Wednesday, May 28, 2008

Perak FM masih enggan benarkan MB ke udara di radio


SRI ISKANDAR, 27 Mei (Hrkh) - Perak FM sehingga kini masih tidak memberi peluang kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin untuk ke udara di radio walaupun Menteri Besar Perak itu sebelum ini telah memohon kepada Kementerian Penerangan agar diberikan ruang untuk ke udara di Perak FM.

Tindakan Perak FM tersebut mendukacitakan dan mengecewakan Menteri Besar Perak kerana permintaan tersebut tidak dilayan sehingga kini sedangkan beliau adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

"Saya hendak bercakap selama setengah jam pun cukup bagi membolehkan saya menyampaikan maklumat kepada rakyat Perak, tetapi sehingga kini tidak dibenarkan." katanya.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata demikian dalam ucapannya di majlis Program Bersama Rakyat Sempena Lawatan Kerja Ke Daerah Perak Tengah di perkarangan pejabat Majlis Daerah Perak Tengah di sini semalam.

Menurut beliau, sikap 'membisu' dan tidak memberikan maklum balas terhadap permohonan beliau itu menunjukkan seolah olah Perak FM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak mengiktiraf kerajaan negeri yang ada sekarang sedangkan Kerajaan Pakatan Rakyat telah diberikan mandat mentadbir negeri ini.

"Kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang sah, yang telah dipilih oleh rakyat dan Sultan Perak telahpun berkenan kami memerintah negeri ini," ujar beliau.

Beliau cukup kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh Perak FM, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melayannya dengan baik sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri di Putrajaya baru baru ini.

"Saya memang berhasrat sangat untuk ke udara di radio bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat Perak, tetapi malangnya hasrat saya tidak kesampaian sehingga kini kerana 'dihalang'," jelasnya.

Beliau berharap RTM bersifat terbuka dan profesional dan menghormati keputusan yang dibuat rakyat negeri ini pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini, seterusnya membenarkan beliau ke udara di radio bagi menyampaikan maklumat kepada seluruh rakyat di negeri ini. - mns

No comments: