Saturday, June 7, 2008

Kolej Islam Negeri Perak mula beroperasi

KUALA KANGSAR, 6 Jun (Hrkh) : Negeri Perak kini mempunyai bangunan kolej Islamnya sendiri yang dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan, bertempat di Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah dekat sini.
Sebelum ini Kolej Islam Negeri Perak yang baru beberapa tahun diwujudkan itu beroperasi di sebuah bangunan sementara di Ipoh.
Bermula 1 Jun lalu kolej tersebut yang siap dibina di tapak sebuah bukit itu telah memulakan sesi pengambilan pelajar barunya bagi tahun 2008/2009 yang terdiri penuntut lelaki dan perempuan dari negeri Perak dan negeri-negeri lain di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Pada peringkat awal pembukaannya, seramai 500 orang pelajar yang telah lulus temuduga layak berlajar di sini selama tiga tahun bagi mendapatkan diploma.
Tetapi bagi pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Arab terpaksa menduduki matrikulasi selama setahun sebelum meneruskan pelajaran mereka selama tiga tahun itu bagi menduduki peperiksaan sijil diploma.
Menurut maklumat, kolej berkenaan yang dijangka akan dirasmikan pembukaannya Julai depan mempunyai pensyarah-pensyarah terdiri daripada lepasan ijazah luar negara termasuk daripada beberapa fakulti universiti antarabangsa seperti Al-Azhar dan Jordon.
Kolej tersebut yang terulung seumpamanya itu di negeri Perak dibina bersebelahan sebuah masjid bagi memudahkan penuntut berjemaah bersama penduduk sekitarnya. - mns_

No comments: