IPOH, 4 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat lebih bersifat terbuka dan mahu memberikan hak kepada usahawan yang berhak dan yang berkelayakan.
Tegasnya, berbanding dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional, yang hanya mementingkan kroni- kroni sahaja dalam memberikan sesuatu projek.
"Amalan kronisme yang dilakukan oleh pimpinan BN akhirnya menyebabkan rakyat merasa jelik dengan pemerintahan BN, kerana itu Kerajaan Pakatan Rakyat perlu menjauhi amalan kronisme kerana ia akan mendatangkan kemarahan di kalangan rakyat.
"Orang yang paling pandai dan cerdik di satu masa dulu, disanjung dan dipuji di serata dunia akhirnya tersingkir hasil dari kronisme dan amalan menggunakan 'kabel'," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam dan Dialog Antara Usahawan PAS bersama Menteri Besar Perak, yang dianjurkan oleh Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Perak diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, baru baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Negeri Perak, Othman Meseri berkata, majlis tersebut diadakan, bertujuan mengeratkan ukhwah di antara para usahawan PAS Negeri Perak, dan dalam masa yang sama juga mahu menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan Menteri Besar Perak.
Menurut beliau, program itu juga bertujuan meningkatkan semangat dan motivasi di kalangan para usahawan PAS dengan kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, kerana tanpa motivasi para usahawan seolah-olahnya tidak berdaya maju.
Oleh kerana itu katanya, sebarang bentuk program semestinya menjuruskan untuk meningkatkan semangat dan motivasi di kalangan usahawan supaya lebih bekerja keras lagi dan bersedia berkorban untuk jemaah. - mr _
No comments:
Post a Comment