Perbahasan penuh YB Radzi bin Zainon dalam Persidangan Kedua Mesyuarat
Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas, Perak Darul Ridzuan
Assalamualaikum wbth. Salam
sejahtera.terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Timbalan Yang Dipertua
kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk membahas titah perasmian yang
telah dizahirkan pada hari semalam oleh Tuanku Yang Amat Mulia Paduka Seri
Sultan Perak Darul Ridzuan. Begitu juga terima kasih kepada pihak kerajaan dan
seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat Pihak Pembangkang dan juga para pegawai
kerajaan yang telah dapat sama-sama memenuhi Dewan yang mulia ini untuk
sama-sama mengikuti persidangan bagi memberikan kebaikan pada rakyat
terutamanya rakyat negeri Perak.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kita bertindak sambil belajar,
Jika terkhilaf harap dimaafkan.
Bagi memulakan perbahasan saya pada hari yang mulia
ini, saya ingin mengambil sebahagian daripada apa yang telah dititahkan oleh Ke
Bawah Duli Tuanku yang menyentuh aspek hubungan antara manusia sebagai makhluk
terbaik yang diciptakan Allah yang juga bertindak sebagai khalifah untuk
memakmurkan muka bumi ini dan hubungannya dengan alam yang telah Allah jadikan
untuk kita sama-sama diami dan menikmati keseluruhan daripada kurniaan Illahi
ini. Benarlah apa yang disebutkan oleh Allah dalam maksud Surah Al-Qamar ayat
54 di mana Allah telah menyatakan, Allah telah menyusun muka bumi ini secara
seimbang dan teratur untuk kebaikan dan kepentingan manusia secara
keseluruhannya. Di mana ayat pini telah membawa maksud “Sesungguhnya Kami menciptakan
sesuatu menurut qada.” Dan begitu jugalah yang disebutkan di dalam
ayat-ayat yang lain di dalam Surah Al-Mulk, Surah Yassin ayat 40 dan Surah Ali
Imran ayat 150 bagaimana dekatnya antara kita sebagai manusia dengan alam yang
dijadikan Allah SWT.
Dato’ Timbalan Yang Dipertua,
Kalau kita melihat ala mini semakin hari semakin
musnah dan saya ingin membaca sedikit petikan daripada model pembangunan yang
berkaitan juga dengan alam kerana muka bumi ini pada asalnya memang dipenuhi
dengan tumbuh-tumbuhan, dengan hutan-hutan, dengan belukar dan sebagainya dan
juga untuk pembangunan, untuk keperluan untuk hidup dan Kami menciptakannya
pula makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki.
Dato’ Timbalan Yang Dipertua
Disebutkan pula dalam soal pembangunan dan hubung
kait dengan alam yang kita mahu kekalkan kelestarian ini. Disebutkan oleh tokoh
ilmuan Ibnu Qaldun, negara yang mendekati masa kehancurannya, saya ulangi
sekali lagi, negara yang mendekati masa kehancurannya ditandai dengan
berkurangnya lapangan pekerjaan, dengan terjadinya krisis ekonomi, rendahnya
akhlak rakyat yang terdapat dalam masyarakat sehingga keruntuhan akhlak
terang-terangan dan berlakunya perbualan, perbuatan tercela bertebaran di
mana-mana. Sementara petunjuk daripada sunnah Nabi SAW yang diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim, “ Bukanlah yang dinamakan kaya itu dengan banyaknya harta atau
banyaknya kemewahan dunia, namun yang namanya kaya adalah hati yang selalu
merasa cukup dengan apa yang diperolehi.” Sebab itu dalam konteks ini
Baginda Tuanku cuba menekankan beberapa konsep yang mengambil kira isyarat
daripada Al-Quran mengenai status manusia sebagai khalifah di muka bumi dan
tujuan manusia dilahirkan dan diamanahkan untuk menguruskan dunia mengikut
kehendak Allah SWT. Secara dasar tassawur pembangunan yang dijadikan asas model
pembangunan untuk mewujudkan sebuah negeri yang baik ataupun sebuah negara yang
baik, yang pertama sekali harus berpaksikan ketauhidan Tuhan iaitu Al-Tauhid
ataupun keesaan Allah. Yang kedua, menterjemahkan pengertian ketaatan Al-Abdiah
atau ketaatan diri beribadah kepada Allah SWT. Yang ketiga, menegaskan status
insane sebagai khalifah iaitu khalifah di muka bumi dan yang keempat,
memelihara amanah untuk mengurus ataupun sumber-sumber alam.
Kemudian, perkara yang berikutnya, di mana menjadi
tujuan, tujuan pembangunan kepada peradaban dan tamadun manusia ini kita
melihat model yang terbaik adalah model pembangunan yang berfalsafahkan yang
ditekankan oleh Al-Quran, Sunnah Rasullullah SAW dan model ini disifatkan model
yang menekankan konsep keseimbangan, pemerataan ataupun kesamarataan dan
kesaksamaan. Keseimbangan pembangunan yang mengutamakan semua bentuk dan tahap
keseimbangan antara rohani dan jasmani, antara pembangunan akal dan mengukuhkan
kepatuhan tentang wahyu Illahi, antara pembangunan fizikal dan keharmonian
alam, antara kehendak semasa dan keperluan generasi masa depan, antara
kepentingan individu dan kepentingan kolektif, antara memajukan bandar dan
mengekalkan desa, antara tradisi yang murni dan perubahan yang terkini dan
kemudahan konsep pemerataan ataupun kesamarataan iaitu pembangunan yang
menekankan pengagihan dan kemudian konsep pemarataan ataupun kesamarataan
manfaat kepada rakyat terbanyak. Tidak membenarkan wujudnya manipulasi
pemasaran sehingga memangsakan rakyat. Sementara ketaksamaan iaitu memberikan
penghargaan kepada peluang meningkatkan kepada kebolehan dan potensi. Potensi
diri merentasi bangsa bertujuan menggilap kemahiran semua rakyat, peluang
dibuka, ruang disediakan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak
mengikut piawaian ekonomi yang tinggi agar tidak terpinggir dan tidak
terlantar. Kalau kita berkehendak kepada negeri yang baik, negara yang baik
ataupun Daullah Toyyibah maka tujuan terakhir adalah untuk kita menghasilkan hasanah di dunia dan hasanah di akhirat. Sebab itu dalam doa
yang dibacakan oleh setiap muslim, kita memohon dan merayu kepada Allah agar
memberikan hasanah kebaikan di dunia dan juga hasanah kebaikan di akhirat.
Soalnya ukuran hasanah yang dimaksudkan adalah diukur bukan dengan indicator
yang dirangka oleh agensi antarabangsa mahupun ukuran nasional semata-mata akan
tetapi ia adalah ikuran yang mengutamakan kesejahteraan insan.
Pertama, menjaga kualiti hidup yang berasaskan
keperluan asas yang asasi yang mencukupi untuk rakyat. Yang kedua, kemudahan
asas disediakan untuk memastikan kehidupan rakyat berjalan dengan lancer.
Ketiga, kemudahan menuntut ilmu disediakan dengan luas dan industri komersial
baru semata-mata tetapi sebagai keperluan asas. Yang keempat, keperluan
perumahan yang telah dibincangkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, tadi yang
mencukupi untuk semua peringkat rakyat. Yang kelima, keperluan asas untuk
mendapat bekalan air bersih serta bekalan tenaga elektrik yang cukup termasuk
di kawasan orang asli yang disebut tadi. Yang keenam, kemudahan sara hidup
untuk hidup berdikari untuk golongan kurang upaya dan rakyat jelata yang tidak
layak bergantung kepada pemerintah semata-mata. Ketujuh, tahap keutuhan dan
kestabilan institusi keluarga dan keselamatan social. Kelapan, tahap kesihatan
mental dan pengurangan hidup stress dalam proses pembangunan negara.
Kesembilan, tahap pangkalan identiti dan budaya dimaksudkan sebagai bukan
peragaan kosmetik untuk pelancongan tetapi budaya yang hidup diamalkan
berasaskan tradisi dan pegangan hidup terutamanya hidup Islami. Kesepuluh,
tahap pembenterasan amalan rasuah dan salah guna kuasa dan yang terakhir, tahap
institusi masjid yang menjadi pusat pembangunan ummah berfungsi secara dinamik
membina masyarakat Khairul Ummah. Inilah model yang ditekankan yang dapat saya
huraikan sebentar tadi.
Dalam hal ini, kita melihat bagaimana persekitaran
yang diingini yang saya sebutkan di awal-awal tadi dan sebentar tadi ia
dicemari dan hari ini di dalam laporan Berita Harian pada muka surat 3
berkaitan isu pembalakan haram. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana
mengambil tindakan hasil kerjasama semua pihak di mana hari ini dilaporkan 600
pekerja Jabatan Hutan ditukarkan di mana siasatan masih diperingkat awal yang
dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Begitu juga yang
berkaitan dengan alam sekitar ini ataupun alam tabii ini, saya mendapat
maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar sendiri di mana walaupun saya telah
mencadangkan agar diwujudkan indeks pencemaran alam sekitar dalam sesi yang
lepas sebagai satu indicator satu tahap pencemaran di mana-mana terutama dalam
negeri Perak tetapi walaupun ianya belum wujud tetapi saya mengharapkan agar
Jabatan Alam Sekitar mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan sesegera yang
mungkin. Ini berdasarkan maklumat yang dibekalkan kepada saya oleh Jabatan Alam
Sekitar berkaitan dengan pencemaran alam yang berlaku dalam negeri Perak
daripada tahun 2005 hingga Oktober 2014. Purata kita lihat hamper setiap tahun
lebih daripada 500 kes telah dicatatkan aduan-aduan berkaitan pencemaran alam.
Dan kita lihat akta yang membentengi daripada pelaku-pelaku yang mencemarkan
ini yang digunakan adalah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atau pun AKAS 1974.
Dan Alhamdulilah banyak di antara agensi-agensi kerajaan yang telah bertindak
dan memberikan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan
kelestarian alam sekitar di mana tempat kita hidup, tempat yang kita huni dapat
kita kekalkan. Insya Allah sehingga bila-bila. Namun satu perkara yang perlu
saya sebutkan dalam Dewan yang mulia ini daripada kajian antarabangsa khususnya
merujuk kepada negara-negara yang telah banyak melakukan kerosakan alam sekitar
disebutkan bahawa seandainya krisis alam ini tidak diuruskan dengan baik,
krisis penebangan hutan tidak diuruskan dengan baik maka seandainya berlaku
World War Three atau pun peperangan dunia ketiga maka krisis air menjadi krisis
utama untuk menjadi peperangan yang ketiga yang dijanka berlaku pada tahun
2060. Ini menunjukkan kita bahawa alam yang kita diami ini, hutan Allah jadikan
ini, gunung-ganang, bukit-bukau, lautan alam memberikan khidmat yang kepada
umat manusia. Saya ingin pergi kepada cadangan-cadangan yang membina kea rah
meningkatkan lagi penglibatan bumiputra di dalam sector IKS yang telah
dititahkan oleh Baginda Tuanku dalam perkara 13 semasa ucapan Tuanku semalam.
