Thursday, June 19, 2008

MB Perak disaran rujuk Dewan Ulama PAS Perak berhubung masalah agama

TAIPING, 16 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disaran supaya merujuk kepada Dewan Ulama PAS Negeri Perak jika menghadapi masalah berhubung hukum hakam pentadbiran Islam.

Usul tersebut yang telah dibangkitkan dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Perak Ke-32 di Markaz Air Kuning dekat sini malam semalam telah diterima sebulat suara untuk dibawa ke Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Ipoh akan datang.

Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Shuib Din apabila diminta oleh Muktamar mengulas lanjut mengenainya menyatakan Dewan Ulama PAS Perak memang memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak langsung sejak ia ditubuhkan lebih 100 hari lalu iaitu sebagai bantuan moral kepada Exco Agama dan Kebajikan, Haji Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof sejak beliau dilantik dalam kerajaan baru itu.

"Saya tahu sebarang perkara bersabit dengan hukum hakam Islam untuk ditujukan kepada rakyat yang memerlukannya tidak boleh dibuat atau diputuskan oleh seseorang individu tetapi haruslah merujuk kepada institusi seperti Dewan Ulama PAS Perak, dimana sebarang masalah akan diputuskan atau dibuat cara berkumpulan oleh orang yang mahir dan mendalami mengenai
hukum tersebut", tegasnya.

"Kami para Ulama dari Dewan Ulama PAS Perak khasnya telah membuat tinjauan dan risikan bagi menambahkan ilmu pengetahuan tentang cara petadbiran dengan Kerajaan Kelantan sebaik sahaja negeri Perak berkerajaan baru.

"Kami cuba mengguna pakai ke atas apa yang sesuai daripada Kelantan untuk dimanfaatkan kepada negeri Perak," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Muktamar bahawa dalam perancangan, Dewan Ulama PAS Perak akan menempatkan sekurangnya seorang wakil ulama di Pejabat Menteri Besar Perak sebagai tempat rujukan segera.

Muktamar semalam juga bersetuju menerima usul yang mencadangkan setiap Majlis Kerajaan Tempatan mempunyai wakil Dewan Ulama di dalamnya sebagai bagi memantau sebarang kegiatan negatif di bandar kecil dan pekan-pekan. - mns._

No comments: