struktur jalan dan pembahagi jalan berhadapan jalan masuk Taman Pengkalan Sentosa, Lahat yang berisiko dan telah mengundang banyak kemalangan dan yang kedua, pembinaan simpang tiga berlampu isyarat di hadapan Kampung Tersusun Sri Rahmat yang dianggap tidak tepat dan membelakangi kepentingan dan kebajikan penghuni asal kampung tersusun tersebut. Saya mencadangkan pembinaan yang paling tepat ialah simpang keluar masuk tanpa menyalahi undang - undang. Dato' Seri Yang Dipertua, saya kira semua perkara ini boleh memberi kebaikan dan kepentingan kepada rakyat dan negeri Perak. Jadi saya minta perhatian agar semua daripada kita terus dengan niat untuk memajukan negeri ini demi memastikan kelangsungan pentadbiran dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya. Sekian daripada saya. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Friday, December 19, 2014

BN kutip RM 274 juta cukai petrol sejak 1 Nov - 15 Dis ?

HARGA pasaran bagi petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 1 Disember 2014 hingga 15 Disember 2014 disertakan di dalam Lampiran A (harga pasaran RON95) dan Lampiran B (harga pasaran diesel) yang disertakan bersama.
Data harga telah diperolehi secara sah dari pasaran seperti berikut:
RON95 – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Mogas 95 Unleaded
Diesel – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Gasoil
Kadar tukaran matawang – ditentukan oleh kadar rasmi Bank Negara

Dari Lampiran A dan Lampiran B, jelas bahawa harga pasaran bagi RON95 (tidak termasuk jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak) telah menjunam dari paras RM1.73 seliter pada 1 Disember 2014 kepada RM1.58 seliter pada 15 Disember 2014.

Keadaan yang sama juga berlaku dengan harga diesel yang menjunam dari paras RM1.87 seliter pada 1 Disember 2014 kepada RM1.71 seliter pada 15 Disember 2014.

Malah, dengan jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak sebanyak 32 sen seliter (RON95) dan 23 sen seliter (diesel) seperti yang terpaksa dibayar rakyat sekarang, harganya juga masih rendah berbanding harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengambil kira jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak itu, harga RON95 ialah RM2.05 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.90 seliter (pada 15 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.26 seliter.

Harga diesel pula (termasuk jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak) ialah RM2.10 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.94 seliter (pada 15 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.23 seliter.

Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), rakyat Malaysia sebenarnya telah membayar cukai petrol sejak bulan November 2014 lagi.

Perkiraan cukai petrol tersembunyi yang telah ditanggung oleh rakyat ditunjukkan di dalam Lampiran C.
Anggaran ini dibuat berdasarkan jumlah penggunaan petrol sebanyak 14 bilion liter setahun dan penggunaan diesel sebanyak 9.64 bilion liter setahun seperti jawapan Perdana Menteri di Parlimen.

Bagi tempoh November 2014, rakyat membayar sebanyak RM47 juta cukai petrol.

Bagi tempoh 15 hari pertama Disember, rakyat membayar sebanyak RM146 juta cukai petrol bagi RON95 dan RM81 juta bagi diesel.

Maka, jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi tempoh 45 hari sahaja ialah RM274 juta tanpa diketahui oleh rakyat.

Oleh sebab itu, saya terus menegaskan bahawa sistem penetapan harga sekarang ini tidak telus dan memangsakan rakyat.
Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjawab segera ke mana perginya cukai tersembunyi sebanyak RM274 juta yang dikutip dari rakyat dalam tempoh 45 hari sahaja di antara 1 November 2014 hingga 15 Disember 2014.

Sumber : HarakahDaily

Thursday, December 18, 2014

Mengedar kalendar 2015

Disember 2014 - YB Radzi bin Zainon telah turun padang di pasar harian Batu Gajah untuk mengedar kalendar 2015 bersama dengan ahli - ahli PAS kawasan Batu Gajah serta Dewan Himpunan Penyokong PAS yang diwakili oleh Pengerusinya, En. Dorai Kannu. Program turun padang ini merupakan program minggu di kawasan Batu Gajah terutamanya yang termasuk di dalam kawasan DUN Sungai Rapat iaitu Kampung Ara Payung, Kampung Seri Jaya dan Kampung Pisang.
 


Laporan : Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Ara Payung

Menjalin Silaturrahim





YB Radzi bin Zainon bersama rombongan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Rapat telah mengadakan kunjungan hormat ke Tenaga Nasional Berhad pada 1 Disember 2014. Rombongan YB Radzi bin Zainon telah disambut oleh Pengurus Besar TNB Negeri Perak, Y.Bhg. Dato’ Zahir bin Nagor. 




Sebelum kunjungan hormat ini diadakan, pihak TNB terlebih dahulu (gambar bawah) telah menziarahi YB Radzi bin Zainon di pejabat beliau. Kunjungan hormat ini adalah bagi membincangkan beberapa isu yang melibatkan rakyat dan TNB. Pihak YB Radzi bin Zainon mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak TNB Negeri Perak.







Laporan : Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sg Rapat