Saya menerima komen berikut dari seorang pengunjung:
Saudara Roslan, Saya mohon penerangan mengenai isu ini. Melihat daripada komen-komen dari PAS, dan dari saudara sendiri, saya dapati apabila seseorang memeluk Islam, ianya seperti one way ticket. Secara practical ramai memeluk islam kerana hendak berkahwin, selepas bercerai mereka ingin kembali kepada ugama asal mereka. Jadi, jika tidak dibenarkan keluar Islam, maka bukankah ini menjadi satu obstacle untuk seseorang itu memeluk Islam. Setahu saya, tidak ada paksaan di dalam Islam. Harap Sdr dapat menolong saya memahami perkara ini.
Fri May 09, 12:23:00 PM MYT
CONFUSE
Terima kasih kepada yang bertanya, saya percaya inilah soalan yang sama yang bersarang di kepala ramai yang bukan Islam (termasuk barangkali beberapa kerat yang Muslim tetapi yang keliru). Islam bukan sekadar satu “religion” lalu boleh sesiapa sahaja keluar masuk mengikut kemahuan. Ia adalah suatu “way of life” suatu pilihan hidup, yang mana bagi sesiapa memilih untuk menerimanya, maka ia pilih dengan rela hati dan faham. Penerimaan tadi tidak kiralah atas apa sebab samada kahwin, ekonomi, politik atau apa sahaja kecuali paksaan, mestilah juga tertakluk kepada penerimaan semua sistem dan peraturan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam al Quran dan Sunnah (dan peraturan Islam yang lain).
Islam adalah suatu sistem bermasyarakat dan bernegara oleh kerana hanya dalam Islam sahaja kita boleh dapati suatu sistem hidup yang komprehensif. Hanya apabila kita membincangkan Islam, akan terkeluar Negara Islam, Undang-undang Islam, Sistem Ekonomi Islam (bank Islam), Sistem Pendidikan Islam (universiti Islam) malahan makan-minum, berpakaian, berhibur, kesihatan, hanya Islam sahaja mengaitkan semua amalan ini dengan peraturan agamanya.
Lantas apabila seseorang itu masuk Islam, maka ia menolak yang lain secara muktamad dan hanya menerima Islam juga secara muktamad.
Saudara memetik surah al Baqarah ayat 256 yang keseluruhan ayatnya bermaksud:
Tidak ada paksaan dalam ugama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Ayat di atas berkaitan dengan ayat seterusnya iaitu ayat 257 yang bermaksud:
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Kesimpulannya yang tidak dipaksa adalah memeluk mana-mana agama termasuk Islam, tetapi apabila seseorang telah Islam dan tiba-tiba ia mahu keluar, maka ia telah menolak sesuatu yang ia pada awalnya terima secara putus, lantas tindakannya itu tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ia suatu penderhakaan besar terhadap Islam. Dalam hal ini Islam akan bertindak merawat akidahnya tadi, diadakan kaunselling, dipujuk dan diberi peluang bertaubat, apa pun dia tidak boleh meninggalkan Islam.
Seorang Muslim yang menerima Islam secara rela hati mengikrarkan penerimaannya itu bukan sekadar ketika bersyahadah dihari pertama Islamnya, tetapi diulang-ulang dalam solat hariannya:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".
162-163 al An’aam
roslansms
No comments:
Post a Comment