Thursday, February 14, 2008

Pilihanraya umum yang mencabar.


KETIKA mengumumkan pembubaran Parlimen pada jam 12.35 tengah hari tadi, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi melafazkan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan mengekalkan kelebihan suara dua pertiga di Parlimen.

Ramalan Perdana Menteri itu mungkin tidak keterlaluan walaupun agak menjurus kepada optimisme.

Untuk mengekalkan kedudukan itu, BN perlu menang 146 daripada 219 kerusi. Dalam PRU 2004, BN menang 199 kerusi berbanding 20 oleh pembangkang – 12 DAP, enam Pas, satu Keadilan dan satu calon bebas.

Seperti saya ramalkan terdahulu, keputusan kali ini mungkin lebih hampir kepada keputusan PRU 1999 apabila BN menang 148 daripada 193 kerusi, Pas 27, DAP 10, Keadilan lima dan PBS tiga.

Dalam PRU 1999, pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno menyebabkan ramai pengundi Melayu berpindah kepada Pas dan Keadilan. BN diselamatkan oleh pengundi Cina dan India. Disebabkan itu, sokongan kepada DAP merosot.

Dalam PRU 2004, euforia mengenai orang baik, orang alim, kerajaan bersih, kerajaan terbuka menggelapkan mata pengundi Melayu menyebabkan Pas dan Keadilan kalah teruk. Tetapi undi Cina dan India balik semula kepada DAP.

Selepas empat tahun, bulan madu telah berubah menjadi bulan gerhana -- gerhana yang menyentuh semua kaum – Melayu dengan masalah ekonomi cukup makan mereka, Cina dengan arus perniagaan yang tidak menentu dan India dengan dakwaan mereka dipinggirkan.

Tidak seperti pada PRU 1999 ketika mana hanya orang Melayu yang tersentuh emosinya, pada PRU kali ini boleh dikatakan semua kaum mempunyai isu dan ketidakpuasan dengan pemerintahan BN.

Bagi pembangkang, jika mereka gagal memperbaiki prestasi mereka, puncanya bukan lagi kekuatan BN atau tipu helah BN seperti yang mereka sering dakwa, tetapi puncanya adalah kelemahan mereka sendiri.

Bagi BN pula, jika ia hilang sokongan, kehilangan itu bukan berpunca daripada kekuatan pembangkang tetapi akibat kelemahannya sendiri -- kelemahan mentadbir negara, kelemahan jentera parti dan kelemahan akhlak para pembesarnya.

Majoriti pengundi, sama ada kerana taat setia membuta tuli kepada parti, kerana tidak mendapat maklumat sebenar atau kerana sogokan, akan terus mengundi BN.

Tetapi pengundi atas pagar dan pengundi muda mungkin lebih bersimpati dengan pembangkang jika mesej, gaya dan gerak-geri pemuka parti-parti pembangkang lebih sederhana, merendahkan diri dan tidak cakap besar.

Harapan mereka menang besar sehingga menumbangkan BN adalah tipis. Tetapi harapan menjadi pembangkang yang kuat dan bertanggungjawab adalah cerah.

Pengundi pula pasti akan bertanya apakah hasil gemilang yang mereka peroleh sejak empat tahun lalu setelah memberi mandat raksasa kepada BN pada tahun 2004?

Tentunya bukan kenaikan harga barang, kenaikan kadar jenayah dan peningkatan persepsi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagi yang lebih bermaklumat pula mereka tentu tahu bahawa negara kini diancam kemerosotan ekonomi akibat krisis pinjaman sub-prime di Amerika. Adakah mampu kerajaan yang dipilih nanti menangani kesan global krisis itu?

Apakah pemerintahan baru nanti dipenuhi pohon-pohon rendang berbunga harum berbuah lebat atau kayu mati, kayu reput, tunggul kayu dan batang kayu yang dimakan anai-anai dan ditumbuhi cendawan beracun?

Jawapan mutakhir di tangan pemilih.

The Scribe A Kadir Jasin

No comments: