Friday, May 9, 2008

Pemuda PAS Ipoh Timur serah memorandum kepada Pengarah JAIP.



KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh)
- Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Jamry Sury dituntut supaya bekerja secara profesional, di samping mengetepikan sentimen peribadi atau ideologi politik sempit kepartian.

Tuntutan itu disuarakan Pemuda PAS Ipoh Timur dalam memorandum yang diserahkan kepada Jamry melalui Timbalan Pengarah Jaip, Mohd Yusop Husin, semalam.

Serahan memorandum itu diketuai Ketua Pemudanya, Salman Saleh; Timbalan Ketua Pemuda, Shamsul Effendey Abdul Rahim; Ketua Penerangan Pemuda, Safarizal Saleh; Exco Pemuda, Ruzaimi Zakaria, dan Shafuad Saleh.

Memorandum tersebut turut mempersoalkan tindakan Jamry yang dilihat tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Sepatutnya Dato' selaku Pengarah JAIP bekerja secara profesional dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang telah dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, dan seharusnya menerima keputusan rakyat yang telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah bagi menggantikan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu," jelas Salman melalui memorandum tersebut.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Ipoh Timur turut menyarankan agar Jamry tidak mempolitikkan jawatan dan urusan kerja yang telah diberikan, sekali gus mengingatkan bahawa amanah dan tanggung jawab ini akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t kelak.

"Dato' sewajarnya meletakkan kepentingan rakyat, khususnya umat Islam di negeri Perak lebih daripada diri sendiri atau pihak tertentu. Sekiranya Dato' masih tidak mampu untuk memberikan kerjasama dan perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, kami dengan ikhlas dan rendah diri meminta supaya Dato' berundur secara terhormat dengan segera," tegas Salman yang mendedahkan bahawa Jamry merupakan ahli Umno.

harakahdaily

No comments: