"Jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila wartawan bertanyakan pandangannya berhubungan muzakarah PAS dengan Umno.
"Tergamak Nik Aziz berkata begitu!" mungkin itu luahan spontan orang Umno terhadap kenyataan Mursyidul Am tersebut. Apakah Nik Abdul Aziz tidak melihat masjid, bank Islam dan amal makruf yang dijalankan kerajaan Umno?
Sekiranya dilihat sepintas lalu memang ada kebenaran juga hujah Umno tetapi Nik Abdul Aziz bukan orang baru dalam politik. Semasa PAS bersama Perikatan, beliau sudah bergelomang dalam siasah dan sudah masak dengan politik Umno.
Peristiwa yang paling besar dan sukar dilupakan dilakukan pemimpin Umno ialah menghantar surat menghalang Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.
Surat tersebut ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun dengan kuasa yang ada di Kelantan, Nik Abdul Aziz masih mampu melaksanakan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) yang gagal dibuat oleh pemerintah Umno.
Walaupun banyak perkara kebaikan yang dilakukan Nik Abdul Aziz tetapi kerana tidak ada kuasa pencegahan iaitu peraturan yang menghalang berlaku kecurian dan rompakan maka kerugian besar dialami oleh rakyat Kelantan apabila kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn dimasuki pencuri yang menyebabkan kehilangan barang emas bernilai jutaan ringgit.
Kerajaan Kelantan sedia membayar ganti rugi kepada penyimpan dengan nilai bersamaan emas yang disimpan. Kepada mereka yang menyukai bentuk antik barangan emas mereka sudah tentu kehampaan tetapi inilah hakikat yang patut diterima apabila peraturan Islam tidak dapat dilaksanakan.
Pemerintah Umno juga gagal mengharamkan judi dan penjualan arak secara berleluasa. Umno juga meneruskan muamalat riba. Keuntungan yang diperolehi daripada sumber haram itu menyebabkan Umno sanggup menghalalkan yang haram.
Perbuatan pemerintah Umno tersebut akhirnya memberi kesan besar ke atas umat Islam. Walaupun masih ramai yang mempercayai perkara itu haram tetapi mereka memandang mudah malah tanpa sedar berlaku amalan haram yang sebati dalam kehidupan mereka.
Tidak dinafikan Umno meningkatkan syiar Islam dengan pembinaan masjid tetapi Umno tidak ikhlas dalam mengimarahkan rumah Allah itu.
Kata Nik Abdul Aziz, ketika beliau hendak datang ke Perak, beliau diminta menyampaikan khutbah di masjid negeri itu. Namun apabila beliau sampai di Perak, diberitahu pula beliau tidak boleh berkhutbah.
"Saya hendak tanya siapa yang tidak berikan kalau tidak Umno yang sejak dari dahulu lagi tidak mahu orang ramai mendengar ceramah agama. Jadi buat apa kita hendak berunding juga dengan mereka yang tidak mahu membenarkan orang ramai mendengar ceramah agama," ujarnya.
Jadi alasan Nik Abdul Aziz bahawa jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS memang sangat sesuai dan kenyataan yang patut menjadi iktibar kepada Umno kerana mereka sebenarnya tidak ikhlas dengan Islam.
Bagaimanapun dalam PAS terdapat dua aliran sama ada pendapat mengatakan tidak bersetuju dengan muzakarah dan yang bersetuju.
Namun begitu kedua pendapat tersebut bukan merupakan satu percanggahan apabila Mursyidul Am PAS, berkata muzakarah boleh dilakukan sekiranya Umno sedia menerima Islam.
Pendapat Nik Abdul Aziz itu tidak bertentangan dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin yang lain, malah mereka sealiran demi kepentingan Islam, masa depan negara serta dominasi Ahli Parlimen Islam dalam kerajaan.
Mursyidul Am, berkata PAS akan memberitahu pemimpin parti Umno mengapa menerima Islam separuh, terima kufur separuh.
"Saya nak jumpa supaya Umno tidak terus menerima Islam separuh sahaja kerana jika Umno tidak ada, Islam menjadi lebih baik di bawah PAS.
"Kerana muzakarah bukan hendak membincangkan mengenai kerusi atau kementerian tetapi bagaimana hendak berdepan Allah di hari akhirat kelak," katanya.
Ternyata kedua pemimpin besar PAS begitu ikhlas dengan Islam dan orang Melayu tetapi orang Melayu tidak memahami kerana pemikiran mereka dijajah oleh Umno yang terlalu gila kuasa, pangkat dan harta kekayaan.
Malah penjajahan Umno terhadap pemikiran orang Melayu itu melalui media massa dan kuasa kerajaan memutar belitkan fakta dan propaganda memburukan PAS.
Walaupun begitu, betapa jahatnya Umno lakukan terhadap PAS tetapi PAS tetap tidak berdendam dengan Umno. Dalam hal ini PAS mempunyai pendirian yang konsisten.
Umpamanya dalam masalah Iraq, sikap PAS mengecam kekejaman Presiden Iraq, Saddam Hussein terhadap rakyatnya.
PAS melahirkan pemusuhan dengan Saddam kerana pembunuhan ke atas rakyat yang tidak berdosa malah Saddam tidak bersedia melaksanakan undang-undang Islam.
Sebaliknya pemusuhan PAS boleh berubah malah bersimpati dengan Saddam apabila beliau diserang oleh Amerika Syarikat pada 2003. PAS menyifatkan kekejaman tidak boleh dibalas dengan kekejaman.
Walaupun Saddam kejam tetapi tindakan Amerika itu lebih kejam. Amerika tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman Iraq. Biarkan rakyat Iraq sendiri bertindak terhadap pemimpin mereka dan menentukan hala tuju politik negara itu.
Begitu juga PAS mengecam Umno kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), rasuah, menaikkan harga minyak dan lain-lain tetapi PAS tidak dapat menerima orang bukan Islam mendominasi politik pemerintah negara.
Ia bukan berkauman tetapi keutamaan kepada kepentingan Islam serta melihat peristiwa dan sejarah lalu yang berlaku dalam negara. Dalam keadaan sekarang pun orang bukan Islam sudah berani menginjak dan mempertikaikan Islam apa lagi apabila mereka menguasai negara.
Bagaimanapun sekiranya Umno masih berniat jahat dengan Islam tetapi Allah SWT lebih mengetahui tipu daya mereka. Mungkin sudah masanya Umno akan pupus kerana tidak mustahil sekiranya Ahli Parlimen Umno pun turut berbondong-bondong menyertai PAS atau KeAdilan pada 16 September ini. - mns_
No comments:
Post a Comment