Tuesday, May 4, 2010

Pemuda Pas adalah penyelamat masyarakatnya sendiri

Setuju atau tidak, Pemuda PAS adalah seorang anak muda yang memimpin bukan sekadar di dalam ruang parti dan organisasi sahaja malah ia memimpin masyarakat sekitar. Pemuda PAS adalam lambang kepimpinan anak muda walaupun bukan beragama Islam. Inilah yang ditegaskan juga oleh YB Ustaz Firdaus Jaafar dalam perasmian Muktamar Pemuda PAS Perak baru-baru ini di Air Kuning Taiping.

Allah menegaskan dalam KitabNya berkaitan dua unsur penting pembinaan kekuatan pemuda,

salah seorang di antara perempuan Yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah Dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang Yang ayah ambil bekerja ialah orang Yang Kuat, lagi amanah". (Al Qasas : 26)

Kuat bererti sihat jasmani dan kekutan emntal yang tinggi. Amanah adalah substensi yang ada pada rangka yang sihat tadi.

Untuk memacu perjuangan pemuda PAS yang suka untuk saya tulis sebagai Pemuda Islam, pemuda perlu memiliki beberapa ciri yang memastikan mereka menjadi relevan dalam dakwah dan perjuangan politik. Sesungguhya pihak musuh saban hari memikirkan cara untuk memperbesar kes moral para pejuang kebenaran walaupun kes tersebut terlalu lama berlalu. Hal inilah memerlukan persiapan awal pemuda untuk membuat satu grand design untuk diri sendiri dan rentak kerja pemuda. Malah kehendak massa, sossiopolitik hari ini menghendaki pemuda sebagai pewaris kepimpinan negara memiliki ciri kebertanggungjawaban yang tinggi. Ciri ini membawa beberapa ciri tambahan yang memberi makna kepada kepimpinan pemuda seperti karismatik, individu yang berkesan, individu yang futuristik dalam mengamat suasana serta individu sihat yang aktif dalam pelbagai aktiviti.

Massa dan sosial hari ini menghendaki perjuangan Pemuda Islam yang bervisi. Bervisi bukan bermaksud tenggelam dalam kalimah retorik dan slogan sahaja, Visi di sini bermakna pemuda memiliki iktikad, pegangan dan idealisme sama ada idealisme thabat yang kekal (iaitu perjuangan Islam) serta idealisme murunah (perjuangan yang anjal, segar dan kena dengan suasana semasa). Masyarakat hari ini tidak gemar dengan sebarang gerakan pragmatik yang tidak menampilkan idealisme sebenar kerana idealisme juga menjadi faktor konsistensi sesuatu kerja amal. Pragmatik kerana isu atau hanya memainkan isu ‘seronok sendiri’ akan menyebabkan gerakan Pemuda mati dan tidak konsisten sebagai jurubicara umat dan masyarakat dalam negara.

Apabila memikirkan hal ini, suka untuk saya ketengahkan pula permata nasihat dan pedoman yang telah diberikan oleh Al fadhil ustaz Abu Bakar Hussain iaitu Pesuruhjaya PAS Perak dalam Muktamar Pemuda PAS Perak baru-baru ini. Beliau benar-benaar berharap Pemuda PAS bukan sekadar mewakili nama parti da jamaah sebaliknya menjadi payung atas nama pemuda islam iaitu mewakili semua pemuda muslim seluruh negara.

Analogi menarik yang beliau utarakan berkaitan dengan moral dan etika pejuang Islam adalah berkenaan sirah rasulullah SAW dalam menyelesaikan kes perletakan Haajarul Aswad. Sunnah Rasul walapun sebelum mengambil tanggungjawab kerasulan, baginda telah membuktikan betapa integriti dan moral pemuda boleh menjadi satu punca penyelesaian masalah sosial. Malah moral dan kebaikan rasulullah sewaktu muda dan remaja menyebabkan beliau menjadi penyatu kepada beberapa kelompok kaum Quraisy walaupun sewaktu itu mereka bukan menganut Islam atau menjadi pengikut rasulullah.

Dalam konteks hari ini, isu moral dalam berpolitik bukan sekadar memerlukan perhatian kepada perkara mungkar yang jelas sarih dosanya, malah melibatkan juga isu lompat parti yang mempermainkan mandat rakyat kepada para pemimpin tempatan.

Menurut Al fadhil ustaz Abu bakar, kisah penyelesaian kes Hajarul Aswad membawa beberapa feqh (kefahaman) perjuangan untuk para pemuda teliti berhati-hati.

Ketika itu, perbalahan berlaku mengenai siapa yang berhak meletakkan semula batu itu di tempat yang asalnya.

Suatu keputusan diambil, iaitu sesiapa yang ditemui hadir paling awal di masjidil haram untuk bersolat esok paginya, maka orang itulah yang berhak menjadi hakim dalam perbalahan itu. Maka Muhammad al-Amin telah terpilih. Saat itu, Nabi belum lagi diangkat sebagai nabi dan rasul.

Keputusan dibuat. Kain serban Muhammad dihamparkan ke tanah. Keempat-empat bucu serban dipegang oleh empat pemimpin kabilah yang bertelagah tadi. Mereka lalu mengiringi Hajarul Aswad yang diletakkan oleh Muhammad ke dalam serbannya sehingga tiba ke tempat sebenar batu itu. Akhirnya, baginda sendiri yang meletakkan batu itu tempat asalnya. Saat itu, baginda berusia 35 tahun menurut tahun Hijrah.

Antaranya ibrah pertama yang dapat diamati adalah, nabi telah membuktikan bahawa sejak muda lagi Baginda menjadi punca penyelesaian masalah, tempat kebergantungan masyarakat Quraisy sebagai contoh Nabi dijadikan sebagai penjaga amanah barang dan harta mereka serta nabi juga tidak menjadi bebanan kepada sosial pada zamannya.

Pemuda PAS boleh menjadi dominan dan mempamerkan kepimpinan bukan sekadar di dalam kelompok organisasi pemuda da partinya sahaja, malah menjadi pemimpin dan pemandu cara dalam aspek integriti dan moral kepada pemuda dan belia daripada parti lain, NGO, pertubuhan mahupun masyarakat awam.

Rasulullah pada peristiwa hajarul aswab, bukannya seorang pemimpin besar atau ketua satu pertubuhan yang ramai pengikutnya. Baginda adalah minoriti walaupun berasal dari kaum terhormat. Minoriti kerana beliau tidak pernah melatih anak muda lain untuk menyertai baginda sebelum kerasulannya. Jadi apakah ciri yag menyebabkan baginda diminta menyelesaikan kes perkauman tersebut? Ianya disebabkan oleh sikap Amanah. Amanah menjadikan pemuda Islam lebih terurus dan boleh dipercayai untuk menguruskan sesuatu hal. Walaupun pemuda islam di sesuatu tempat bukan majoriti, namun aspek amanah akan menonjolkan diri mereka. Sikap siddiq juga menyebabkan rasul terpilih. Sikap ini penting dalam ilmu politik pemuda islam kerana ia melibatkan perlaksanaan janji dan perancangan. Pemuda Islam akan dijadikan rujukan dalam pelbagai aspek jika mereka adalah golongan yang buat apa yang dirancang. Sikap ketiga adalah sikap hilmun iaitu sopan santun dalam percakapan baginda.

Ibrah kedua daripada sirah ini ialah bagaimana Rasulullah menampilkan pemikiran kreatif dalam penyelesaian masalah iaitu menggunakan kain serban sebagai wasilah atau medium untuk setiap kaum menunjukkan tanggungjawab terhadap batu suci tersebut. Sikap yang sama perlu diteladani oleh Pemuda Islam hari ini. Kreatif bukan sekadar dikaitkan dengan ciptaan sains sahaja, kreatif dalam penyelesaian masalah, sabar dengan sedikit kerugian untuk mendapat laba yang lebih besar juga adalah salah satu ciri kreatif. Pemuda kreatif adalah pemuda yang optimis dengan ideanya. Malah banyak isu umat Islam seperti isu penindasan mustadhafin di malaysia, peminggiran bahasa Melayu, penindasan terhadap kaum pelarian di Malaysia walaupun memiliki dokumen sah serta banyak lagi boleh dihidangkan kepada masyarakat dengan gaya kreatif atas satu matlamat iaitu masyarakat sedar dan isu diselesaikan.

Ibrah ketiga seperti yang dinyatakan oleh Al fadhil Ustaz ialah politik atau siasah Islam ada di mana-mana. Sekaligus ini membantah politik sekular yang hanya menyempitkan isu politik dalam masjid, di parlimen dan sebagainya. Politik nabi pada saat itu telah menunjukkan baginda bersedia menjadi pemimpin, mengurus dan mentadbir sesiapa dalam suasana pelbagai.

Ibrah yang keempat daripada kisah itu juga adalah bagaimana Pemuda Islam perlu bertindak selaku mughayyir iaitu agen musleh (pengubah sosial) ke arah yang lebih baik. Pemuda PAS yang mewakili pemuda islam seluruh negara perlu memikirkan rencana kerja dan program tetap bulanan dan mingguan untuk menyelesaikan masalah umat. Kemiskinan tegar, masalah kesihatan, pemakanan rakyat, isu gejala sosial, jenayah remaja, alam sekitar dan hak-hak kepenggunaan perlu diperjuangkan kerana ini adalah kerja-kerja agen mughayyir. Inilah kerja Islam.

Pemuda PAS mudah sahaja untuk mendapat kepercayaan sepertimana yang diperolehi oleh baginda walaupun Pemuda itu minoriti dalam segala aspek. Islam tidak pernah mensyaratkan majoriti untuk menampikan Islam dan keindahan syariah.

Muhammad Nuruddin Bashah

AJK Dewan Pemuda PAS Gopeng Perak

1 comment:

SUPERPERAK said...

ARTIKEL YG SANGAT BAIK UNTUK DIHAYATI OLEH SEMUA PEMUDA.TAHNIAH.YDP