Friday, December 26, 2014

Himpunan tuntut harga minyak petrol turun ditangguhkan....


Jawatankuasa penganjur Himpunan Tuntut Harga Minyak memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan itu kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak ekoran bencana banjir yang sedang melanda negara.

"Bagaimanapun, kami menagih janji yang telah dibuat oleh timbalan menteri kewangan yang menyebut bahawa harga minyak akan turun di bawah RM2.00 pada 1 Januari 2015.

"Sekiranya harga RON95 tidak diturunkan, kami tidak teragak-agak untuk melancarkan bantahan besar-besaran nanti," kata pengerusi TURUN, Azan Safar dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa penganjur sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka pada ambang Tahun Baru.

Azan juga menuntut supaya semua sambutan ambang tahun baru dibatalkan sebagai tanda solidariti kepada mangsa banjir.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program sambutan Ambang Tahun Baru 2015 di Putrajaya pada 31 Disember dibatalkan sebagai tanda simpati terhadap mereka yang terjejas banjir.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, program selawat yang akan diadakan di Masjid Putrajaya dan di Jalan Raja, akan diteruskan sebagaimana dirancang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga meminta penganjur perhimpunan itu supaya membantu mangsa banjir, daripada mengadakan protes tersebut.

"Saya fikir mereka boleh turun padang dan membantu rakyat yang menderita. Itu lebih produktif dan berfaedah," Muhyiddin dilaporkan berkata.

Dalam kenyataannya hari ini, Azan berkata bencana banjir harus diinsafi semua pihak.

"kita semua harus lebih sensitif dengan nasib yang menimpa semua mangsa banjir.

"Perdana menteri dan seluruh anggota kabinet perlu turun padang bagi memastikan kebajikan seluruh mangsa banjir terbela," katanya.

Sehubungan itu, kata Azan, pihaknya menyeru semua pihak supaya menghentikan sentimen politik kepartian dan juga polemik politik yang tidak berkesudahan tatkala negara dilanda musibah.

"Kami peringkat NGO/aktivis/ parti politik yang terlibat di dalam penganjuran himpunan ini sudah pun menggerakkan operasi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

"Kami juga menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam menghadapi krisis banjir hari ini," tambahnya.

No comments: