Tuesday, June 3, 2008

MB Perak hargai penganjuran Jambori Amal Kebangsaan

KUALA KANGSAR, 2 Jun (Hrkh) : Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah merasmikan majlis penutup Jambori Amal Kebangsaan 2008 Ke-16 yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Sayong Lembah, Tebing Sungai Perak dekat sini semalam.

Dalam ucapannya, beliau menghargai penganjuran Jambori Amal itu diadakan di Perak dan berkemah selama tiga hari di seberang sungai berhadapan Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini itu kerana ia dapat mencerminkan dan mengambarkan ketulusan serta kekuatan Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru berusia tiga bulan itu.

"Terutamanya program yang bersangkutan dengan kemasyarakatan di Parlimen Kuala Kangsar ini diharapkan dapat menambat hati dan mempengaruhi kerja-kerja baik yang dilakukan oleh relawan-relawan seperti gotong royong membersih halaman dan membaiki rumah,"tegasnya.
Katanya, "Saya diberitahu bahawa walau pun para pesertanya terdiri dari pelbagai peringkat umur tetapi kesemuanya menunjukkan bakat bakal pemimpin yang membanggakan tidak lentur di panas terik dan lemah dalam kesejukan hujan ketika menjalankan arahan aktiviti-aktiviti lasak".

Selain itu, beliau mengharapkan apabila semua peserta pulang ke tempat masing-masing akan dapat mengamalkan dan mempraktikkan segala pengalaman dan pelajaran yang telah didapati selama tiga hari di situ.
Justeru, katanya, sebagai tanda penghargaan terhadap Jambori Amal 2008 itu maka Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah bersetuju memberikan sedikit sumbangan diatas perbelanjaan pelaksanaan jambori.
Jambori berkenaan mencatat sejarah apabila disertai teramai 2,500 orang sejak diadakan 15 tahun lalu dan manakala unit yang teramai menghantar peserta kali ini adalah negeri Pahang iaitu 303 orang anggota Amal.
Selepas berucap, Dato' Seri Mohammad Nizar telah diiringi bersama Exco Agama dan Kebajikan,Haji Mohd. Zainuddin Mohd.Yusof dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa untuk turun padang menjadi pengadil kepada acara kemuncak pertandingan tarik tali antara peserta kumpulan negeri Perak, Pahang dan Pulau Pinang yang berkeputusan Pahang muncul johan.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang yang telah berjaya dalam pertandingan berkumpulan dan individu dengan pelbagai acara akitivi.
Sebelum itu, ucapan pembukaan perasmiannya telah dilakukan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi. - mks.

No comments: