Wednesday, September 10, 2008

Perak beri bonus minimum tambahan


IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memberi bonus minimum RM1,100 hingga RM1,200 kepada kakitangan awam kerajaan negeri Perak berbanding minimum RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tambahan antara RM100 hingga RM200 itu akan diberikan kepada jumlah bonus minimum RM1,000 yang diumumkan dalam Bajet 2009.


"Pemberian bonus ini melibatkan kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini dan ia akan diberikan pada 16 Sept ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.Kakitangan awam akan menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 pada tahun ini dengan pembayaran dua kali iaitu pada bulan ini dan Disember.Dalam perkembangan lain, Nizar berkata beliau akan mengambilalih jawatan presiden Persatuan Bolasepak Perak (PFA) selepas penstrukturan persatuan itu bulan depan.


Katanya, beliau secara rasminya akan menjadi presiden persatuan tersebut pada mesyuarat agung PFA yang akan berlangsung pada pertengahan bulan depan.Beliau berkata antara penstrukturan itu melibatkan kelab-kelab bola sepak negeri, pemain dan jurulatih.Menurutnya kerajaan negeri pada bulan lepas telah meluluskan peruntukan RM300,000 kepada PFA bagi mengatasi masalah kewangannya dan peruntukan tambahan akan dipertimbangkan selepas ini. - BERNAMA

No comments: