Thursday, May 15, 2008

Mat Taib: Saya tak campur tangan di Perak

Menteri pembangunan wilayah dan luar bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Perak, apabila melantik semula ketua-ketua kampung yang berhenti berkhidmat di negeri itu.
Sebaliknya, kata beliau, mereka sendiri yang meletakkan jawatan kerana tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan Pakatan Rakyat."Mereka berhenti sendiri dan kementerian tidak suruh mereka letak jawatan sebagai ketua kampung."Tetapi kerana mereka masih mahu berkhidmat, kita ambil dan bayar gaji sebagaimana sebelumnya," katanya dalam pertemuan dengan Malaysiakini, Isnin lalu.
Muhammad yang juga ketua penerangan Umno berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kementerian itu menyerapkan ketua kampung yang berhenti dari kerajaan negeri Perak.

Elaun RM400

Seramai 700 hingga 800 ketua kampung di seluruh Perak diserapkan ke dalam kementerian tersebut apabila mereka enggan berkhidmat dengan kerajaan negeri Perak.Kementerian, tambahnya, membayar elaun sebanyak RM400 sebulan kepada ketua kampung terbabit iaitu sama dengan apa yang mereka dapat sebelum ini.
Muhammad menafikan tindakan tersebut boleh menimbulkan pertindihan tugas dengan ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan negeri."Ada peranan yang boleh di mainkan oleh ketua kampung tersebut untuk masyarakat di tempat mereka," katanya lagi.
Bagaimanapun, kata Muhammad, tidak ada ketua kampung di Selangor yang meletakkan jawatan walaupun pentabiran kerajaan negeri turut diambilalih oleh Pakatan Rakyat.

No comments: