Friday, December 26, 2014

Kerajaan Selangor sumbang RM1 juta pada Kelantan, RM 100,000 kepada negeri Terengganu, Pahang dan Perak


Kerajaan Selangor akan memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada  Kelantan berikutan krisis banjir yang melanda negeri itu kata Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, sebanyak RM100,000 pula akan disumbangkan kepada negeri Terengganu, Pahang dan Perak.

Azmin bersama dua exconya Amirudin Shari dan Dr Daroyah Alwi akan ke Kelantan pagi ini untuk menyerahkan sumbangan itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Azmin berkata keputusan untuk memberi sumbangan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi ini ekoran situasi banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Perak.

Katanya, ia sebagai tanda simpati kerajaan Selangor terhadap negeri-negeri yang dilanda bencana banjir itu.

Kerajaan dan rakyat Negeri Selangor, katanya amat bersimpati dengan mangsa banjir dan keluarga mereka yang menanggung kesusahan dan mengalami kerosakan harta benda akibat banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 43 tahun.

"Kami memohon doa ke hadrat Allah SWT agar cuaca bertambah baik dalam masa terdekat dan semua yang terkesan dengan bencana ini berada dalam keadaan selamat.

"Kami juga memohon semoga rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bersabar dan tabah menghadapi musibah dan agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat  terus dilindungi dan dipelihara Allah SWT," tambahnya.

Menurut Azmin lagi, beliau telah berbincang dengan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meneliti langkah-langkah yang perlu diambil dalam membantu negeri-negeri terlibat.

"Saya juga telah menghubungi Datuk Paduka Husam Musa bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri Selangor untuk bersama–sama kerajaan negeri Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Selangor juga menyediakan peruntukan RM200,000 bagi misi bantuan kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh Dr Daroyah melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) yang akan turun bagi memberi khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan.

Untuk program pasca bencana banjir, katanya, kerajaan Selangor telah bersetuju untuk memberikan khidmat kerja pembersihan kawasan banjir dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

"Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan keselamatan rakyat.

"Kerajaan Selangor juga akan mendapatkan sokongan kewangan daripada anak-anak syarikat, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan syarikat-syarikat swasta di Selangor untuk membantu menyediakan peralatan persekolahan termasuk pemberian beg sekolah dan pakaian seragam untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Azmin berkata, MMKN juga mengambil keputusan untuk membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15 menjelang Tahun Baru 2015 sebagai tanda simpati kepada semua rakyat yang mengalami bencana banjir dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan Selangor.

"Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I – City, Shah Alam atas prinsip yang sama.

"Kerajaan Negeri Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan meluluskan geran bantuan bencana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan beban yang dialami rakyat dalam tempoh yang getir ini.

"Kerajaan Selangor juga telah berbincang dengan JAIS supaya semua masjid di Negeri Selangor mengadakan solat hajat sejurus solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar kesejahteraan dan keselamatan rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terus dilindungi dan dipelihara," tambahnya.

No comments: