Tuesday, May 20, 2008

PAS Perak perkukuh parti, santuni semua kaum.

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - PAS Perak berusaha bersungguh-sungguh memperkukuh parti supaya ia benar-benar dapat berfungsi sebagai rakan kongsi penting dalam kerajaan baru Pakatan Rakyat Negeri Perak.

"Kita mahukan PAS Perak teguh dan kemas di samping kedudukan kerajaan baru Perak yang mantap," kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang kepada Harakahdaily di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Untuk itu, katanya, pelbagai kursus dalaman peringkat negeri, kawasan dan cawangan telah dan akan diadakan dari semasa ke semasa.

Minggu lalu, katanya, lebih 700 pemimpin PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan seluruh Perak, di samping Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat menghadiri majlis taklimat perdana oleh Menteri Besar, Ir Nizar Jamaludin dan beliau sendiri.

Pada majlis taklimat tersebut, MB dan beliau telah menyampaikan amanat kepada seluruh pendukung PAS Perak supaya meneruskan kerja keras memperkukuh parti dengan mengemaskini organisasi peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

"Kemenangan kita ini sangat besar maknanya dan walaupun kita hanya menang enam Dun, iaitu hanya menyumbang enam kerusi dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat ini, tetapi maknanya sangat besar dan penting. Justeru kerana Adun kita, Ir Nizar Jamaludin telah diamanahkan memimpin kerajaan negeri setelah dipersetujui oleh Sultan Perak," kata Ustaz Ahmad.

Keyakinan dan kepercayaan Sultan Perak ini, kata Pesuruhjaya PAS itu, sangat bermakna dan menjadi pendorong utama kepada PAS Perak untuk bekerja keras menyumbangkan segala yang terdaya untuk memajukan kerajaan baru Perak.

"Bagi pihak seluruh PAS Perak, saya menjunjung kasih atas kepercayaan Sultan Perak ini," katanya.

Ustaz Ahmad mahukan PAS Perak mempertingkat usrah dan tamrin serta wacana ilmu, supaya pendukung PAS benar-benar mantap dari segi akhlak, ilmu dan istiqamah kepada perjuangan.

Kemenangan yang kita capai ini, katanya, adalah dengan pertolongan Allah SWT hasil daripada keyakinan kita kepada janji Allah SWT amalan dan takwa, seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah At-Talaq ayat 3 dan 4.

Untuk memperkukuh tarbiyah, Pesuruhjaya PAS itu mengharapkan para ulama, seperti masa lalu, memberikan bimbingan yang cukup. Untuk itu, katanya, usrah cawangan, kawasan akan diadakan sekerap mungkin, di samping tafakkuh fiddeen peringkat negeri diadakan sebulan sekali.

Pesuruhjaya PAS itu mengingatkan bahawa dalam era kemenangan ini, cara berfikir ahli PAS mesti berubah.

Mereka mesti berfikir bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang di Perak tetapi sebagai kerajaan. Justeru, katanya, pendekatan PAS juga mesti berubah. "Kita," kata beliau, "perlu menunjukkan sikap adil, bijaksana dan rendah diri."

Di samping itu, kata Ustaz Ahmad lagi, ahli PAS mesti menerangkan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama bahawa kerajaan baru Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan yang adil saksama, beramanah, telus dan bermaruah.

Ahli PAS juga, kata beliau, perlu memperkukuh hubungan baik dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat serta menunjukkan sikap ramah mesra dan ambil peduli akan nasib rakyat di peringkat akar umbi.

"Ertinya jangan harapkan kerajaan baru saja untuk ambil peduli nasib rakyat pelbagai kaum, tetapi pendukung PAS sendiri mesti menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka," kata Ustaz Ahmad.

Menurutnya, menerusi Program Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Pakatan Rakyat, pendukung PAS boleh membantu memberitahu dasar kerajaan baru Perak yang sangat pro-rakyat.

Saluran ini, katanya, sangat penting dan mesti digunakan dengan sebaik-baiknya.

harakahdaily

No comments: