Thursday, February 12, 2015

Pelancaran Pelan Tindakan Strategik PEMADAM Negeri Perak

YB Radzi bin Zainon,  turut menganggotai Jawatankuasa MMK (Pencegahan Jenayah) Negeri Perak dijemput ke Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik PEMADAM Negeri Perak yang berlangsung pada 11 Februari 2015 di Dewan Banquet, Bangunan SUK. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir merangkap Penaung PEMADAM Negeri Perak. Turut hadir Dato' Johari Baharom, Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan dan YB. Dato' Hj. Samsudin Abu Hassan, Pengerusi PEMADAM Negeri Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa MMK (Pencegahan Jenayah) Negeri Perak. Di samping itu, Ketua Polis Negeri, para pegawai kanan kerajaan negeri, semua pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung seluruh Perak turut dijemput hadir di samping Persatuan Pengasih dan para pelajar sekolah. Pelan strategik ini adalah untuk tempoh lima tahun, bermula tahun 2015 hingga 2020 dengan tema " Ke Arah Komuniti Perak Bebas Dadah". 
 

Sebelum terhasilnya Pelan Tindakan Strategik PEMADAM yang komprehensif, inklusif dan holistik ini, ADUN Sg. Rapat juga terlibat aktif dalam memberikan pandangan dan buah fikiran dalam sesi percambahan minda yang telah diadakan selama dua hari berturut-turut pada 1 dan 2 Oktober 2014 yang lalu bertempat di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh bersama-sama 60 peserta yang lain termasuklah AADK, PDRM, JPN, JBS, Pejabat Daerah, NGO, persatuan sukarela serta pemimpin politik dari pihak kerajaan dan pembangkang. Enam bidang fokus yang diberi keutamaan dalam Pelan Tindakan Strategik PEMADAM ini ialah Pelajar Bebas Dadah, Pekerja Bebas Dadah, Keluarga Bebas Dadah, Komuniti Bebas Dadah, Pemutihan Kawasan 'Hotspot' dan Pembanterasan Dadah dan Jenayah pada Peringkat Mukim.














No comments: