Wednesday, December 24, 2014

TURUN yakin demo tak ganggu program selawat



 

Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yakin rancangan mereka untuk berhimpun semasa sambutan malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka tidak akan mengganggu satu majlis berselawat yang bakal dianjurkan di lokasi yang sama.
 
Pengerusi TURUN, Azan Safar berkata, perhimpunan bagi menuntut kerajaan menurunkan harga bahan api itu tidak akan mengganggu program Malam Cinta Rasul yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 
"(Kita akan) teruskan di Dataran Merdeka. Dataran bukan hak milik DBKL. Dataran adalah untuk rakyat Malaysia.
 
"Kita tak rampas mikrofon orang berselawat. Itu yang penting,” kata Azan yang bertegas dengan rancangan asalnya untuk menghimpunkan 10,000 orang peserta pada malam itu untuk menuntut harga minyak diturunkan.
 
Beliau menganggap perhimpunan bersama NGO dan parti Pakatan Rakyat itu juga satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah.
 
"Sebahagian daripada rakyat menzahirkan rasa cintanya kepada rasul dengan memperjuangkan keadilan dan melawan kezaliman," kata Azan lagi dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini semalam.
 
Program Malam Cinta Rasul turut dianjurkan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan menampilkan pendakwah popular Indonesia, antaranya Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin.
 
Program tersebut dijangka berakhir kira-kira pukul 11.45 malam bagi membolehkan orang ramai menanti detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baru.
 
Perhimpunan TURUN pula bagi menuntut harga minyak RON 95 diturunkan ke tahap RM1.90 seliter berbanding RM2.26 sen sekarang.
 
TURUN sebelum ini turut menafikan sekeras-kerasnya mengedarkan risalah promosi yang memperkecil majlis selawat terhadap Nabi Muhammad, yang beredar di Internet 
 
Kumpulan itu menyifatkan penyebaran risalah seperti itu sebagai tindakan terdesak pihak yang sudah mula tergugat dengan reaksi masyarakat ke atas tuntutan mereka.
 
Ia bakal menjadi perhimpunan kedua selepas pertama kali diadakan pada malam sambutan ambang tahun baru, 31 Disember tahun lalu.

No comments: