Tuesday, March 10, 2015

Tun M hentam 1MDB

1MDB ialah satu dana yang ditubuh oleh Kerajaan sebagai dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) untuk dilabur supaya negara akan dapat hasil dari kekayaannya bagi masa depan.
Biasanya dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang banyak yang tidak dapat habiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangun negara.
Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650 ribu tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negeri. Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara.
Oleh itu Kerajaan terpaksa hutang untuk dana kekayaan ini.
Pada 1 September 2009 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% keatas hutang RM 5 billion. Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Biasanya bon Kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja.
Pada tahun 2014 1MDB berhutang lagi sebanyak US Dolar 1.75 billion (RM 5.6 billion) dengan faedah sebanyak 5.99%.
Tetapi 1MDB cuma dapat US1.554 billion (RM4.973 billion) kerana sebanyak US196 million (RM 630 million) ditolak untuk komisyen, bayaran fees dan perbelanjaan. Ini bermakna kos pinjaman berjumlah 11.25% dari wang yang dipinjam.
Pada Mac 2013, 1MDB Global Investment Ltd telah pinjam USD3.0 billion (RM 9.6 billion) dengan faedah 4.4%. Tetapi 1MDB mendapat hanya USD2.717 billion (RM8.7 billion) kerana USD283 million (RM 906 million) atau 9.44% dipotong untuk membayar komisyen, fees dan perbelanjaan.
Bayaran sebanyak 11.25% dan 9.44% adalah kepada Goldman Sachs, pengurus pinjaman hutang ini.
Sebaliknya sebuah Syarikat Equisar International Incorporated, milik Kerajaan Sarawak membayar Goldman Sachs hanya 1.25% (USD10 million) apabila mengurus pinjaman USD800 million.
Jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa 1MDB memiliki harta bernilai lebih dari RM40 billion sedangkan hutangnya hanya RM38 billion. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang. Tetapi kenapa bayaran kepada Goldman Sachs begitu tinggi?
Sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesyen janakuasa swasta. Ini dilapur dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?
Seorang jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa wang 1MDB diguna untuk Bumiputra. Yang saya tahu satu biasiswa diberi kepada seorang pelajar muzik. Tidak mungkin biasiswa ini bernilai 38 billion Ringgit. Kerajaan sepatutnya memberi maklumat yang jelas kepada rakyat, terutama Bumiputra akan bantuan yang boleh didapati dari 1MDB

No comments: