KUALA TERENGGANU, 14 Ogos: “Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal.” Begitulah komen bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu pemimpin Umno pelawa PAS sertai Barisan Nasional (BN).
Baginya, apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu.
“Ini ternyata kepada semua dunia bahawa Barisan Nasional kalah dalam tahun 2008. Pemimpinnya masih berkata: Oh, kami menang. Tengok lapan kerusi lagi dapat dua pertiga.
“Sebab itulah jumpa dengan PAS, kot-kot nak dapat PAS masuk sama. Jadi dia dapat cukup kerusi untuk dua pertiga. Jadi PAS pun teringin jugaklah kalau ditawar jadi Timbalan Perdana Menteri nombor dua,” ujarnya sinis.
Ahli Umno bernombor 0001 yang telah keluar parti itu berkata demikian pada majlis forum ‘Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu’ anjuran Badan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sebuah resort di sini, Sabtu lalu.
Katanya, pada anggapan pemimpin Umno, apabila PAS menyertai BN, maka mereka akan mendapat dua pertiga kerusi dalam Dewan Rakyat.
“Jadi kuat baliklah. Tetapi malangnya, ada kemungkinan PAS masuk, orang lain keluar. Jadi, jumlahnya tak dapat jugak dua pertiga. Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal,” katanya lagi.
Baginya, kalau ada pakatan yang semacam itu, kononnya untuk perkara tertentu, beliau fikir rakan-rakan Umno dalam BN tidak akan merasa senang hati dan sekali lagi Umno perlu melayan rakan-rakannya itu.
Sekarang inipun, tambahnya sudah layan tetapi Umno perlu melayan lebih lagi rakan-rakannya dan akan terus lemah walaupun bergabung dengan PAS.
Katanya, walaupun Umno mendapat 79 kerusi dan dicampur yang rakan-rakan lain di dalam BN sehingga dapat mendirikan kerajaan Pusat tetapi dari segi kekuatan mereka masih kalah kerana mereka sudah tidak berani untuk bercakap apa-apa terutama untuk mempertahankan dasar-dasar bagi melindungi orang Melayu.
No comments:
Post a Comment