Saturday, June 7, 2008

Berikan Mereka Pancing - MP Bukit Gantang


TAIPING 4 Jun (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum mencadangkan kepada Baitulmal Negeri Perak memikirkan cara terbaik untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar kaedah itu nanti membolehkan mereka boleh menjadi antara penyumbang zakat.

Beliau mengambil contoh apa yang dilakukan di daerah Manjong, terdapat penerima zakat, diberikan bantuan bot dan pukat, bagi membolehkan mereka berdikari untuk mencari rezeki dan tidak lagi mengharapkan bantuan dari Baitulmal sahaja.

Beliau berkata demikian, di majlis penyampaian bantuan Baitulmal sempena Kembara Zakat 2008, di Pekan Taiping dalam siri menjelajah ke seluruh Perak untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan membayar zakat.

Majlis penyampaian bantuan diadakan di Pejabat Baitulmal Taiping.

"Berikan mereka pancing bagi membolehkan mereka memancing untuk mendapatkan ikan, jika kita beri ikan, lepas ikan itu habis, mereka minta ikan lagi, tetapi bila kita beri pancing, mereka tidak akan minta ikan lagi," ujarnya.

Roslan turut memberi nasihat kepada penerima bantuan dan berharap penerima-penerima bantuan dapat membina kehidupaan yang lebih baik dan maju dengan syarat mereka perlu mempunyai impian untuk memajukan diri dan keluarga agar mendapat kejayaan dalam kehidupan dan seterusnya menjadi penyumbang atau pembayar zakat.
Beliau mengingatkan, ketetapan dari Allah masih lagi boleh diubah dengan berdoa,kerana yang menentukan segala-galanya hanya Allah kerana itu manusia sebagai hamba Allah perlu berdoa dan meneruskan berusaha,bukannya takdir dijadikan alasan untuk tidak mencuba memperbaiki diri atau memaju diri dalam kehidupaan.
"Minda kita mesti jauh ke hadapan" katanya .
"Selama 50 tahun lalu, pemerintah sebelum ini membiarkan kemiskinan berterusan di kalangan rakyat supaya pemerintahan dengan mudah mempengaruhi golongan yang hidup susah agar mereka terus memberi undi kepada BN," katanya.
Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru memerintah negeri ini tidak bersikap seperti itu, sebaliknya akan terus berusaha membantu mereka. - mr_

No comments: