Wednesday, May 21, 2008

MB Perak umum bantuan RM1 juta untuk golongan miskin, ibu tunggal.

IPOH,21 Mei - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan agar apa juga masalah yang dihadapi oleh mereka dapat diselesaikan mengikut keupayaan kerajaan negeri.

Justeru itu, Kerajaan Negeri memandang berat masalah yang dihadapi oleh golongan miskin tegar dan ibu tunggal di negeri ini dengan memperuntukkan RM1 juta bagi membantu 5,000 golongan ini bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, sewaktu menyampaikan ceramah perdananya di Mini Stadium Gugusan Manjoi baru-baru ini.

"Kerajaan Negeri akan cuba sedaya upaya membantu golongan miskin tegar dan ibu-ibu tunggal di negeri ini tanpa mengira fahaman politik, yang penting kita bertekad untuk membantu mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, peruntukan RM1 juta itu bagi bantuan kepada 5,000 golongan miskin tegar dan ibu tunggal di mana setiap mereka akan mendapat bantuan 30 kilo beras, lima kampit gula, dua kilo minyak masak dan duit belanja dapur RM100.

Pemberian bantuan tersebut sebagai bukti Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa peka dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh golongan miskin tegar dan ibu tunggal, katanya lagi.

Beliau berharap golongan tersebut yang akan menerima bantuan tersebut akan dapat menggunakannya bagi meringankan sedikit perbelanjaan harian mereka.

"Kerajaan Negeri sedar peningkatan harga barang barang keperluan telah menyebabkan golongan miskin tegar dan ibu tunggal kian terhimpit dengan kenaikan harga barang barang keperluan," jelasnya.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Tambun, Azrul Zairun Zainal Abidin, menyifatkan bantuan yang bakal diberikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat itu sebagai satu lagi hadiah kepada rakyat negeri ini.

Beliau kagum dengan kesungguhan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan miskin tegar dan ibu tunggal dalam tempoh yang singkat menerajui pemerintahan di negeri ini.

"Dalam masa 60 hari berkuasa pelbagai pembaharuan dan bantuan diberikan kepada rakyat, ini membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat benar benar berjiwa rakyat," tegasnya.

harakahdaily

No comments: