Thursday, February 12, 2009

PAS dan orangramai.


Seorang sahabat, ditanya mengenai muktamar PAS sedikit masa lalu berkata 'hiruk pikuk' persidangan seperti dilaporkan oleh media massa, adalah ibarat 'storm in the tea cup' (ribut dalam cawan teh).

Baginya yang penting bukan apa yang 'diributkan' atau 'menjadi ribut' tetapi hasilnya jika diterjemahkan dalam bentuk sokongan orang ramai kepada pergerakan itu.

Sekarang momentum sokongan kepada PAS amat hebat dan ia perlu diterjemahkan pada pilihan raya umum akan datang, atau lebih cepat lagi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi.

Pertukaran barisan kepimpinan pada muktamar akan datang adalah soal dalaman yang membabitkan perwakilan dan ahli, tetapi persepsi orang ramai di luar sana terhadap PAS adalah amat penting bagi menentukan masa depannya.

Bagi media massa (akhbar) pula, 'gembar-gembur' mereka adalah untuk melariskan jualan sedangkan di mata pembaca, belum tentu sokongan kepada PAS akan meningkat akibat hebahan (publisiti) yang diberikan secara besar-besaran.

Sesetengah akhbar mingguan, misalnya, sanggup meluangkan sejumlah muka surat laporan dan wawancara membabitkan tokoh PAS tetapi apakah ini dapat dijadikan sandaran bahawa PAS sudah dapat sokongan hebat massa (orang ramai) di luar sana?

Bagi penulis, pengalaman menganjurkan majlis membabitkan ibu bapa (orang ramai) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru (JIBG) sebuah Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti), mungkin dapat dijadikan iktibar dalam mengukur sokongan orang ramai terhadap salah satu aktiviti PAS dan mungkin kepada PAS sendiri.

Sejak menjadi Pengerusi Pasti itu beberapa tahun lalu, penulis mendapati sokongan orang ramai amat dingin sekali. Pada setiap kali mesyuarat, yang hadir hanyalah seorang dua ibu bapa sebagai ahli JIBG. Dari setahun ke setahun, ia semakin merosot sehingga pada mesyuarat terakhir, yang hadir hanya penulis dan guru-guru Pasti berkenaan.

Banyak alasan mengapa ibu bapa tidak mahu terbabit dalam kegiatan Pasti. Antaranya, mereka mendakwa sebagai kaki tangan kerajaan, 'bayang-bayang' mereka pun tidak boleh 'kelihatan' dalam apa saja kegiatan PAS atau yang berkaitan dengannya. Mereka bimbang ada 'reporter' atau 'spy' yang akan melaporkan kehadirian mereka itu kepada pegawai atasan jabatan masing-masing.

Pernah seseorang memberitahu penulis, seorang guru dikenakan tindakan tatatertib selepas ada orang membuat laporan anak-anaknya berkeliaran di kawasan sekolah tempat dia mengajar dengan berpakaian seragam Pasti (berwarna hijau dengan kopiah putih atau tudung putih bagi perempuan).

Memikirkan bagaimana menarik ibu bapa datang ke premis Pasti, penulis dalam mesyuarat terakhir itu mencadangkan kepada guru-guru Pasti meminta ibu bapa datang sendiri mengambil buku rekod keputusan peperiksaan pertengahan penggal anak-anak masing-masing, sama seperti diamalkan sebahagian besar sekolah-sekolah.

Guru-guru berkenaan kemudian menetapkan suatu hari yang dinamakan 'Hari Ibu Bapa', yang selain daripada bertujuan agar ibu bapa datang mengambil buku rekod anak masing-masing, diaturkan acara lain seperti ceramah motivasi dan pelbagai pertandingan anak-anak Pasti.

Hasilnya sungguh membanggakan. Boleh dikatakan hampir semua ibu bapa kira-kira 100 murid Pasti itu hadir. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh penceramah motivasi untuk menerangkan kelebihan memilih Pasti sebagai institusi pra-sekolah dan kewajipan bersama-sama berjuang dalam pergerakan Islam.

Pada mulanya penulis fikir penceramah itu akan bercakap 15 minit saja tetapi sungguh tidak disangka ia hampir mencecah satu jam! Bagaimanapun penulis lihat ibu bapa tenang saja, membutikan penceramah berjaya menarik minat mereka untuk mengetahui salah satu cabang aktiviti PAS!

Demikianlah pemimpin, ahli dan penyokong PAS perlu memikirkan pendekatan agar PAS dapat diterima di luar sana sebagai sebuah pergerakan yang memperjuangkan masa depan mereka.

Seorang sahabat penulis, yang kini CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebuah firma berkaitan kerajaan, berkata ahli dan penyokong PAS perlu diyakinkan untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat. Tidak cukup cakap-cakap untuk berjaya di akhirat saja kerana siapakah kita untuk menentukan perkara itu sedangkan 'habuan' dunia perlu dibuktikan keberhasilannya.

Bercakap dengan orang kebanyakan akan terpantullah kata-kata - kalau aku sokong PAS, apa akan aku dapat - jelas menunjukkan material sudah dan akan terus menjadi sandaran untuk diberikan sokongan.

Sebagai sebuah pergerakan Islam, tentulah PAS tidak dapat memberi jaminan kebendaan itu. Jika perjuangan nabi-nabi dijadikan rujukan, mereka juga tidak memberi jaminan berkenaan, yang mereka usahakan bersungguh-sungguh, sehingga ada yang terkorban, adalah untuk menegakkan kalimah Tauhid agar manusia selamat di dunia dan akhirat.

Sejak ditubuhkan lebih 50 tahun lalu, 'keberadaan' PAS dalam masyarakat membolehkan usaha dakwah terus disemarakkan, daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Bagaimanapun dalam menggerakkan sokongan sehingga ke tahap PAS mendapat pengaruh dan kuasa politik, tentulah satu anjakan besar diperlukan.

Disebabkan amalan demokrasi menjadi pilihan (di mana sokongan orang ramai diperlukan), adalah penting untuk ahli dan penyokong PAS membuktikan mereka adalah individu yang berjaya dalam bidang masing-masing. Mereka perlu 'mempotret' kejayaan bagi menarik kepercayaan dan minat orang lain.

Seorang sarjana Barat pernah berkata beliau tertarik untuk memeluk Islam selepas menyedari kemurnian agama itu melalui pengkajiannya tetapi selepas mengembara di dunia Islam, beliau mendapati kemurniaan itu tidak terpancar melalui perlakuan sebahagian ummah.

Beliau bersyukur kerana sudah memeluk Islam terlebih dahulu kerana jika dilihat daripada cara hidup sebahagian orang Islam, mereka tidak mengamalkan ajaran Islam (seperti kebersihan, bersopan santun - mengucapkan tahniah, berterima kasih dan beratur) tetapi sebaliknya ia menjadi amalan masyarakat Barat (Eropah).

Demikianlah ahli PAS perlu membuktikan mereka berada beberapa tahap di depan berbanding orang lain sama ada dari segi amalan keduniaan atau pun keakhiratan.

Dengan berada di posisi begitu, moga-moga orang ramai akan tertarik kepada perjuangannya, untuk menghasilkan manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kejayaan di dunia adalah penting sebagai bahan bukti bagi membolehkan orang ramai yakin dengan perjuangannya.

No comments: