Saturday, September 27, 2008

Sentuhan Nurani Aidilfitri


Ipoh (27/09/2008) - Ramadhan cuma berbaki beberapa hari saja lagi. Aidilfitri bakal menjelang tiba. Suasana gembira menggamit hati. Semua insan pasti ternanti-nanti hari bahagia.

Namun begitu, masih terdapat lagi umat masa kini yang baginya Aidilfitri disambut sepi. Ketidak-upayaan bagaikan memasung lubuk hati untuk turut bergembira. Tidak upaya dalam persediaan mata pencarian mahupun kesihatan. Hanya bisa duduk menunggu masa berlalu sambil mata memandang ke pintu, mengharapkan sesuatu yang belum tentu.

Tidak pernah terlintas dihati dan juga fikiran, seseorang akan datang memberi salam serta menghulurkan bantuan. Bantuan biarpun tak seberapa dan sedikit, terpancar sinar di mata kerana masih ada yang memandang mereka masih berharga. Kerana selama ini, tiada insan yang mengiyakan kewujudan mereka. Bergembira menyambut lebaran tanpa menghiraukan insan-insan istimewa ini yang juga mengharapkan secebis kebahagiaan menjengah kehidupan mereka walaupun sebentar cuma.

Hari ini sekumpulan dari Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sg Rapat yang diketuai oleh Sdr Radzi Zainon telah membawa segelintir sinar dan sentuhan Aidilfitri kerumah-rumah insan istimewa ini yang telah terlalu lama dipinggirkan.

Berkat usaha ketua-ketua kampung yang mengumpul maklumat dan mengenalpasti penerima-penerima yang benar-benar layak, sumbangan dapat diagihkan dengan jayanya.

Sumbangan ikhlas berupa hamper barangan dan duit raya ini disalurkan ke Pengkalan Gate (6 rumah), Pengkalan Pegoh (40 rumah), Changkat Larang (7 rumah), Sri Rahmat (12 rumah) dan Seri Jaya (5 rumah), Kg Pisang (5 rumah), Ara Payung (5 rumah) dan Sg Terap (5 rumah).

Hamper barangan adalah sumbangan kerajaan negeri dibawah Mentri Besar berisi minyak masak 2kg, Tepung 2kg, Gula 2kg, Kordial Minuman 2 liter, Serunding 2 paket, Sirap Ros dan kuih raya. Manakala sumbangan di Sri Rahmat pula berupa beras 10kg.

Duit raya sebanyak RM50 adalah hasil sumbangan zakat daripada penduduk dan juga ahli-ahli PAS dan juga derma orang ramai.

Rata-rata penerima sumbangan yang terdiri daripada fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan juga anak yatim menampakkan kegembiraan diraut wajah mereka kerana masih ada insan yang membawa sentuhan nurani Aidiltri kedalam kehidupan mereka.

Sudah semestinya Aidilfitri mereka tahun ini lebih meriah daripada tahun-tahun sebelumnya.
Syukuri nikmat Allah dan bersama-samalah menikmatinya.







No comments: