Sunday, May 11, 2008

Kelab penyokong PAS kaum Cina, India Perak akan lawat Kelantan

IPOH, 7 Mei (Hrkh) - Hasil daripada lawatan 42 orang dari masyarakat Cina di Ipoh ke Kelantan pada bulan September tahun lalu, kali ini Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak akan menghantar rombongan Kelab Penyokong Cina dan India pula ke negeri tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad ketika ditemui di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Menurut beliau, program seumpama itu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Cina dan India kerana mereka dapat melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan terhadap masyarakat Cina dan India di situ.

Berdasarkan kepada maklum balas yang kita terima daripada 42 orang Cina dari Ipoh yang memberikan reaksi yang amat positif, kali ini kita menghantar rombongan empat buah bas dari Kelab Penyokong Kaum Cina dan dua buah bas dari Kelab Penyokong Kaum India ke Kelantan pada bulan Jun ini, katanya.

Rombongan tersebut dijangka mendengar taklimat pembangunan Negeri Kelantan di Pejabat Menteri Besar serta beberapa taklimat bagi mendapatkan perkembangan terkini Kerajaan Negeri Kelantan.

Kemungkinan juga rombongan Kelab Penyokong PAS Kaum Cina akan mengunjungi rumah Menteri Besar Kelantan di Pulau Melaka dan tokong buddha di Tumpat.

"Kita berharap mereka yang akan mengikuti rombongan tersebut telah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di Kelantan akan menceritakannya kepada masyarakat Cina dan India di tempat lain tentang kebaikan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan," ujar beliau.

Sementara itu, memandangkan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri, Haji Zainuddin Mohd Yusof terpaksa melakukan tugas-tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri, maka segala urusan berkaitan dengan lajnah tersebut kini akan diteruskan oleh Khalilul dan beliau boleh dihubungi di talian 019-5713771. - mks.

No comments: