Monday, May 12, 2008

MB, Exco Perak ikuti sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Bernama melaporkan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan anggota exconya hari Isnin melawat Parlimen bagi mengikuti perjalanan persidangan Dewan Rakyat untuk menimba pengalaman.

Mohammad Nizar bersama rombongannya termasuk anggota Dewan Undangan Negeri dan Speaker V.Sivakumar meluangkan masa hampir satu jam mengikuti sesi soal jawab lisan dan perbahasan sebelum menemui Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Mohammad Nizar berkata beliau ingin memberi pendedahan kepada anggota Dewan Undangan Negeri Perak mengenai perjalanan sidang dewan untuk dijadikan rujukan supaya mereka mampu menjawab apa jua persoalan dalam sidang DUN Perak nanti.

"Kehadiran kami hari ini untuk menimba pengalaman dan melihat perkembangan dalam Dewan Rakyat, kami lihat ia perbincangan yang sihat dan profesional jadi inilah faktor-faktor yang kita rasakan boleh kita laksanakan di DUN negeri Perak nanti," katanya.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh keranan mempertikaikan bidang kuasa Sultan Perak dalam pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury baru-baru ini, Mohammad Nizar berkata: "Yang Berhormat Karpal Singh ada hak, saya hormat pendapat beliau kerana beliau berhak atas kenyataannya dan itu merupakan pandangan peribadi beliau."

Harakahdaily

No comments: