Monday, February 18, 2008

Hj. Mohd Sabu mengingatkan BN dan SPR jangan cabar rakyat.


PAS Kawasan Gopeng dengan kerjasama KeAdilan Bahagian Gopeng telah menganjurkan Ceramah Perdana di Pekan Razaki, Ipoh pada malam tadi Ahad 17hb. Februari 2008.

Barisan penceramah terdiri daripada Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng Tuan Hj. Abd Rahim Md Ariff, Naib Presiden KeAdilan Pusat Dr. Lee Boon Chye, Pengarah Strategik Pilihanraya KeAdilan Pusat Sdr. Saifuddin Nasution, Ketua Pemuda PAS Kawasan Gopeng Sdr. Radzi Zainon dan Naib Presiden PAS Pusat Tuan Hj. Mohd Sabu.

Ceramah yang dihadiri oleh kira-kira 4,000 orang itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari para hadirin yang bukan sahaja terdiri daripada ahli dan penyokong Barisan Alternatif, malah termasuk juga dari kalangan ahli-ahli dan penyokong UMNO yang tinggal di sekitar taman perumahan berhampiran.

Dalam ceramahnya, Tuan Hj. Mohd Sabu mengingatkan pemimpin BN dan SPR jangan mencabar rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang berbau ugutan.

Ini kerana dalam pertemuan terbaru diantara jawatankuasa Bersih bersama SPR, pihak SPR memaklumkan para pengundi boleh memilih untuk tidak mencelupkan jari dengan dakwat khas dengan hanya mengisi Borang 13A.

Ini jelas membuktikan bahawa pimpinan sekarang masih ghairah untuk melakukan penjelewengan pada masa hari pengundian.

Tambah beliau lagi Tuan Hj. Asmuni Awi, Pengarah Pilihanraya PAS Perak telah memaklumkan dalam mesyuarat PAS Pusat bahawa Unit IT PAS Perak telah dapat mengesan lebih 13,000 pengundi yang sama mendaftar di dua pusat mengundi.

Ini satu lagi contoh jelas bahawa dalam daftar pemilih terbaru masih lagi terdapat pengundi hantu.

Sehubungan itu beliau mengingatkan para hadirin supaya tidak lagi memberikan undi dalam Pilihanraya Umum Ke-12 yang akan datang kepada kerajaan BN lagi.

Cukuplah sudah mereka memerintah negara ini selama 50 tahun. Beliau memberi contoh negara Jepun yang sering bertukar kerajaan dan Perdana Menteri namun negara mereka tetap maju.

No comments: