Thursday, June 19, 2008

Dewan Ulama PAS diseru perkasakan tugas dan tangungjawab

TAIPING, 16 Jun (Hrkh) - Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ustaz Mohd. Zin Abdul Rahman menegaskan sudah tiba masanya Dewan Ulama PAS di seluruh negara memperkasakan tugas dan tanggung jawab kepada rakyat.

Katanya, hal tersebut adalah wajib bukan sahaja setelah Kerajaan Pakatan Rakyat dapat didirikan dalam empat negeri dan menang di Wilayah Persekutuan, tetapi ia seharusnya diperkukuhkan lagi setelah mencapai kemenangan dalam PRU Ke-12 lalu.

Ketika merasmikan Dewan Ulama PAS Perak di Markaz Air Kuning semalam, beliau memfokuskan kepada tajuk pidatonya, iaitu peranan Dewan Ulama khasnya bagi negeri Perak setelah Kerajaan Pakatan Rakyat dapat didirikan?

Beliau menyeru Dewan Ulama PAS Perak berusaha mengubah "taktik perang" supaya ia seiring dengan dasar pentadbiran kerajaan baru yang ada sekarang.

"Cubalah berusaha merapatkan jurang "ulama" dengan rakyat melalui pelbagai lajnah dalam PAS seperti Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Unit Amal dan seumpamanya," tegasnya.

"Saya tahu, memanglah kebanyakan Ulama orang lama, tak larat hendak berjalan jauh-jauh seperti pergi berpiket di tengah panas berbatu-batu jauhnya berjalan kaki bersama pemuda dan NGO lainnya, tetapi tunjukkanlah muka kepada mereka sedikit, berilah perangsang dan semangat seumpama untuk pergi berdemo membantah minyak naik di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.

Tegasnya, Dewan Ulama perlu berusaha menambah jumlah ahli baru PAS termasuk dari kalangan remaja dan pelajar lepasan pengajian tinggi dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan parti.

Katanya, Dewan Ulama harus melangkah dengan wajah dan penampilan baru bagi menerokai politik yang semakin mencabar dan perlu menjadi jaguh dalam arena syariat Islam.

Untuk itu tegasnya, Dewan Ulama PAS Pusat sedang berusaha meletakkan ulama dalam setiap lajnah PAS khasnya dan dalam kerajaan Pakatan Rakyat amnya sebagai persediaan untuk menjadi rujukan semasa. - mns_

No comments: