Friday, December 26, 2014

Perdana Menteri bersenang-lenang bercuti di Hawaii di saat rakyat ditimpa musibah.....

Cuti kakitangan awam yang terlibat dengan banjir dibekukan....tetapi cuti PM ke Hawaii diluluskan....Rakyat didahulukan.....


Laporan The Washington Post mengenai Datuk Seri Najib Razak bermain golf di Hawaii bersama Presiden Barack Obama (yang sedang menikmati hari kelima daripada percutian dua minggunya) pada ambang hari Krismas telah melahirkan rasa terkejut ramai pihak, bukan kerana beliau sedang bercuti di Oahu, Hawaii, tetapi kerana Najib cuba untuk menyembunyikan percutian ke luar negaranya itu daripada pengetahuan rakyat Malaysia.






Kejutan ini ditambah pula dengan percutian rahsia Najib ini berlaku ketika negara sedang berhadapan bencana banjir paling teruk sejak tahun 1971, dengan lebih 91,000 mangsa terjejas di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan sedang bermula di Kedah; dan situasi dijangka kian memburuk dan mungkin melanda Johor dengan sangat teruk pada hari-hari terakhir tahun ini.



Sebagai respon kepada kritikan menggunung bahawa Najib sekali lagi menjadi PM Ponteng di saat rakyat Malaysia berhadapan bencana alam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberi jawapan yang menjengkelkan dengan berkata, “Saya ada, jangan risau. Percayalah pada saya.”



Rakyat Malaysia patut risau bahawa Muhyiddin tidak mampu menangani tugas mengendalikan banjir terburuk negara sejak 1971 dengan kedegilannya untuk tidak mengisytiharkan darurat supaya semua sumber-sumber Kerajaan Persekutuan ditumpukan untuk menangani kerosakan akibat banjir.





Jelas sekali, Najib langsung tidak yakin dengan Muhyiddin, yang dapat dilihat daripada blognya yang terbaru apabila perdana menteri berkata bahawa beliau telah berhubung dengan timbalannya dan meminta beliau supaya mempertingkatkan bantuan kepada mangsa banjir.



Namun kenyataan di blog Najib bahawa “Kami akan lakukan apa sahaja untuk membantu mangsa banjir” adalah tidak meyakinkan, apabila beliau sendiri tidak bersedia untuk memendekkan percutiannya dan segera pulang ke tanah air untuk mengendalikan secara peribadi usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam bencana banjir terburuk sejak 1971.



Pendirian Najib nampaknya berbunyi “Kami akan lakukan apa sahaja untuk membantu mangsa banjir, kecuali memendekkan percutian saya di Hawaii dan pulang segera ke tanah air.”



Rakyat Malaysia berhak mempersoal kenapa seolah-olah tidak wujud Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, kenapa bukan sahaja perdana menteri bercuti senyap-senyap di Hawaii, tetapi tiada seorang pun menteri Umno melawat kawasan paling teruk dilanda banjir di Kelantan bagi menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan peduli tentang banjir paling teruk sejak 1971?



Bukannya kerajaan persekutuan terkejut pun dengan banjir terburuk sejak 1971 ini memandangkan pihak berkuasa telah pun memberi amaran kepada penduduk Pantai Timur untuk berjaga-jaga bagi berhadapan banjir terburuk dalam sejarah akibat daripada kombinasi air pasang besar dan juga angin kencang.



Jika penduduk di kawasan pesisir pantai dan muara sungai telah diberi amaran untuk mempersiapkan diri bagi situasi evakuasi segera, ke mana menteri Umno menghilang, terutamanya menteri yang bertanggungjawab ke atas bencana alam?



Najib tidak patut berlengah lagi dan mengisytiharkan darurat akibat banjir dan memendekkan percutiannya di Hawaii itu dan segera pulang menguruskan operasi Kerajaan Persekutuan bagi menangani bencana alam ini.

No comments: