Monday, June 23, 2008

Nik Aziz di 'Himpunan Ketuanan Rakyat' 29 Jun ini


IPOH, 23 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan akan berceramah di 'Himpunan Ketuanan Rakyat' di Stadium Perak, Jalan Kg. Simee dekat sini pada malam 29 Jun ini.

Himpunan tersebut anjuran Sekretriat Kerajaan Pakatan Rakyat dan akan turut digegarkan dengan pidato Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Presiden DAP, Lim Kit Siang.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusinya Ismail Yusof dalam sidang media dekat sini lewat petang semalam dengan menegaskan bahawa pidato 'Himpunan Ketuanan Rakyat' itu akan diadakan seperti dirancang pada 29 Jun ini di Stadium Perak mulai jam 9.00 malam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin atau mempercayai poster-poster yang menyatakan bahawa himpunan itu dibatalkan.

Menurutnya, sebelum ini perhimpunan berkenaan yang telah mendapat permit dari polis tidak dapat diadakan seperti dijadualkan pada 15 Jun lalu disebabkan majlis Musabaqah yang diadakan di Masjid Negeri dekat sini, maka kini ianya ditunda kepada 29 Jun.

Beliau juga melahirkan harapan agar perhimpunan tersebut dapat mengumpulkan seramai mungkin rakyat negeri Perak.- mks._

No comments: