KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi
persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan demikian dalam satu kenyataan media, hari ini, seperti di bawah.
Sepertimana semua pihak sedia maklum
bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan
khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga
pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat
dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara
(PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat
memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh
semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan
murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti
dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan
bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi
persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan
penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi
negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015
(Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari
2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira :
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid
yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa
untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih,
maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut
untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing
bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat,
selesa dan sempurna.
No comments:
Post a Comment