Tuesday, December 23, 2014

Minta kerajaan bantah notis merah Dr Yusuf Qaradawi





ALOR SETAR - Pas membantah tindakan polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, arahan itu hanya bersandarkan atas sifat dendam sesetengah pihak sekali gus menyemarakkan lagi Islamaphobia.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengambil sikap proaktif untuk membantah arahan itu yang dianggap tidak adil kerana memihak kepada sebelah pihak sahaja termasuk Mesir.

“Tindakan Interpol ini seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut dan terlibat aktiviti keganasan.

“Kita kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam diri dalam hal ini sedangkan beliau bukan tokoh yang asing di negara ini dan penah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah.

“Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang menjadi mangsa penganiayaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu menyatakan pendirian dalam perkara itu kerana Yusuf adalah ulama dunia.

“Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan satu notis merah dikeluarkan terhadap Yusuf yang merupakan ilmuan dan ulama tersohor yang mempunyai rekod kesarjanaan dan bertindak menolak semua jenis ekstremisme.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata Pas mendesak agar notis itu ditarik segera agar Interpol  kekal sebagai institusi yang bebas.

No comments: