IPOH, 14 Mei (Hrkh) - Sempena kempen zakat di seluruh negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak akan menganjurkan program 'Kembara Zakat 2008' selama tiga hari bermula 27 Mei ini.
Demikian dinyatakan oleh Pegawai Baitulmal Daerah Ipoh, Jaziman Zakaria, dalam satu kenyataan kepada Harakah.
Program tersebut yang bermula pada petang 27 Mei itu akan singgah di Taiping untuk mengadakan program ziarah fakir miskin di tiga kampung, Kampung Sungai Rotan, Kampung Temelok dan Kampung Batu 9 Trong.
Pada jam 8.00 malam akan diadakan diskusi zakat di mana dua tokoh terkemuka di negeri ini akan menyertai program itu, iaitu Dato Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz dan Ustaz Zamri Hashim dari Jabatan Mufti Perak.
Pada hari kedua, jam 8.00 pagi, dua kumpulan dari Maip akan mengedarkan risalah zakat di Taiping dan Kamunting. Selepas itu satu majlis penyampaian bantuan bulanan akan diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Jana oleh Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Dato' Dr. Isa Dato' Seri Haji Wan Ahmad Isa.
Selepas itu rombongan dari Maip akan bertolak pula ke Selama dan akan mengadakan projek gotong royong membersih rumah fakir miskin di Pondok Tanjung.
Pada sebelah tengah hari pula rombongan akan singgah di Pondok Darul Ta'lim dan akan mengadakan majlis penyampaian bantuan dan sumbangan.
Jam 4.00 petang rombongan tersebut akan sekali lagi mengedarkan risalah zakat di Pekan Bagan Serai. Selepas itu akan diadakan pula majlis pecah tanah, bantuan bina rumah untuk golongan fakir miskin di Ban Pisang, Tebuk Pancur dalam kawasan Bagan Serai.
Pada sebelah malamnya, jam 8.00 malam satu ceramah zakat turut diadakan di Surau Taman Kerian, Parit Buntar. Ceramah tersebut yang bertajuk 'Harta Terpelihara, Asnaf Terbela' akan disampaikan oleh Ustaz Shamsuri Haji Ahmad.
Pada hari ketiga program tersebut bermula jam 8.00 pagi rombongan berkenaan sekali lagi akan mengedarkan risalah zakat di Pekan Lama Parit Buntar dan Pusat Bandar Parit Buntar.
Acara perasmian penutupan Kembara Zakat 2008 akan disemprnakan oleh Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah. - mns
No comments:
Post a Comment