PKR hari ini mempersoalkan adakah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin berada di belakang Mohamad Saiful Bukhari Azlan, selepas isteri pengadu kes liwat II itu mengambil keputusan berhenti daripada TV3.
Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, apa yang dibimbangkan ialah, kes rayuan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin berdepan campur tangan bagi mengelak tekanan pihak tertentu.
"Tiba-tiba Saiful menyatakan isterinya berhenti (kerja) kerana diarahkan membuat liputan menyerang tokoh yang dihormati iaitu Daim dan Dr Mahathir.
"Adakah Daim dan Dr Mahathir di belakang Saiful? Ini juga satu persoalan yang menarik untuk kita minta penjelasan kerajaan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Saiful (gambar) pada minggu lalu mendedahkan isterinya, Nik Suryani Megat Deraman berhenti kerja dari stesen televisyen swasta TV3 kerana tidak berpuas hati selepas diberi arahan membuat liputan ke atas PKR yang menyerang Daim.
Dia mempertikaikan ruang yang diberikan TV3 kepada pemimpin PKR itu untuk menyerang bekas menteri kabinet zaman Dr Mahathir tersebut."Bukan niat untuk persoal mengapa TV3 serang Daim, tapi mahu persoal mengapa beria sangat bagi liputan pada PKR?
"TV3 dah jadi media PKR ke? Tak ada orang sendiri yang berani dedah ke? Hari tu Shamsul Iskandar, sekarang ini Anwar pula?" katanya menerusi blog www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Shamsul Iskandar juga mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pertelingkahannya dengan Daim haruslah tidak meninggalkan sebarang kesan dalam keputusan mahkamah berhubung rayuan kes liwat II kelak.
“Saya ingin ingatkan perdana menteri agar tidak terbawa-bawa dalam kes ini kerana kita bimbang kes Anwar juga dimanfaatkan untuk tujuan perundingan, mungkin dengan Dr Mahathir, kerana takut dengan tekanan, menyebabkan kes ini dicampur tangan.
"Ini juga perkara yang harus dijelaskan perdana menteri. Perkara ini tidak boleh dilihat berlanjutan," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata, kesediaannya bersama Anwar dalam mendedahkan salah laku Daim tidak boleh dianggap membantu jentera kempen yang digerakkan Najib.
Katanya, pendedahan yang mereka lakukan terhadap Daim bermula lebih awal sejak kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada tahun lalu.
“Ketika kita bangkitkan isu ini, tidak ada perang. Kita bawa isu ini secara konsisten. Mungkin persepsi orang menilai begitu.
"Kalau dilihat fokus dan komitmen kita daripada awal, memang tujuan saya dan Anwar membawa Daim ialah supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berani menyiasat beliau.
"Oleh sebab terdapat pergaduhan dan kes ini ditimbulkan, pada saya, itu bonus kepada PKR dan Pakatan Rakyat, apatah lagi Anwar," katanya.
Shamsul Iskandar berkata, publisiti yang diberikan TV3 dalam kes siasatan rasuah Daim tidak akan ditolak kerana ia akan membantu rakyat mendapat lebih maklumat.
Katanya, pergaduhan pemimpin Umno tiada kaitan dengan PKR dan ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Mereka nak bergaduh kita nak buat macam mana? Kita bukan sebahagian daripada pertelingkahan mereka.
“Kebetulan kali ini diberikan sorotan lebih baik. Adakah saya nak tolak? Tentu saya dan Anwar tak menolak kerana itu baik untuk negara ini.” – 29 Januari, 2015.
No comments:
Post a Comment