Thursday, January 15, 2009

Hudud dan Kuala Terengganu.



Penjelasan yang dibuat oleh Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bahawa hukum hudud jika dilaksanakan dalam negara hanya akan diwajibkan ke atas umat Islam manakala yang bukan Islam punya pilihan telah menjelaskan keadaan dan meredakan kritikkan yang tidak berasas terhadapnya. Dato Seri Anwar Ibrahim pun telah menjelaskan pendirian PKR sekaligus menenangkan suasana.

Sebenarnya apa yang tidak diketengahkan oleh para pengkritik dan mereka yang menentang perlaksanaan hukum jenayah syariah Islam ini adalah bahawa ianya jika pun berjaya dilaksana hanya akan menjadi realiti setelah melalui proses demokrasi yakni dengan persetujuan ramai. Ianya tidak dapat dilaksana kecuali dengan persetujuan ahli-ahli dewan diperingkat negeri dan diperingkat pusat. Kalau rakyat menentang ia tidak dapat dilaksana. Kelantan dan Terengganu telah pun meluluskannya namun tidak terlaksana sebab ketiadaan sokongan diperingkat pusat.

Proses perundangan menurut kaedah yang telah kita terima pakai perlu dilalui sebelum ia dapat terlaksana. Ia tidak terlaksana sekadar melalui tekanan dan tuntutan PAS semata-mata, tetapi melalui mandat rakyat dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Bagi umat Islam tanpa mengira fahaman politik hukum ini adalah wajib dan jika ada usaha ke arah perlaksanaannya tidak kiralah oleh PAS atau Umno atau sesiapa sahaja, ia wajib disokong maka barulah hukum ini dapat dikuatkuasa dan kalau mengikut kenyataan Presiden PAS, jika PAS yang menerajuinya, maka ia akan jatuh wajib hanya ke atas umat Islam sahaja.

Lalu segala-galanya terletak atas kita. Jika kita akur dan faham maka mudahlah kita bersetuju dan memberi sokongan. Jika tidak PAS dan badan-badan serta NGO Islam yang lain saya percaya akan terus berdakwah dalam usaha memberikan kefahaman kepada rakyat.

Bagi masyarakat bukan Islam, jaminan yang diberikan oleh Presiden PAS itu sepatutnya meyakinkan mereka bahawa segala tohmahan dan momokkan mereka yang anti perundangan Islam ini tidak berasas sama-sekali. Sekarang inipun kita tahu bahawa negara mengamalkan dualisma perundangan. Mahkamah sivil membicarakan semua rakyat Malaysia dan dalam hal-hal tertentu khasnya perkahwinan dan cerai hanya melibatkan yang bukan Islam. Manakala mahkamah syariah negeri-negeri yang menguatkuasakan undang-undang pentadbiran Islam negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan hanya melibatkan umat Islam dan dalam kes-kes tertentu mereka yang ada urusan dengan hal-hal Islam khasnya dalam kes murtad.

Oleh itu tidak berbangkit perlunya mahkamah dan sistem perundangan baru kerana yang sedia ada sudah boleh terpakai.

Pokoknya mahu atau tidak kita pada perlaksanaan sistem keadilan Islam itu, PAS sebagai sebuah parti Islam akan terus memperjuangkan untuk memartabatkan sistem ini, suatu perjuangan yang sepi dalam kamus politik Umno. Umno sekadar berpuas hati dengan apa yang ada tanpa menunjukkan minat atau mengambil apa-apa inisiatif untuk menerapkan
sepenuhnya sistem keadilan Islam sebagaimana yang dituntut ke atas kita sebagai seorang Muslim. Buktinya apabila sahaja berbangkit isu hudud, Umnolah yang akan gelabah, melatah dan meracau, sedangkan sepatutnya sebagai pejuang agama, bangsa dan negara mereka sepatutnya bersama menyokong dan memperjuangkannya.

Tetapi apa yang sering berlaku, Umno akan memilih untuk melaga-lagakan PAS samada dengan masyarakat bukan Islam mahupun dengan sesama masyarakat Islam. Lantas hakikatnya Umnolah yang menggagalkan usaha memartabtkan sistem dan perundangan Islam ini sehingga ia gagal terlaksana sampai kini. Demikianlah besarnya sumbangan Umno terhadap kegagalannya.

Oleh itu jika benar kita ikhlas mahu melihat Islam kembali ke tapaknya yang asal, yang memimpin dan memberi keadilan kepada ummah, maka kita tiada pilihan lain selain memilih untuk bersama PAS dan meninggal serta menggagalkan Umno, apabila sahaja kita punya peluang dan kesempatan. Kini yang paling berpeluang adalah para pengundi di parlimen Kuala Terengganu, bangkitlah dan pilih untuk memartabatkan Islam. Undilah PAS.

Roslan SMS

1 comment:

Omar Abdul Aziz said...

copy link ni pada You Tube dan klik OK...

selamat mencuba!


http://www.youtube.com/watch?v=QlDbUo0zmDM