Friday, May 29, 2009

Berbuka Puasa & Mogok Lapar.

Satu majlis berakhirnya program berbuka puasa dan mogok lapar anjuran Pakatan Rakyat telah diadakan di perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak pada Khamis 28hb. Mei 2009 yang lalu.

Ust. Hj. Ahmad Awang, Lim Guan Eng, Dato' Ngeh Khoo Ham dan Dato' Seri Ir. Hj. Nizar.
Tidak dapat dipastikan dengan jelas status mereka ini....... berpuasa atau tidak....
Ramai dikalangan bukan Islam yang hadir untuk berbuka 'mogok lapar'.
Mantan Ketua Pemuda PAS Perak pun ada.
Muazzin yang didatangkan khas dari negeri pasir dua butir.......
Selamba jer Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng makan nasi menggunakan tangan.
YB Khalil Idham Lim bersama YB Ngeh Khoo Ham.

Wednesday, May 20, 2009

Perak Jadikan Emas.

Apa yang sedang berlaku di Perak ini amat baik sekali. Kelam kabut dan kacau bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak ini sekali imbas dilihat tidak mendatang faedah kepada orang ramai. Ini satu pandangan yang salah.

Apa yang berlaku di Perak ini adakah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.

Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai. Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai. Tetiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman.

Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihat sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan dikalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.

Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri.

Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul. Raja adil raja di sembah – raja zalim raja di sangkah telah menjadi realiti di Perak.

Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka didalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga Malaysia telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam Perlembagaan Perak.

Hasil dari krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan Raja, peranan Menteri Besar, peranan Tuan Speaker dan had-had yang diwujudkan melalui Perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini. Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada dalam tangan mereka.

Najib Razak berniat merancang ‘rampasan kuasa’ di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdulah Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa ingin dijadikan sebagai tiupan sangka kala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat. Tiupan sangka kala ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 March. Harapan ini jelas telah pancet.

Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat. Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Ini adalah tanda-tanda politik sehat dimana elemen-elemen demokrat didalam Barisan Nasional telah mula bersuara.

Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak.

Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak tanduk yang telah diambil oleh Najib Razak. Ini adalah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sehat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation. Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.

Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan diantara parti Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan. Perak adaklah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengenepikan ajenda sampingan dan menerkam kepada ajenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.

Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali didalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokan sebagai parti keCinaan telah diterima oleh orang Melayu. Pas yang selama ini dimomokan dengan hukum hududnya telah menerbus masuk ke dalam kawah Cina. Ini adalah perkembangan yang amat menakutkan untuk United Malays National Organisation.

Dua buah parti ini selalu digunakan sebagai senjata ampuh oleh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai. Di Perak orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak orang Cina tidak lagi takut untuk menerima Pas. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.

Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Nizar dan Siva. Kalau di permulaan era Reformasi dahulu yang muncul hanya Anwar Ibrahim yang pada mulanya masih dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk menyakinkan warga bukan Melayu bahawa Reformasi adalah agenda untuk semua.

Berbanding dengan krisis Perak secara sepontan Nizar dan Siva telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar Ibrahim. Ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.

Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya dari apa yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Pada malam 20 September 1998 Anwar Ibrahim telah di tangkap di rumahnya. Episode penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi. Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Muhamad.

Di Perak episode ini berulang lagi. Pada 7 Mei yang lalu sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi Tuan Speaker dan dikurung agar kuasa dapat dirampas. Kini sekali satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang di wakili oleh Najib Razak.

Sama ada Dun dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara. Aktivis dan angkatan muda dari Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.

Ombak Perak ini wajib terus di kembangkan. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan di bakar. Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum di adakan. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini lebih subur politik Malaysia.

tukartiub.blogspot.com

Monday, May 18, 2009

Majlis Kesyukuran.

PAS Cawangan Taman Seri Raia telah menganjurkan Majlis Khenduri Kesyukuran meraikan petugas pilihanraya kecil Parlimen P059 Bukit Gantang yang baru lalu.

Majlis yang tertangguh buat beberapa minggu dari jadual asal kerana kekangan waktu namun berjaya diadakan juga pada hari Sabtu 16hb. Mei 2009 di Surau Taman Seri Raia.
Antara tetamu yang hadir ialah Sdr. Radzi Zainon, mantan calon PAS bagi DUN N43 Sg. Rapat.
YB Chang Li Kang ADUN Teja sedang menyampaikan ucapan.

Thursday, May 7, 2009

Kisah Sedih.

Petang semalam..selepas balik dari Ipoh…aku singgah kat Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar untuk sembahyang Maghrib.

Masa aku masuk masjid… Imam dah sujud rakaat pertama. tapi ada sorang tu…nak kata tua, tak berapa tua sangat. Lebih kurang aku jugak. Tinggal lagi…janggut aku dah putih…misai dia masih hitam.

Dia dok berjalan dari hujung masjid..sampai hujung sini. Biaq pi la kat dia.

Aku masuk saf bila imam bangkit rakaat kedua. Tapi orang tua tu tak sembahyang juga.

Bila imam bagi salam rakaat ketiga, aku bangkit sambung rakaat ketiga, sebab aku miss rakaat pertama. Masa tu…tiba-tiba orang tua tu mai duduk sebelah aku. Tak betui kot!!

Bila imam baca doa..dia angkat tangan punya tinggi. Khusyuk dan tawadduq! Aku tengok dia menangis..meleleh air mata. Macam Tok Guru Nik Aziz!

Selesai imam baca doa..taqabbalallahu minkum…dia terus bangkit pi salam dengan imam. Dia cium tangan imam tu…imam tu pun senyum. Dia salam dengan semua orang sambil menangis…tapi orang lain semua senyum!!

Dia mai salam dengan aku…masa tu baru aku tau apa yang dia cakap….”saya minta maaf banyak-banyak.” Apa salah dia?

Aku terus keluar masjid…takut selipar hilang.

Baru nak sarung selipar…aku dengar orang menjerit..”hoi..tak payah salam dengan muslimat….depa dah maafkan dah!” Rupa-rupanya dia nak salam dengan muslimat kat belakang.

Aku tanya kat sorang jemaah yang keluar masjid tu..”sapa tu?”

“Polis pencen…tak betui dah!!” jawab sahabat tadi.

Aku tak jadi masuk kereta…aku perati orang tua tu dari jauh. Nak kata gila…aku tengok pakaian dia masih kemas. Kain pelikat dia masih bersih. Baju melayu dia siap dengan butang. Kopiah putih dia tak ada taik lalat. Interesting!

Dia duduk kat atas tangga masjid. menangis tersedu-sedu. Lepas sorang-sorang jemaah keluar masjid..ada yang duduk dalam masjid tunggu isyak. Mana yang keluar dok tepuk belakang orang tua tu…”sabor Yop!”..kata depa.

Bila dah tak ada orang…aku pi kat orang tua. Bagi salam. Dia jawab salam aku. “Waalaikum salam. huk..huk..huk.” Tak gila pun!

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong abang?” aku tanya dia.

Dia bangkit dan terus peluk aku. Seriau!

“Abang mintak maaf banyak-banyak adik..abang dah banyak buat dosa kat semua orang.” Tiba-tiba dia berhenti menangis.

“Pasai apa abang tak sembahyang tadi…tapi doa punya baguih!” aku tanya.

“Abang ni polis dik…memang kami tak boleh sembahyang…kena jaga orang sembahyang!” Senafas saja dia menjawab dengan fasih!

“Pasai apa tak tengok saja orang lain berdoa?” aku tanya.

“Yang tu kena buat!! yang tak angkat tangan orang bukan islam saja.” dia jawab. Aku tak tau la dia ni mazhab mana.

“Yang dok pi mintak maaf kat semua orang pasai apa?”

“Sebab dulu…lepas baca doa abang pukui orang. Yang tangkap Badrul Amin baca doa tu abang la. Mana yang melawan kami terajang. Mana yang bangkit kami pukui. Tak kira la lelaki ka…perempuan ka..kami balun semacam saja.”

Macam mana jemaah lain kata dia ni tak betui? apa yang dia cakap semua betui!

“Abang ni masih kerja polis ka?”

“Tak….medikal bod. Dah dua tahun” dia kata. Aku tak pernah kerja gomen…aku tak tau apa dia. Tapi aku buat-buat tau la.

“Abang nak pi mana lepaih ni?” aku tanya.

“Nak ambik anak…dah lama dia tak balik.” dia kata.

“Nak ambik kat mana?” aku tanya.

Dia diam…

“Dah berapa lama tak jumpa anak?” aku tanya.

“Kamu layan orang macam tu…kamu pun jadi macam dia!” Haji Rahman, Che’gu kat Idrissiah cakap kat aku masa dia keluar dari masjid.

Aku tinggalkan orang tua tu. Ikut Haji Rahman…dia ngajak aku minum di Rahmaniah…dekat masjid tu.

“Dulu dia tu FRU…orang sembahyang…dia tak sembahyang. Orang baca doa..dia tadah tangan. Habih orang sembahyang…dia pukui orang sembahyang” Haji Rahman bercerita.

“Nak dijadikan cerita…anak dia pun kena pukui. Anak dia belajor kat universiti…ikut orang sembahyang kat Kampung Baru. Bila anak dia kena pukui…anak dia mula fobia tengok FRU. Bila tengok bapak dia..dia mula takut. Last-last tak pernah balik kerumah.Sampai sekarang. Tu pasai dia merayau dari satu masjid kesatu masjid cari anak dia.” kata Hj. Rahman.

“Ooooo!!!” Habih tu..yang dia pi minta maap kat semua orang pasai apa?”

” Dulu dia jaga orang demo…main belasah saja. Sekali tu orang belasah dia balik. masa dia belasah orang..dia tak kenai. Tapi orang kenai dia. Bila dia balik Bendang Kering…orang balas balik. Sebab orang yang dia pukui masa demo tu bebudak kampung dia jugak. Empat hari koma…bila sedor…jadi macam tu la.” Cerita Hj. Rahman.

“Tapi masa baca doa tadi… aku tengok dia sampai menangis. Mesti dia paham kot?” aku tanya.

“Yang tu dia minta ampun kat Tuhan. Sebab Tuhan bagi dia akal..tapi dia tak pakai. Dulu…bila kita tanya dia pasai apa dia pukul orang…dia kata dia ikut arahan. Betui tak betui…dia tak peduli. Dia ikut arahan…bukan ikut Tuhan. Tuhan kata..jangan menzalimi orang lain. Dia kata …dia ikut arahan Mahathir. Dia lebih takut kat Mahathir dari takut kat Tuhan!”

Kami pun sampai kat Restoran Rahmaniah. “Mamak Zamree!! Teh tarik satu!”


http://perakexpress.com

Wednesday, May 6, 2009

Memohon Sumbangan Dana Sempena Konvensyen PAS Perak.

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akan menganjurkan Konvensyen pada hari Ahad 24hb. Mei 2009 bertempat di Teluk Intan.

Sehubungan itu, pihak penganjur memohon sumbangan ikhlas bagi menjayakan konvensyen berkenaan.

Sumbangan boleh diberikan dalam berbagai bentuk dan terbuka kepada semua organisasi, badan NGO, syarikat atau pun individu.

Pihak penganjur juga akan menyediakan buku cenderamata yang boleh diiklankan produk atau sekadar ucapan selamat berkonvensyen dengan bayaran dari RM50.00 ke RM500.00.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sdr. Anuar Ibrahim ditalian 013-4711095.

Tarikh akhir penerimaan adalah pada Jumaat 15hb. Mei 2009.

Monday, May 4, 2009

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Gopeng.

PAS Kawasan Gopeng menggadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-21 pada hari Ahad 3hb. Mei 2009 di Markas Tarbiyah Kawasan jam 9:00 pagi.
Yang DiPertua PAS Kawasan Batu Gajah Tuan Hj. Ismail, Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng Tuan Hj. Abd Rahim, Adun Titi Serong YB Ust. Khalil Idham Lim dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng Tuan Hj. Mohamad Azlan.
YB Ust. Khalil sedang menyampaikan ucapan perasmian,
Para perwakilan cawangan.
Anugerah dari Lajnah Penerangan kepada Cawangan Taman Seri Rapat kerana jumlah kehadiran ahli dari cawangan berkenaan ke program anjuran kawasan.
Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng, Tuan Hj. Abd Rahim sedang meyampaikan cenderehati kepada Perasmi Mesyuarat Agung YB Ust. Khalil Idham Lim.
Pengiraan undi dilakukan oleh Unit Amal.
Proses pengiraan undi masih berjalan.
Anggota Unit Amal yang makan lewat terpaksa menjadi 'vegetarian' kerana kehabisan lauk......
Tiga orang pimpinan tertinggi PAS Kawasan Gopeng sedang berbincang diakhir mesyuarat.