Saya mencadangkan beberapa perkara dilakukan untuk
meningkatkan memperkukuhkan penglibatan bumiputra ataupun industri kecil dan
sederhana ini. Yang pertama sekali saya mencadangkan agar kerajaan negeri Perak
dapat memastikan anak-anak syarikat di bawah naungan ataupun subsidari GLC
kerajaan negeri Perak yang rata-rata tidak bergerak begitu aktif dapat dapat
diaktifkan semula mengikut hala tuju dan matlamat syarikat yang diwujudkan
masing-masing. Yang kedua, kita dapat menukar pendapatan konsep Ali Baba yang
telah lama diperkenalkan kerana akhir sekali yang kaya-raya Baba, bukan Ali
kerana kebanyakan Ali menjadi sleeping partner. Rakan kongsi yang tidur
semata-mata. Kalau boleh kita gerakkan keduanya dengan konsep mentor menti agar
perkara ini dapat dibnagunkan serentak. Bukan Baba sahaja yang berjaya, kaya
dan maju, tetapi Ali juga dapat bersama-sama semaju dengan Baba. Yang ketiga, kita
mohon kepada pihak-pihak yang diberikan amanah Yayasan Permohonan Ekonomi
Islam, Dewan Perniagaan Melayu Negeri Perak, Dewan Perindustrian Melayu Perak
yang baru diwujudkan agar dapat unit-unit khas dan mengasuh anak-anak bumiputra
semenjak dari awal agar ini dapat memberikan input-input yang awal, inpu-input
yang penting kepada mereka seawal daripada tadika, sekolah rendah, sekolah
menengah sampailah ke peringkat yang tertinggi. Dan mereka ini jika sebenarnya
dididik daripada awal Insya Allah aka nada niat untuk menjadi usahawan suatu
hari nanti dan saya mengambil contoh bagaimana wawasan dan pendekatan
masyarakat Cina. Kalau sekiranya datuknya bekerja menjual gerai di tepi jalan
maka datuk akan pesan kepada anak. Anak aku kena buka restoran, anak pula pesan
kepada anaknya lagi ataupun cucu kepada datuknya ini, kamu kena buka kilang
menjual air ataupun mengeluarkan air. Maknanya wawasannya daripada awal
sekurang-kurangnya tiga generasi sebelum itu dan inilah harus dilakukan oleh
kelompok-kelompok bumiputra yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan. Sebab
itu kalau kita mengambil contoh pendekatan dan ajaran hadith SAW dalam bidang
solat misalnya untuk memahirkan anak-anak kita bersolat dan bersembahyang maka
Nabi menekankan ajarlah anak kamu bersolat ketika umur 7 tahun, tak boleh pukul
dan tak boleh rotan lagi, ajarlah dulu, asuh dulu dan sehingga umur mereka 10
tahun barulah mula didisiplinkan mereka itu.
Yang saya sebutkan tadi merupakan penglibatan
langsung atau secara tidak langsung kerajaan negeri Perak melalui anak-anak
syarikat kerajaan ataupun GLC dalm proses pembangunan dan pertumbuhan ekonomi
negeri adalah satu yang wajar. Akhir sekali, sedikit isu rakyat yang saya nak
sentuh, yang pertama saya mohon kerajaan negeri untuk melanjutkan mengusahakan
menurap jalan yang menghubungkan Pekan Kota Bharu ke Batu Gajah melalui Kampung
Redang Sawa dan Kampung Pisang perlu diturap hanyan beberapa kilometer sahaja
lagi. Ianya pernah disebutkan di dalam Utusan Malaysia, Sabtu 4 Mei 2013 dalam
kempen pilihanraya YB Tualang Sekah.
Yang kedua, isu pembangunan tinggal, yang pertama
status blok Kompleks Silveritage Galeria Medan Gopeng apa masalah yang berlaku
sehingga terbiak sejak sekian lama dan menjadi tanda Tanya masyarakat. Apa
kesudahan kompleks Silveritage Galeria ini ? Yang kedua, pasar awam Seri Rapat
di DUN Sungai Rapat yang tidak digunapakai yang menjadi projek gajah putih
dipercayai pembangunan hasil inisiatif swasta yang kini menjadi kawasan
‘blackspot’ sarang penagih tempat longgokkan sampah secara haram. Mohon kepada
pihak berkuasa menyelesaikan. Ketiga, saya mencadangkan agar segi tiga emas
Bandar Meru Raya, Station 18 dan RTC Gopeng di mana khususnya Bandar Station 18
diwujudkan Balai Polis serta klinik atau pun pusat kesihatan yang dibekalkan
doctor sepenuh masa dan pejabat Pos yang tetap. Akhir sekali, isu-isu setinggan
yang masih tergantung yang tidak diselesaikan di Pejabat Daerah terutamanya di
Pejabat Daerah Batu Gajah contohnya di Ara Payung ada 6 kes, di Kampung Seri
Jaya yang melibatkan bengkel-bengkel bumiputra di sana, pampasan kepada 3 ke 4
orang lagi setinggan di Kampung Seri Jaya. Saya mohon kerjasama Pejabat Daerah
agar dapat membantu warga negeri Perak ini.
No comments:
Post a Comment