Monday, January 19, 2015

Penurunan Harga Minyak dan Junaman Ringgit : Kerajaan Perlu Bertindak Segera

Pada 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk
bersedia menghadapi waktu-waktu sukar kerana kita sedang berhadapan dengan hentakan
berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di samping penyusutan nilai
Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.
Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia telah menyusut sebanyak 53
peratus dari tahun lepas, yakni daripada purata 108 Dollar Amerika Syarikat setong pada
Januari 2014 kepada 51 Dollar Amerika Syarikat secara purata bagi bulan Januari 2015.
Nilai Ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, mengkesampingkan nilai
Yen. Ia telah menyusut kepada RM3.55 untuk setiap 1 Dollar Amerika Syarikat daripada
RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit telah menyusut hampir 8.3 peratus.
Benar, bahawa matawang Asia yang lain turut menyusut dan terkesan ke atas Dollar Amerika
Syarikat, tetapi matawang kita jatuh hampir dua kali ganda jika dibanding Dollar Taiwan dan
Dollar Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding Dollar
Amerika Syarikat. Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM 2300 satu tan.

Dampak Pada Hasil Negara Pendapatan daripada minyak dan gas membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan. Belanjawan Persekutuan 2015 yang telah dibentangkan pada 10
Oktober tahun lepas adalah berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara 100 ke 105
Dollar Amerika Syarikat setong. Malah sebelum penyusutan ke tahap semasa, Petronas telah memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada anggaran purata 70 ke 75 Dollar Amerika Syarikat, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus. Ini bermakna
pengurangan sebanyak RM 19.4 billion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM 242 billion ke atas unjuran belanjawan 2015. 

Kini, dalam pada harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas
pendapatan negara?

Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana
yang dilapor oleh Maybank Research di dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan
pendapatan sebanyak RM 8.4 billion akan melangkaui penjimatan subsidi dan mengakibatkan
defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan
bukannya seperti yang sasaran 3 peratus untuk tahun 2015.
Menurut Goldman Sachs dan Morgan Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung di
antara 40 ke 50 Dollar Amerika Syarikat pada tahun 2015. Ini membawa maksud kesan ke
atas pendapatan kerajaan dan defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis
memberi peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah setinggi 5 peratus. Ini
akan berlanjutan sekiranya nilai Ringgit Malaysia terus menyusut dan harga minyak sawit
mentah terus jatuh.
Dari segi pelaburan ekuiti, menurut CLSA (Credit Lyonnais Securities Asia), Malaysia
mencatatkan prestasi pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014. Meskipun bursa saham
Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan positif, bursa
saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.
Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran
keluar modal asing daripada kedua-dua pasaran bon Ringgit (45 peratus daripada keseluruhan
MGS (sekuriti kerajaan Malaysia)) dan ekuiti. Tarikan pasaran yang lemah serta
ketidaktentuan fiskal akan mendorong Ringgit menyusut ke tahap terendah dalam sejarah
serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos pembiayaan (nisbah hutang kepada
KDNK pada 55 peratus).

Apa Yang Harus Kerajaan Lakukan Sekarang?

Pertama sekali, korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat telah
membentangkan dalam Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat 2015 bahawa penjimatan
konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu
menjimatkan hampir RM 20 billion atau bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran KDNK.
Kedua, kita harus menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang
diselimuti melalui proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap.
Kerajaan perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk di bawah hamparan luar kunci kira-
kira.
Tiada satu sebarang alternatif kepada tatakelola yang baik selain daripada maklumat yang
benar dan telus berhubung kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan
dibebani skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.
Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada
kadar segera melibatkan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, para ekonomis,
pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.
Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk
memantau harga komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala
langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang konsensus
dicapai.
Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan
sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud
keperluan memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam bidang-
bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.
Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti
Norway (yang mempunyai tatakelola terbaik) juga telah berada dalam mod bersedia untuk
berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.
Diakui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan
kita. Sungguhpun begitu, kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan
pengurusan kewangan negara.
Di sinilah kerajaan gagal dan terus gagal meskipun Pakatan Rakyat berulang kali menggesa
agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah
yang telah dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan
kerajaan untuk bertransformasi?

Krisis Banjir dan Pengajarannya

Inilah sikap yang sama yang telah mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru
ini. Banjir merupakan satu fenomena saban tahun yang telah berlaku berabad lamanya, tetapi
tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai
menghulur bantuan. Melangkaui batas agama dan bangsa yang berbeza, sokongan dan
kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir merupakan sesuatu yang belum
pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan peri penting Kerajaan Persekutuan
bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersekali dengan badan-badan
NGO.

Mesej Kepada Rakyat

Zaman sukar menanti kita kesan daripada perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan
pertumbuhan ekonomi yang turut menguncup. Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan
jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.
Tatkala inflasi berterusan meningkat di saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan
berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan
terus melebar.
Justeru, kami menggesa kerajaan agar telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat
menantikan pengumuman Selasa ini dan menjangkakan usaha Kerajaan Persekutuan yang
serius lagi bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.

ANWAR IBRAHIM

No comments: