Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman mengumumkan hasratnya untuk bertanding di atas tiket Bebas di Dun Perai, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.
Beliau meluahkan hasrat itu, sebaik tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Lepas, jam 8 malam semalam, selepas dibebaskan daripada siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), selama 17 hari.
“Memang dari awal saya berhasrat untuk bertanding Dun Perai disebabkan kawasan itu tiada sebarang kemajuan dan perkembangan sejak lima tahun kebelakangan ini, di bawah kepimpinan kerajaan negeri yang sedia ada. Cuma yang ada dua pusat membeli belah. Tiada peniagaan yang memberangsangkan.
“Sebagai seorang pengundi di Dun yang sama, saya melihat penyandang kerusi Perai, yang juga Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasany gagal menjalankan tugas sebenarnya iaitu menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit,” katanya yang kecewa dengan apa yang berlaku.
“Sudahlah dua kompleks beli-belah di kawasan terbabit tidak mempunyai perniagaan yang memberangsangkan, manakala Dun Perai seperti ketinggalan 10 tahun dari aspek pembangunan dan melihat keadaan yang sedih itu, saya sebagai rakyat berhak untuk bertanding,” katanya.
Muhammad Ridhwan yang ditahan mengikut Sosma, pada 11 April lalu memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan segera.
Muhammad Ridhwan, yang diwakili isterinya, Nur Rina Abdullah, 39, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melalui firma guaman Tetuan Praba & Associates.
Muhammad Ridhwan, yang berusia 50-an, selaku pemohon menamakan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Dalam notis usul itu, Muhammad Ridhwan antara lain memohon perintah bahawa penahanannya oleh responden adalah tidak sah dan terbatal.
Ia adalah susulan 1 April lalu, selepas beliau menyerah diri di Balai Polis Daerah Ampang Jaya selepas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menamakannya sebagai orang yang dicari untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan Op
Daulat.
Ditanya mengenai penahanannya atas isu pencerobohan Lahad Datu, Sabah, Muhammad Ridhwan berkata, beliau tidak bersangkut paut dengan penceroboh yang menyerang Sabah malah sepanjang ditahan, kerjasama yang erat diberikan.
Menurutnya, semua bukti sudah diserahkan kepada polis dan dirinya hanya mempunyai kaitan dengan Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram, anak kandung Sultan Kiram II, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Kerajaan Filipina.
“Semua transaksi yang saya buat bagi membantu rakyat Sultan Muedzul-Lail dibuat secara sah dan semuanya mempunyai bukti yang jelas bagi menafikan saya terbabit dengan pencerobohan,” katanya.
No comments:
Post a Comment