Saturday, May 24, 2008

Kunjungan MB beri harapan baru kepada peniaga Medan Kidd

IPOH, 21 Mei (Hrkh) - Kunjungan singkat Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ke Medan Kidd semalam memberikan satu harapan baru kepada peniaga di situ, sekali gus memberi harapan kepada mereka sesuatu dapat dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu memajukan perniagaan mereka.

Ini kerana sebelum ini peniaga di situ telah berkali kali meminta Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka tetapi permintaan itu tidak diendahkan dan mantan Menteri Besar itu tidak pun turun mengadakan lawatan di kawasan itu.

Rata-rata peniaga di Medan Kidd melahirkan rasa gembira dengan kunjungan Menteri Besar itu yang turut bertanya kepada peniaga mengenai masalah yang dihadapi mereka.

Ir Mohammad Nizar Jamaludin dalam sidang akhbarnya menyatakan Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh peniaga di situ yang mengalami kemerosotan pendapatan selama lebih tiga setengah tahun.

"Kita akan cuba membantu perniaga di sini dan mencari jalan bagi menolong mereka, kita akan pastikan peniaga di Medan Gopeng dan Medan Kidd sama-sama dapat berniaga dan memperolehi pendapatan yang lebih," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya akan menerima beberapa saranan daripada Jawatankuasa Bertindak Stesyen Bas Medan Kidd dan akan meneliti saranan tersebut.

"Setelah kita menerima memorandam tersebut, ia akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa Exco bagi membuat keputusan," jelasnya.
Beliau memberi jaminan, sekiranya terdapat elemen ketidakadilan yang berlaku sebelum ini sehingga membawa kepada keadaan yang tidak selesa kepada peniaga di Medan Kidd, Kerajaan Negeri akan memperbetulkannya bagi membolehkan perniagaan di situ berjalan dengan baik.

"Saya faham peniaga di sini tertekan kerana perniagaan mereka merosot akibat pengunjung yang kurang, kerana itu kita akan meneliti jika boleh sebahagian bas dapat beroperasi di sini dan kaunter tiket bas dapat beroperasi semula.

"Ini memerlukan kajian dan perbincangan dengan Lembaga Perlesenan dan Perdagangan (LPKP) bagi membolehkan tiket bas dapat dijual di sini, sekali gus dapat merancakkan semula perniagaan di Medan Kidd," tambah beliau.

Turut diberi perhatian temasuklah kemudahan tempat letak kereta, surau dan tandas bagi membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan awam apabila perkhimatan bas diadakan semula di sini.

Beliau akan meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh perniaga di Medan Kidd.

Beliau meminta para peniaga bersabar dan memberi sedikit masa kepada Kerajaan Negeri kerana Kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja berkuasa. - mns

No comments: