Friday, March 6, 2015

Najib Oh Najib


Dalam beberapa minggu mutakhir, tekanan semakin memuncak terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak apabila satu demi satu kontroversi - seperti hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ugutan pendedahan Sirul Azhar Umar - menjadi tajuk utama berita.

Dalam senario ini, pemimpin Umno memanggil pula perhimpunan untuk menyatakan sokongan mereka kepada perdana menteri Ahad ini, sementara minggu lepas Najib berada di tengah perhimpunan perpaduan Melayu.

Malaysiakini bercakap dengan beberapa individu untuk melihat sama ada semua yang berlaku itu semata-mata kebetulan atau ada dalang di sebalik perkembangan terbaru itu.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata apa yang berlaku lebih daripada apa yang dilihat.

"Saya tidak fikir ia berlaku secara spontan, ia (serangan itu) kelihatan dirancang dan diselaras dengan baik. Sebab itu beliau (Najib) berasa terancam.

"Banyak perkara kelihatan menghentam perdana menteri dalam satu masa," katannya.

Di Australia, bekas koperal dalam Unit Tindakan Khas (UTK) mengancam untuk menelanjangkan semua yang berlaku di sebalik pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, bekas anggota komando polis itu berkata beliau dijatuhkan hukuman mati, dalang pembunuhan itu masih lagi bebas.


Diminta mengulas perkara ini, naib presiden PKR Rafizi Ramli mengesyaki kepergian Sirul ke Sydney, Australia didalangi pihak tertentu.

"Semua orang tahu Sirul ini cuma lepasan SPM dan mustahil ada pengetahuan tentang tempat untuk lari.

"Australia satu pilihan yang tepat kerana beliau tidak akan diekstradisi. Pastinya, ada pihak di belakangnya," katanya.

Beliau merujuk kepada undang-undang Australia yang melarang pesalah yang berdepan hukuman mati dihantar pulang ke negara asal mereka.

Tambahnya, Sirul juga nampaknya mempunyai sumber untuk mengupah peguam ternama dan ke luar negara walau beliau tidak lagi bekerja selepas dituduh membunuh pada tahun 2006.

Sementara itu, kontroversi sekitar 1MDB juga semakin memanaskan situasi semasa buat Najib.

Terkini, dokumen dalaman syarikat itu dibocorkan apabila emel 1MDB kepada PetroSaudi diterbitkan oleh Sarawak Report.

Laporan itu mendakwa kandungan emel itu menunjukkan PetroSaudi digunakan untuk mengelabui pemindahan dana 1MDB sebanyak RM3.6 bilion kepada syarikat yang dikawal seorang hartawan yang dilihat rapat dengan keluarga Najib.

PetroSaudi dan 1MDB menafikan sebarang salah laku. PetroSaudi malah mendakwa urus niaga itu menguntungkan 1MDB.

Rafizi juga diberikan maklumat tentang sesuatu yang tidak kena dalam pemberian pinjaman kepada 1MDB oleh AmBank tetapi bank ini menafikannya.

Jika kebocoran maklumat ini bukan hanya kebetulan, maka tokoh utama yang disyaki mendalangi hal ini mengarah kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga pernah mengkritik 1MDB sejak beberapa bulan lalu dan malah menyindir perdana menteri atas kelemahan-kelemahannya.

Sebulan sebelum pendedahan Sarawak Report, pengasas dan editornya Clare Rewcastle Brown mewawancara Dr Mahathir. Namun portal itu mendakwa ia sudah menjalankan kajian isu 1MDB sejak dua tahun lalu.

Rewcastle menafikan hal itu kepada Malaysiakini tetapi, tambahnya, tanggapan seumpama itu boleh difahami.

No comments: