BATU GAJAH, 27 Mei (Hrkh) - PAS Kawasan Batu Gajah merasakan kepentingan pendidikan aliran agama Islam dalam melahirkan muslim yang beriman, berakhlak dan berilmu, perlu dipertingkat dan diperkasakan bagi melahirkan pelapis kepada golongan ulama dan kepimpinan Islam.
Peranan tersebut perlu dipikul oleh sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) di negeri, tetapi dalam masa sama sekolah agama rakyat Perak tidak mempunyai satu badan yang khusus untuk memantau urusan pentadbiran, latihan dan kebajikan guru, kewangan dan pembangunan SAR,
Menyedari hakikat itu PAS Kawasan Batu Gajah mendesak Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat menubuhkan Yayasan Islam Perak bertujuan menjaga dan menguruskan keseluruhan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat di Perak secara berpusat.
Ini dapat menjamin kesinambungan SAR di Perak di samping menyusun dan menyelaras satu bentuk sistem dan kurikulum bersapadu untuk pemerkasaan pelajar dengan lebih berkesan.
Usul berkenaan telah diterima oleh seluruh perwakilan yang telah menghadiri Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu Gajah yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu beberapa perwalilan yang ditemui mengharapkan usul tersebut diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri khususnya ke arah menubuhkan Yayasan Islam Perak bagi menjamin sekolah agama rakyat di negeri ini dapat pembelaan sewajarnya terutama dari sudut kewangan dan kelengkapan sekolah. - mns
No comments:
Post a Comment