Thursday, November 20, 2008

Anugerah Khas Pasti Gopeng - Imam Hj Fahme


Buat julung-julung kalinya Pasti Kawasan Gopeng memberikan anugerah khas kepada aktivis PAS yang menaburkan jasa bagi perkembangan dan pembangunan Pasti selama ini.
Penerima anugerah khas kali pertama ini amat serasi dengan Pasti kerana seluruh ahli keluarganya terlibat secara langsung dalam penubuhan dan kejayaan Pasti di kawasan Gopeng ini.

Dan penerima anugerah khas itu tak lain dan tak bukan adalah Imam Hj Fahme B Zakaria.

Imam Hj Fahme berjiran dan ada talian persaudaraan dengan keluarga mertua saya dan mesra dengan panggilan Nyah Mi. Pernikahan saya juga berlangsung di Surau Ehsaniah, Kampung Meranti Lapan tempat dimana Nyah Mi sentiasa menghabiskan malamnya.

Sedikit biodata Imam Hj Fahme :

Imam Hj Fahme Bin Zakaria merupakan seorang pesara angkatan tentera yang dilahirkan di Batu Gajah pada 30hb Disember 1937. Mempunyai seorang isteri dan 10 orang anak serta 40 orang cucunda yang tercinta.

Beliau mula melibatkan diri dengan PAS pada tahun 1981. Beliau diamanah sebagai Naib YDP PAS Batu Gajah. Kemudiannya dilantik menjadi Naib YDP PAS Gopeng setelah persempadanan semula dimana pada masa itu hanya terdapat 2 cawangan. Beliau juga menubuhkan PAS Cawangan Pengkalan Pegoh, Changkat Larang dan Sri Rahmat serta pernah menjadi ketua ketiga-tiga cawangan tersebut.

Pada tahun 1989, beliau menubuhkan PASTI Ammar yang ketika itu masih di bawah PAS Kawasan Batu Gajah. Beliau juga menubuhkan PASTI Batu Gajah dan Pengkalan Pegoh. Jumlah murid PASTI Ammar pada awal penubuhan ialah seramai hampir 30 orang bertempat di bawah Surau Ehsaniah, Kampung Meranti Lapan. Kemudian berpindah ke rumah Imam Hj Fahme sendiri dan seterusnya di Taman Pinji Perdana sehinggalah sekarang.

Saguhati guru pada awal penubuhan hanyalah sebanyak RM50 sahaja. Manakala tenaga pengajar PASTI Ammar adalah anak-anak Imam Hj Fahme sendiri sejak ditubuhkan. Hingga sekarang, Imam Hj Fahme masih kekal sebagai Pengerusi PASTI Ammar.

Ehsan : ajijoi.blogspot.com

Wednesday, November 19, 2008

Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng


Gopeng (13/11/2008): Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng berlangsung dengan jayanya dan kehadiran begitu ramai pada malam itu menambahkan lagi kemeriahan majlis.

Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) Kawasan Gopeng yang terdiri daripada Pasti Sinaran Wahyu Gopeng, Pasti Pintar Tmn Bersatu Simpang Pulai, Pasti Ehsan Rapat Setia dan Pasti Ammar Changkat Larang. Seramai 78 pelajar dari 4 buah PASTI ini telah menerima sijil dan cenderahati sempena konvokesyen kali ini. Di mana 37 pelajar berumur 6 tahun akan memasuki Darjah Satu untuk sesi pengajian 2009 manakala bakinya yang berumur 4 dan 5 tahun akan meneruskan pendidikan mereka di PASTI untuk setahun dua lagi.

Setiap PASTI telah memilih 3 orang pelajar Cemerlang Akademik untuk pelajar berumur 6 tahun dan 3 orang untuk pelajar berumur 4 & 5, 2 orang kehadiran terbaik dan 2 orang pelajar Mithali. Pelajar terbaik keseluruhan 2008 telah dianugerahkan kepada Adik Safiyyah Munirah bt. Mohd Tahir dari PASTI Al-Ehsan, Rapat Setia.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran MB Nizar dan isteri serta keluarga dan juga ketua-ketua kampung Dun Sg Rapat.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Kamallullail dan diikuti bacaan Al-Quran oleh bekas pelajar Pasti yang kini berusia 9 tahun. Ucapan Pengerusi Pasti Kawasan Gopeng, Raja Mohd Yusof b Raja Hamid dan juga ucapan YDP Pas Kawasan Gopeng, Tn Hj Abd Rahim B Md Arif menyentuh tentang kesederhanaan perjalanan Pasti menempuh usia sehinggalah sekarang.

Ucapan utama dan perasmian majlis dilaksanakan oleh MB Hj Nizar sendiri yang antara isi ucapannya ialah beliau mengharapkan guru-guru PASTI terus mendidik anak-anak dengan akhlak mulia dan melahirkan insan yang cemerlang. Anak-anak didikan PASTI kebiasaannya tidak banyak membawa masalah kepada guru-guru ketika mereka mula memasuki alam persekolahan rendah kerana mereka telah dididik dengan kurikulum yang hebat dan akhlak yang terpuji. Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri akan terus menyokong sekolah dan pusat akademik berteraskan Islam dan memberi galakan berupa bonus dan kenaikkan gaji kepada guru-guru.

Majlis Pasti kali ini dianggap satu kejayaan jika dibandingkan dengan majlis Pasti yang terdahulu umpamanya Ihtifal Negeri Perak. Mungkin kerana Dewan Pemuda Pas memainkan peranan dengan menjadi tunggak utama di dalam perancangan dan perlaksanaan majlis ini. Sekalung tahniah juga buat Pas Cawangan Gopeng yang menjadi tuan rumah kerana kelancaran persediaan dan kemudahan program malam itu.

Kehadiran MB Perak juga sedikit sebanyak membuatkan perancangan diatur lebih teliti dan kemas berbanding dahulu. Banyak lagi faktor yang menyumbang kearah kemantapan majlis kali ini. Itulah semangat berpasukan yang patut ada dan dilaksana. Semoga majlis ini menjadi perintis kepada kecemerlangan program-program yang akan datang.

Konvokesyen Pasti kali ini juga menyaksikan beberapa perkara yang menjadi 'pertama kali'. Umpamanya :-

1. Pertama kali dibuat pada waktu malam. Nyaris tiada anak-anak Pasti yang tertidur kecuali seorang dan juga salah seorang tetamu iaitu Alhusseyn. (baca ulasannya disini.)

2. Pertama kali dibuat didalam dewan. Kebiasaannya hanyalah dibuat di Pasti itu sendiri.

3. Pertama kali dirasmikan oleh pembesar negeri iaitu Menteri Besar Perak. Kebiasaannya majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Kawasan ataupun Pengerusi Pasti itu sendiri.

4. Pertama kali perbelanjaan yang melibatkan jumlah yang agak besar. Berbanding dengan majlis yang terdahulu yang hanya menumpukan kepada perbelanjaan sijil dan hadiah kepada anak-anak Pasti.

5. Pertama kali diadakan Anugerah Khas. Penerima Anugerah 'Jasamu Dikenang' kali ini ialah Imam Hj Fahme B Zakaria.

Syabas saya ucapkan dan diharap kejayaan dan kecemerlangan ini tidak berakhir hanya disini.

Ehsan : ajijoi.blogspot.com

(Kesemua gambar-gambar dibawah ini boleh ditempah dengan menghubungi Sdr Zainul Azhar [Pengarah program] di talian 019-5781700)









Thursday, November 13, 2008

Ralat

Tarikh Liqa' Fikri PAS Gopeng yang lepas adalah pada 29 Oktober 2008. Mohon maaf atas kesilapan.

Badrin Khalid
Setiausaha PAS Gopeng

Saturday, November 8, 2008

Meludah ke Langit, Jangan Sampai Terkena Muka Sendiri.

Saya telah membaca tulisan Alhusseyn (walaupun agak lewat) yang saya anggap menghina PAS Gopeng secara khususnya dan PAS secara amnya. Ketika mendapat makluman mengenai tulisan tersebut, saya berada di Kuala Lumpur kerana menghantar ibu saya yang akan berangkat ke Mekah. Ketika mendapat makluman daripada Setiausaha DMP Kawasan mengenai tulisan tersebut, saya terus menghubungi YDP Kawasan yang kebetulan baru pulang dari tanah perkuburan.

Alhusseyn menulis:

”Saya memberitahu Cikgu Badrin , Setiausaha Kawasan supaya menyampaikan berita kematian dan waktu untuk pengkebumian jenazah tersebut. Hingga ke saat ini, jam kat dinding menunjukan 1.25 pagi; saya belum menerima kunjungan dari orang jemaah PAS Kawasan Gopeng selain tiga orang yg saya hubungi sendiri – Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat, Radhi Zainon , Ketua Kampung Simpang Pulai, Abu Bakar (Bob) dan Zulkifli Hasan , JKKK saya.”

Selaku Setiausaha Kawasan, saya telah memaklumkan pemergian ibu saudara Alhusseyn kepada semua AJK Kawasan. Saya sendiri telah memberitahunya bahawa saya tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur. Saya juga berharap agar berita tersebut disebarkan.

Ini bukanlah kali pertama Alhusseyn bersikap ’Aku Saja Yang Betul’. Saya masih teringat tulisannya tahun lepas selepas pemilihan YDP Gopeng yang baru, beliau telah secara terbuka menghina Ust Abu Bakar Hussein (kini TPJ 1 PAS Perak) yang saya baca melalui Harakah Daily. Walaupun saya sempat membalasnya dalam komen yang berikutnya, tetapi agak terlewat. Bukanlah tujuan saya untuk ’menelanjangi’ sikap Alhusseyn sebagaimana yang dilakukannya terhadap PAS Gopeng. Namun, selaku Setiausaha PAS Kawasan dan ahli PAS, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik jemaah ini (mungkin Alhusseyn tidak terfikir demikian). Ruang untuk menegur jemaah bukannya tidak ada di dalam PAS. Beliau boleh memaklumkannya kepada sahabatnya yang juga merupakan AJK PAS Kawasan untuk dibawa ke dalam mesyuarat kawasan yang diadakan pada setiap bulan atau menggunakan saluran-saluran lain secara lebih bersopan. Manusia yang rasional boleh menilai sikap Alhusseyn melalui tulisannya.

Alhusseyn juga menulis:

”Berdetik dihati saya, agaknya, kalau anak kucing MB Nizar yang mati , tentu masing-masing akan berebut-rebut berkejar ke residensi MB untuk mengucapkan takziah masing-masing....”

Mungkin Alhusseyn tidak melatah jika yang pergi bukan ibu saudaranya. Namun apabila ianya berlaku kepada dirinya sendiri, mungkin Alhusseyn perlu memuhasabah hubungannya dengan sahabat-sahabat sebelum ini. Bagaimana pula sikap Alhusseyn terhadap program-program jemaah sebelum ini? Mungkin ikatan yang dibina oleh Alhusseyn dengan PAS Gopeng belum benar-benar kukuh. Adakah Alhusseyn sendiri hadir ke pengebumian mana-mana ahli PAS Gopeng yang berlaku sebelum PRU12? Adakah apabila Alhusseyn sendiri tidak hadir bermakna program tarbiyyah PAS Gopeng gagal? Malahan adakah Alhusseyn hadir dalam program Liqa-ul Fikri PAS Gopeng yang diadakan pada 29 November yang lalu dimana saya telah memaklumkannya kepada semua AJK Kawasan, DPP, DMP, Ketua & S/U Cawangan serta Pengerusi JKK. (mengikut rekod yang hadir seramai 63 orang walaupun sms yang ana hantar kepada 96 orang). Jika beliau sendiri gagal menghadirkan diri dalam program-program anjuran PAS Gopeng sebelum ini, wajarlah untuk Alhusseyn memuhasabah dirinya semula. Kami (kepimpinan Gopeng) sentiasa bersangka baik apabila sahabat-sahabat tidak dapat hadir ke mana-mana program walaupun kita benar-benar mengharapkan kehadiran yang ramai supaya mudah untuk kita menyampaikan apa-apa maklumat terkini.

Saya tertarik pada komen Mee yang berbunyi:

”Salam.. takziah atas pemergian ibu saudara tuan... namun menjadikan ketidakhadiran sahabat2 sebagai kayu ukur keseluruhan PAS kawasan Gopeng adalah sangat mendukacitakan... maaf jika terkasar bahasa..... Al Fatihah...”

Bagi saya, kesalahan individu tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jamaah. Bukankah YDP dan ketua Pemuda Kawasan telah hadir. Tidak bolehkah Alhussyen berfikir bahawa sahabat-sahabat yang lain mungkin ada keuzuran mereka sebagaimana Alhusseyn sendiri sering uzur untuk hadir dalam program-program PAS Kawasan tanpa khabar berita. Saya teringat kata Almarhum ayah saya, ”Kalau kita berat kat orang, insyaAllah orang juga akan berat kat kita.”

Saya memohon maaf kerana menggunakan ruang ini untuk membalas tulisan Alhusseyn di dalam blognya. Namun bagi saya, jika ada individu yang mengaibkan PAS secara terbuka maka saya juga akan menjawabnya (bukan tujuan untuk mengaibkan) secara terbuka. Bagi saya juga, Alhusseyn berhutang kemaafan daripada PAS Gopeng kerana tulisannya itu yang jauh dari kebenaran. Ingatan saya, jika meludah ke langit, jangan sampai terpalit ke muka sendiri. Mohon maaf sekali lagi. Wallahualam.

Badrin Khalid.

(Setiausaha PAS Kawasan Gopeng)

Thursday, November 6, 2008

Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Kompleks Pas Perak


Ipoh,6 Nov 2008 : PAS Perak akan melancarkan sebuah tabung bagi menjana dana penubuhan sebuah kompleks yang akan menjadi kebanggaan kepada PAS di Perak kelak.

Pelancaran tabung tersebut akan diadakan di Padang Mini Stadium Gugusan Manjoi,Ipoh pada Sabtu, 9 November ini.

Mengikut Ketua Pemuda PAS Perak, Ust Norazli Musa, program pelancaran tabung tersebut adalah dibawah anjuran Dewan Pemuda PAS Perak sendiri dengan mengadakan Solat Hajat untuk memohon kepada Allah S.W agar dipermudahkan di semua peringkat urusan penubuhan kompleks tersebut.

"Mudah-mudahan Allah bukakan hati semua orang untuk membantu dan memberi laluan kearah pembinaan Kompleks PAS tersebut," kata Norazli dengan penuh harapan.

"Beberapa pimpinan parti akan berucap dalam majlis tersebut.Antaranya ialah Ust Ahmad Awang , selaku Pesuruhjaya PAS Perak, YAB Menteri Besar , Dato Seri Ir Nizar dan seorang pimpinan dari pusat yang belum dapat dipastikan lagi," jelas Norazli.

Mengikut Norazli, "Majlis akan bermula dengan solat Maghrib berjemaah; maka adalah diharapkan orang ramai akan dapat hadir terlebih awal bagi tujuan tersebut dan mereka diminta supaya membaya sejadah masing-masing."

"Diharap cuaca pada hari tersebut baik dan akan memihak kepada kita," demikian harapan Ust Norazli.