Setiap parti mempunyai
dasar dan agenda masing-masing. Atas prinsip perjuangan posisi dan dasar
inilah yang menjadi nadi untuk setiap parti untuk terus berjalan dan
terus maju.
Apabila wujudnya gabungan politik antara
parti, maka harus wujudlah pula sikap tolak ansur dan
hormat-menghormati antara setiap parti.
Apabila jurang perbezaan yang
diperbesarkan, maka akan mengecillah ruang persamaan. Jika ini
berterusan, muafakat itu akan pasti hancur.
Sebaliknya, apabila kita membesarkan
ruang persamaan, maka akan kecillah jurang perbezaan. Dengan itu,
muafakat itu akan kekal dan subur.
Sikap inilah yang sepatutnya dikekalkan
seandainya Pakatan Rakyat ingin terus kekal. Bukankah PR pernah
bersetuju bahawa persamaan antara 3 parti adalah jauh melebihi perbezaan
antara mereka? Mengapa harus terus bertelingkah atas perkara yang
berbeza tapi mengetepikan perkara yang membawa kita bersama?
Rakyat Malaysia sudah naik muak dengan pertembungan dan saling menyerang antara satu sama lain.
Masalah dalaman mesti dibawa ke meja perundingan dan dasar dan perjuangan setiap parti mesti dihormati.
Andainya ketiga-tiga parti merasakan
jurang perbezaan terlalu besar dan tidak mungkin lagi adanya muafakat
serta sikap saling menghormati, barangkali sudah sampai masanya untuk
memikirkan semula segalanya kerana setiap parti sedar bahawa tiada parti
yang boleh berjaya jika ia bersendirian.
Namun, hakikatnya, semua sayangkan gabungan ini, dan rakyat pernah berharapan besar untuk gabungan politik ini.
Oleh itu, PR perlu memandang ke hadapan
dan melihat musibah besar yang sedang melanda negara dan keperluan
rakyat ini memerlukan perubahan besar kepimpinan politik negara.
Isu rasuah, salah guna kuasa, hutang
negara dan bebanan ekonomi rakyat, isu keselamatan negara dan
penyalahgunaan kuasa kepimpinan BN semua memerlukan tindakan dan
perhatian segera dan khusus. Semua ini medan yang baik bagi membina
persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan
rakyat terhadap PR.
No comments:
Post a Comment