Wednesday, November 19, 2008

Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng


Gopeng (13/11/2008): Hari Anugerah Cemerlang & Konvokesyen Pasti Kawasan Gopeng berlangsung dengan jayanya dan kehadiran begitu ramai pada malam itu menambahkan lagi kemeriahan majlis.

Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) Kawasan Gopeng yang terdiri daripada Pasti Sinaran Wahyu Gopeng, Pasti Pintar Tmn Bersatu Simpang Pulai, Pasti Ehsan Rapat Setia dan Pasti Ammar Changkat Larang. Seramai 78 pelajar dari 4 buah PASTI ini telah menerima sijil dan cenderahati sempena konvokesyen kali ini. Di mana 37 pelajar berumur 6 tahun akan memasuki Darjah Satu untuk sesi pengajian 2009 manakala bakinya yang berumur 4 dan 5 tahun akan meneruskan pendidikan mereka di PASTI untuk setahun dua lagi.

Setiap PASTI telah memilih 3 orang pelajar Cemerlang Akademik untuk pelajar berumur 6 tahun dan 3 orang untuk pelajar berumur 4 & 5, 2 orang kehadiran terbaik dan 2 orang pelajar Mithali. Pelajar terbaik keseluruhan 2008 telah dianugerahkan kepada Adik Safiyyah Munirah bt. Mohd Tahir dari PASTI Al-Ehsan, Rapat Setia.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran MB Nizar dan isteri serta keluarga dan juga ketua-ketua kampung Dun Sg Rapat.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Kamallullail dan diikuti bacaan Al-Quran oleh bekas pelajar Pasti yang kini berusia 9 tahun. Ucapan Pengerusi Pasti Kawasan Gopeng, Raja Mohd Yusof b Raja Hamid dan juga ucapan YDP Pas Kawasan Gopeng, Tn Hj Abd Rahim B Md Arif menyentuh tentang kesederhanaan perjalanan Pasti menempuh usia sehinggalah sekarang.

Ucapan utama dan perasmian majlis dilaksanakan oleh MB Hj Nizar sendiri yang antara isi ucapannya ialah beliau mengharapkan guru-guru PASTI terus mendidik anak-anak dengan akhlak mulia dan melahirkan insan yang cemerlang. Anak-anak didikan PASTI kebiasaannya tidak banyak membawa masalah kepada guru-guru ketika mereka mula memasuki alam persekolahan rendah kerana mereka telah dididik dengan kurikulum yang hebat dan akhlak yang terpuji. Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri akan terus menyokong sekolah dan pusat akademik berteraskan Islam dan memberi galakan berupa bonus dan kenaikkan gaji kepada guru-guru.

Majlis Pasti kali ini dianggap satu kejayaan jika dibandingkan dengan majlis Pasti yang terdahulu umpamanya Ihtifal Negeri Perak. Mungkin kerana Dewan Pemuda Pas memainkan peranan dengan menjadi tunggak utama di dalam perancangan dan perlaksanaan majlis ini. Sekalung tahniah juga buat Pas Cawangan Gopeng yang menjadi tuan rumah kerana kelancaran persediaan dan kemudahan program malam itu.

Kehadiran MB Perak juga sedikit sebanyak membuatkan perancangan diatur lebih teliti dan kemas berbanding dahulu. Banyak lagi faktor yang menyumbang kearah kemantapan majlis kali ini. Itulah semangat berpasukan yang patut ada dan dilaksana. Semoga majlis ini menjadi perintis kepada kecemerlangan program-program yang akan datang.

Konvokesyen Pasti kali ini juga menyaksikan beberapa perkara yang menjadi 'pertama kali'. Umpamanya :-

1. Pertama kali dibuat pada waktu malam. Nyaris tiada anak-anak Pasti yang tertidur kecuali seorang dan juga salah seorang tetamu iaitu Alhusseyn. (baca ulasannya disini.)

2. Pertama kali dibuat didalam dewan. Kebiasaannya hanyalah dibuat di Pasti itu sendiri.

3. Pertama kali dirasmikan oleh pembesar negeri iaitu Menteri Besar Perak. Kebiasaannya majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Kawasan ataupun Pengerusi Pasti itu sendiri.

4. Pertama kali perbelanjaan yang melibatkan jumlah yang agak besar. Berbanding dengan majlis yang terdahulu yang hanya menumpukan kepada perbelanjaan sijil dan hadiah kepada anak-anak Pasti.

5. Pertama kali diadakan Anugerah Khas. Penerima Anugerah 'Jasamu Dikenang' kali ini ialah Imam Hj Fahme B Zakaria.

Syabas saya ucapkan dan diharap kejayaan dan kecemerlangan ini tidak berakhir hanya disini.

Ehsan : ajijoi.blogspot.com

(Kesemua gambar-gambar dibawah ini boleh ditempah dengan menghubungi Sdr Zainul Azhar [Pengarah program] di talian 019-5781700)









No comments: